Visi, Misi dan Matlamat Dalam Kehidupan

Visi dan Misi

En. Razali berada di dalam sebuah kapal terbang yang bakal berlepas. Beliau duduk dengan tenang dan memakai tali pinggang keselamatan. Sejurus kemudian, kapten kapal terbang membuat pengumuman, “Selamat datang ke Boeing C40-B. Kita akan berlepas ke mana-mana sahaja pada bila-bila masa sahaja dari sekarang. Sila pastikan tuan/puan telah memakai tali pinggang keselamatan.  Kita dijangka tiba ke destinasi dalam jangka waktu yang tidak dapat dipastikan. Sekian, terima kasih.”

Bagaimanakah agaknya perasaan En. Razali sebaik sahaja mendengar pengumuman di atas tadi? Cerita di atas adalah rekaan dan mungkin mustahil ia berlaku. Namun, apa yang penting adalah pengajaran yang dapat diperoleh iaitu betapa pentingnya seseorang mempunyai matlamat yang jelas dalam melakukan sesuatu perkara.

Tanpa matlamat dan tujuan yang jelas, kita akan berada di tempat yang sama atau sekadar berlegar di mana-mana tanpa arah dan tujuan.

Justeru, dalam tulisan kali ini, kita akan menelusuri topik berkaitan penetapan visi, misi dan matlamat yang jelas dalam kehidupan.

Matlamat adalah buah atau hasil daripada visi dan misi. Tanpa visi dan misi, matlamat menjadi rapuh tanpa tempat bergantung.

Secara mudahnya, hubungan visi, misi dan matlamat boleh diungkapkan melalui rajah berikut :

Visi Misi dan Matlamat

Apakah Maksud Visi, Misi Dan Matlamat

Mengikut Kamus Dewan (Edisi ke-4), maksud pengertian atau definisi bagi visi, misi dan matlamat adalah seperti berikut :

Visi : Tanggapan dan pandangan yang jauh dan mendalam, terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan masa depan dan sebagainya, wawasan.

Misi : Tugas khusus yang dipertanggungjawabkan kepada atau yang akan dilakukan oleh seseorang atau sesuatu kumpulan.

Matlamat : Sasaran, sesuatu yang hendak dicapai, atau  tujuan.

Secara ringkasnya, visi adalah wawasan dan pandangan jauh yang ingin dicapai pada masa hadapan. Istilah yang lain ialah impian atau cita-cita kita.

Bagi mencapai visi, misi perlu ditetapkan. Misi ialah perkara atau tugas yang akan kita lakukan bagi mencapai visi. Bagi syarikat, ia juga merupakan khidmat atau perkhidmatan yang kita tawarkan.

Matlamat pula ialah sasaran-sasaran perkara yang ingin ditingkatkan daripada tahap kita berada sekarang ke tahap yang kita inginkan. Ia adalah hasil daripada kita mengenal kekuatan, kelemahan, ancaman dan peluang yang ada.

Contoh Visi, Misi Dan Matlamat

Sebagai contoh, bagi seorang yang beragama Islam,

Visi : Mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat (keredhaan Allah dan ganjaran syurga)

Misi : Berusaha melakukan amal kebaikan dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang Allah Taala bagi mencapai takwa

Matlamat umum :

  • Meningkatkan amal ibadah seharian menjadi lebih baik daripada semalam
  • Bekerja kerana Allah Taala sebagai satu ibadah
  • Menambah ilmu pengetahuan agama di samping ilmu pengetahuan semasa
  • Memberi sumbangan ilmu, masa, harta dan tenaga untuk keluarga dan masyarakat

Matlamat khusus :

  • Dapat menghafal 30 juz al-Quran dalam masa dua tahun
  • Dapat khatam bacaan al-Quran secara talaqqi
  • Membaca dua buah buku agama dalam sebulan

Bagi seorang pelajar,

Visi : Menjadi doktor pakar dalam bidang perubatan

Misi : Memberi khidmat berkualiti, membantu dan sentiasa bersedia menggunakan ilmu, masa, harta, tenaga dan pengalaman yang ada untuk masyarakat, agama dan negara

Matlamat :

  • Memasuki universiti luar negara dan mendapat keputusan cemerlang
  • Mendapat cemerlang dalam SPM
  • Mencapai 9A dalam PMR

Bagi Blog Zulpress.com,

Visi : Menjadi blog rujukan utama dalam bidang blogging, motivasi dan perniagaan menjelang 2015.

Misi : Memberi perkongsian tulisan yang bermanfaat dan berkualiti dalam topik blogging, motivasi dan perniagaan.

Matlamat :

  • Membantu sesiapa sahaja yang  ingin membina blog menggunakan hosting sendiri
  • Menulis buku berkaitan topik blogging, motivasi dan perniagaan
  • Berkongsi ilmu dan pengalaman melalui artikel dan soalan yang dikemukakan
  • Mewujudkan blog yang mesra pengguna
  • Menyediakan bahan bacaan bermanfaat buat pengunjung setia blog

Jadi, apakah visi, misi dan matlamat anda pula?

Kepentingan Memiliki Visi, Misi dan Matlamat

Kita tidak dapat lari daripada mempunyai visi, misi dan matlamat dalam seharian. Orang yang berjaya dalam hidupnya ialah mereka yang mempunyai visi, misi dan matlamat yang jelas setiap hari.

Hari-hari yang dilalui merupakan satu peluang untuk merealisasikan visi dan misi yang telah ditetapkan. Setiap waktu dan masa yang ada akan dimanfaatkan sebaiknya tanpa dibazirkan atau dilengahkan begitu sahaja.

Oleh sebab itu, amat penting bagi kita mewujudkan visi, misi dan matlamat peribadi kita sendiri di samping visi, misi dan matlamat syarikat kita. Secara tidak langsung, kita mempunyai sasaran peribadi yang ingin dicapai.

Wish ListSaya yakin ramai yang mempunyai impian, “wishlist” atau perkara yang ingin dicapai di dalam hidup, tapi ramai yang impiannya hanya tinggal impian akibat tidak disertai perancangan dan tindakan yang betul.

Oleh itu, mari kita tetapkan visi, misi dan matlamat yang ingin dicapai dalam setiap bidang sama ada peribadi, keluarga, pekerjaan, perniagaan, pelajaran, dan lebih-lebih lagi kehidupan kita sendiri. Kemudian, susuli perancangan tadi dengan tindakan yang konsisten sehingga berjaya. InsyaAllah. :)

Comments

  1. terima kasih kerana sudi berkongsi ilmu….

  2. Assalamualaikum ,terima kasih berkongsi ilmu yang bermanfaat :)

  3. thanks di atas perkongsian ini… ia banyak membantu saya untuk kemaskini misi, visi dan matlamat sekolah saya…

Kongsi Pendapat Anda

*