Assalamualaikum w.b.t
Dalam blogging, topik blog biasanya terbahagi kepada dua iaitu blog bebas dan blog bertopik (niche).
Kedua-dua jenis topik blog sama ada umum atau bertopik iaitu mengikut niche mempunyai kelebihan masing-masing.
Sekiranya anda baru bermula dalam blogging, dan ingin membina blog, perkara utama yang perlu anda fikirkan adalah topik blog anda sama ada blog umum atau blog mengikut niche topik yang tertentu.
Tip blogging daripada saya, saya cadangkan anda memilih untuk membuat blog mengikut niche atau topik yang tertentu dan tidak terlalu umum.
Ini kerana, blog mengikut niche lebih mudah dikemaskini berbanding blog yang umum di mana anda pada suatu masa nanti akan buntu, perkara apakah yang ingin anda tulis sekiranya blog anda umum.
Sebaliknya, jika blog anda berfokus, ia lebih mudah untuk anda menulis artikel yang hanya berkaitan dengan topik blog anda sahaja.
Anda boleh pilih topik berkaitan makanan, motivasi, perniagaan, tip islami, hiburan, berita, resipi, tip dan panduan dan sebagainya.
Anda juga boleh gabungkan beberapa topik berkaitan dalam sesuatu blog.
Contohnya, blog Zulpress ini fokus kepada tip blogging, motivasi, perniagaan internet dan tip kewangan.
Contoh blog lain yang bertopik ialah blog MajalahNiaga.com yang fokus kepada usahawan dan perniagaan, islamituindah.my berkaitan artikel islamik, amanz.net berkaitan informasi teknologi terkini dan sebagainya.
5 Kelebihan Blog Mengikut Niche
1. Pelawat tahu tema dan topik blog anda
Pelawat yang pertama kali ke blog anda dapat meneka tajuk blog anda dan topik yang anda bincangkan.
Sekiranya mereka berminat dengan topik blog anda dan hasil tulisan anda, barulah mereka akan bookmark atau melanggan RSS blog anda dan mengikuti kemaskini blog anda.
2. Lebih mudah membina pengikut setia blog
Blog yang bertopik membantu anda menapis pelawat blog yang mempunyai minat yang sama dengan anda sahaja.
Jika blog anda berkaitan berita it dan gadjet, maka mereka yang mempunyai minat berkaitan it dan gadjet akan selalu membaca blog anda dan menjadi pengikut setia blog anda.
3. Dapat membina kepakaran
Anda juga akan dianggap pakar dalam topik blog anda.
Ini kerana apabila anda selalu mengemaskini blog dalam topik pilihan anda, pelawat akan mula bertanya kepada anda jika mereka menghadapi sebarang masalah atau perlukan bantuan.
Ini kerana mereka menganggap anda lebih tahu daripada mereka.
4. Dapat menawarkan servis dan menjual produk
Anda dapat tawarkan servis perkhidmatan dan menjual produk berkaitan topik blog anda.
Contohnya, jika blog anda berkaitan kucing, maka anda boleh tawarkan khidmat nasihat berkaitan penjagaan kucing, servis penjagaan kucing, menjual produk berkaitan kucing, ebook berkaitan tip penjagaaan kucing dan produk lain berkaitan topik blog anda.
Anda juga boleh rekomenkan produk lain dengan menjadi rakan affiliate bagi sesuatu produk yang berkaitan dengan topik blog anda nanti.
5. Membina jenama
Apabila blog anda telah dikenali dan mendapat ramai pelawat, jenama blog anda akan dikenali ramai dalam topik blog anda.
Dan tidak mustahil, anda akan dijemput atau ditemuramah berkaitan blog anda disebabkan jenama blog anda yang semakin dikenali.
Jadi, tentukan topik blog anda sama ada satu topik atau beberapa topik berkaitan sahaja.
Seterusnya, fokus untuk hasilkan tulisan berkaitan topik pilihan anda tadi.
Itu sahaja. Teruskan menulis dan insyaAllah anda akan melihat hasilnya nanti. 🙂
Leave a Reply