Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
Masa lebih berharga daripada wang ringgit. Tapi, realitinya, ramai yang lebih mengambil berat soal wang ringgit daripada mengambil berat terhadap soal masa.
Buktinya kita dapat lihat berapa ramai yang menghabiskan dan membiarkan masa mereka berlalu begitu sahaja.
Setiap urusan berkaitan simpanan wang ringgit di dalam akaun bank kita akan direkodkan oleh pihak bank. Setiap wang keluar dan masuk perlu direkodkan bagi memastikan tiada kehilangan wang.
Tidak cukup dari itu, kita juga ada merekod sendiri perbelanjaan kita setiap hari dalam buku yang kita khaskan. Lebih-lebih lagi jika kita terlibat dalam perniagaan, urusan kira-kira menjadi amat penting.
Sebagaimana kita mengambil berat soal kira-kira wang ringgit, kita juga perlu mengambil berat soal pengurusan masa kita dengan merekod dan membuat ‘kira-kira’ penggunaan masa kita setiap hari.
Ya. Rahsia orang yang berjaya dan cemerlang adalah terletak pada pengurusan masa mereka. Bukannya pada banyaknya harta mereka.
Orang yang kaya dan berjaya adalah mereka yang kaya ‘masa’ dalam erti kata banyak perkara yang dapat mereka lakukan setiap hari.
Oleh itu, dalam tulisan kali ini, mari kita mengaudit dan menyemak kembali penggunaan masa kita setiap hari. Audit masa ini penting agar kita dapat menjadi lebih produktif dan mengelak pembaziran masa yang tidak sepatutnya berlaku.
Audit Masa 168 Jam Seminggu
Anda dan saya mempunyai jumlah masa 24 jam sehari, 7 hari seminggu bersamaan 168 jam seminggu. Ia bukanlah jumlah yang sedikit. Terlalu banyak perkara yang dapat kita lakukan dalam tempoh 168 jam.
Jadi, bagaimana anda menggunakan masa 168 jam seminggu pada masa sekarang? Adakah anda produktif sebagaimana yang anda inginkan, atau sebaliknya?
Mari kita audit kembali masa kita. Berikut cara-caranya :
1. Download Lembaran Pengurusan Masa 168 Jam di sini. (Print atau cetak sebanyak 2 salinan)
2. Tulis dan catat apa yang anda lakukan dalam seminggu (rutin anda) mengikut pembahagian masa 30 minit dalam Lembaran Pengurusan Masa yang disediakan.
Tip : Fikirkan sebagaimana anda sedang melakukan kira-kira bagi projek anda.
3. Selepas anda telah mengisi kesemua aktiviti anda bagi 168 jam seminggu, pecahkan akitiviti tadi ke dalam beberapa kategori.
Contohnya, berapa jam anda bekerja? Bersama keluarga? Tidur ? Bersenam? Beribadah? Pengurusan diri? Membuat kerja rumah? Belajar? Menonton TV? Membaca? dan sebagainya.
4. Sekarang, audit kembali jumlah jam yang anda peruntukkan selama ini dalam seminggu.
Adakah ia sebagaimana jumlah jam yang anda inginkan? Jumlah masa di mana anda lebih produktif, melakukan kerja yang ideal sebagaimana misi dan matlamat anda.
Adakah anda boleh ubah Jadual Pengurusan Masa anda sekarang menjadi lebih baik dan ideal?
Sekarang, senaraikan sekurang-kurangnya 5 perkara / aktiviti yang membazir masa yang boleh anda ‘buang’, tinggalkan atau kurangkan.
5. Menggunakan Lembaran Pengurusan Masa 168 Jam yang baru, isikan kembali jadual pengurusan masa harian anda bagi seminggu akan datang. Iaitu jadual yang ideal sebagaimana jumlah masa yang anda inginkan.
Selesai.
Anda kini telah mempunyai jadual mingguan yang ideal. 🙂
Untuk melakukan sesuatu perubahan baru, ia mengambil masa dan memerlukan pengorbanan.
Sekarang, cuba ikuti jadual baru anda dengan berdisiplin. Dan sekiranya perlu, anda boleh melakukan perubahan dari semasa ke semasa.
Pengurusan masa berkesan adalah satu kemahiran yang memerlukan latihan yang berterusan. Teruskanlah sehingga anda berjaya.
Jangan lupa, berikan ganjaran pada diri anda bagi setiap kejayaan anda mematuhi jadual baru anda. Contohnya, menonton cerita kegemaran anda pada hujung minggu, makan di restoran kegemaran anda sebulan sekali, atau membayar diri anda sendiri RM… bagi setiap hari yang anda dapat mengikuti jadual dengan baik.
Semoga perkongsian kali ini dapat membantu kita mengaudit dan menghisab penggunaan masa kita seharian.
Dari Syadad bin Aus r.a., dari Rasulullah saw., bahawa beliau berkata, ‘Orang yang pandai adalah yang menghisab dirinya sendiri serta beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah swt.
(HR. Imam Turmudzi, ia berkata, ‘Hadits ini adalah hadits hasan’)
Leave a Reply