Jika anda ingin memiliki blog WordPress anda sendiri, atau memiliki laman web menggunakan nama pilihan anda, maka amat penting untuk mengetahui terlebih dahulu berkaitan domain dan hosting. Pada kali ini, saya cuba kongsikan beberapa panduan dan tip menarik memilih dan membeli nama domain terbaik pilihan anda.
Apakah maksud domain ?
Domain ialah alamat laman web atau blog anda di dunia internet. Ia juga dikenali dengan nama URL singkatan daripada Uniform Resource Locator.
Sebagaimana alamat rumah anda, nama domain mewakili “rumah” anda di dunia maya. Apabila pengunjung internet menaip alamat domain anda, maka mereka akan menemui laman web, blog atau kedai online anda.
Alamat domain asasnya terdiri daripada 2 bahagian :
1. Nama domain pilihan anda.
Contohnya zulpress.com, iluvislam.com, kedaibuku.com dan sebagainya.
2. Top level domain (TLD) seperti .com, .net, .org.
TLD ialah extension selepas nama domain pilihan anda iaitu sama ada .com, .net , .org dan juga extension berdasarkan negara seperti .com.my bagi Malaysia, .id bagi Indonesia, .uk bagi United Kingdoom, .au bagi Australia dan sebagainya. Nama extension mengikut negara ini digunakan jika laman web anda khas untuk pasaran tempatan iaitu pengguna negara tertentu sahaja.
Terdapat banyak lagi extension yang boleh dipilih. Namun yang paling biasa digunakan ialah .com
Extension TLD manakah paling sesuai?
Umumnya, anda bebas memilih nama extension TLD yang anda inginkan. Namun, nama TLD domain yang paling biasa digunakan adalah .com . Saya juga cadangkan anda memilih nama domain .com kerana ia lebih ekslusif dan mudah diingati.
Jika extension domain .com pilihan anda sudah dimiliki oleh orang lain, anda boleh menukar kepada .biz atau .info mengikut fungsi laman web atau blog anda.
Jika laman web anda lebih kepada bisnes, perniagaan internet dan kedai online maka extension .com, atau .biz paling sesuai.
Jika laman web anda khusus untuk perkongsian info dan maklumat, maka .com atau .info adalah amat sesuai.
Jika laman web anda khusus mewakili persatuan, kelab atau sesuatu badan maka .org adalah sesuai.
Bagaimana cara memilih nama domain yang terbaik ?
Jika anda masih baru, tugas memilih dan membeli nama domain buat pertama kali mungkin memeningkan anda.Lebih-lebih lagi jika nama domain yang anda inginkan sudah dibeli oleh orang lain.
Untuk mengatasinya, saya lebih suka menulis terlebih dahulu di atas kertas idea nama domain yang saya inginkan. Saya akan brainstorm dan cuba mengeluarkan seberapa banyak nama domain yang saya fikir sesuai mengikut tujuan laman web dan blog saya.
Selepas itu, barulah saya menapis dan memilih beberapa nama domain yang saya rasakan sesuai,mudah diingat, unik dan melambangkan tujuan laman web atau blog saya.
Dengan memiliki beberapa senarai nama domain cadangan, ia boleh memudahkan anda jika nama domain pilihan sudah dimilliki orang lain. Jadi anda boleh mencuba nama domain pilihan yang lain dan seterusnya.
Tip memilih nama domain
1. Lebih pendek lebih baik
Contohnya : Yahoo.com, Goggle.com, Mudah.my, Amazon.com
kedairotibamboo.com lebih pendek dan ringkas berbanding kedaiotidankekbamboo.com
2. Nama domain mudah diingat dan melambangkan tujuan laman web atau blog anda. Jika boleh, pastikan ia juga unik.
Contohnya : kursusmenaip.com, kursusmenjahit.com , motivasiterbaik.com, sitisarah.com, myteddybear.com, Rashid.biz dan sebagainya.
3. Guna sengkang (-) jika betul-betul perlu.
Kedaikek.com lebih mudah dihafal daripada Kedai-kek.com
4. Utamakan extension .com (dot com) berbanding extension yang lain.
Jika laman web anda umum, berkaitan peribadi, komersil, atau perniagaan, maka utamakan memilih domain .com kerana ia lebih mudah diingat dan penggunaannya lebih meluas (worldwide).
Pengecualian: Jika laman web anda memiliki isi kandungan yang menarik dan seterusnya mendapat pengunjung trafik yang tinggi, maka nama domain apapun sudah tidak menjadi masalah.
Langkah Mencari dan Membuat Pembelian Domain
Setelah anda menulis dan memikirkan nama domain yang sesuai untuk anda, maka anda boleh melihat sama ada domain pilihan anda tadi sudah dimiliki orang lain atau belum. Jika sudah dimiliki, gantikan dengan nama domain pilihan yang lain.
Saya selalu menggunakan khidmat carian nama domain di NetKL. Anda boleh ke NetKL dan klik pada bahagian Domain untuk membuat carian nama domain. Klik ke NetKL.
Jika anda ingin menggunakan extension .com.my , .net.my , org.my , .name.my dan .my maka anda boleh ke MyDomainRegistry di www.domainregistry.my
Setelah melakukan carian, jika nama domain pilihan anda masih ada dan available, maka anda boleh terus melakukan pembelian nama domain dan hosting di mana-mana syarikat penyedia hosting (hosting provider) pilihan anda.
Nama domain dan penyedia hosting saya adalah dibeli daripada NetKL. Ini kerana NetKL adalah antara yang termurah, di samping khidmat sokongan pelanggan NetKL merupakan antara yang terbaik.
Jika anda ingin menggunakan penyedia hosting di luar Malaysia, maka antaranya ialah
Berapakah harga satu domain?
Harga domain berbeza mengikut syarikat penyedia hosting tersebut. Biasanya adalah antara $10 hingga $15 atau RM30 ke atas bagi tempoh setahun tidak termasuk hosting.
Ada penyedia hosting yang memberikan nama domain percuma bagi setiap pembelian hosting. Ini bermaksud anda telah jimat untuk membayar harga domain. Antaranya adalah sebagaimana pakej hosting yang ditawarkan oleh NetKL.
Sekian. Semoga bermanfaat. Kongsikan pendapat anda 🙂
Dalam entri seterusnya, insyaAllah saya cuba berkongsi berkaitan hosting pula.
Kredit Imej : www.domainandtrademark.com
Leave a Reply