Assalamualaikum w.b.t
Tahniah apabila anda sudah memulakan langkah untuk membuat blog pertama anda.
Sama ada blog percuma seperti di Blogspot dan WordPress atau blog berbayar menggunakan nama domain dan hosting sendiri.
Namun, ia adalah langkah pertama, yang anda perlu susuli dengan langkah-langkah seterusnya.
Ramai yang menyangka apabila mereka telah membuat blog, maka mereka sudah boleh relaks dan menjana keuntungan daripada blog.
Dan ada juga yang menyangka, pengguna internet akan dapat menemui blog mereka di dalam Google dan seterusnya melawat blog mereka. Akhirnya, mereka akan mendapat pelawat dan pelanggan yang ramai untuk bisnes mereka.
Ternyata anggapan di atas adalah kesilapan besar dalam blogging.
Membina blog hanyalah langkah permulaan dan lebih banyak yang perlu dilakukan untuk langkah seterusnya.
Untuk itu, saya kongsikan 8 langkah yang boleh anda ambil setelah anda memiliki blog pertama anda.
1. Rancang komitmen anda terhadap blog anda
Apakah yang sanggup anda korbankan untuk blog anda. Sejauh manakah komitmen yang anda boleh berikan untuk menjadikan blog anda mendapat bilangan pelawat yang ramai dan menjadi terkenal.
Kekerapan anda menerbitkan artikel terbaru di blog anda
Antara pertanyaan yang seringkali muncul di fikiran ialah berapakah jumlah artikel yang perlu ditulis dalam seminggu?
Adakah setiap hari anda perlu menulis satu artikel, atau 3 kali seminggu, atau seminggu sekali, setiap dua minggu atau hanya sekali sebulan.
Jawapannya adalah terletak pada komitmen masa yang anda ada dan kemampuan diri anda.
Apa yang penting adalah anda mempunyai jadual dan perancangan untuk mengemaskini blog anda sama ada seminggu sekali dan sebagainya.
Bukannya, apabila anda ada mood dan ingin berkongsi, maka anda baru ingin menulis di blog anda.
Ia bagi mengelakkan rasa malas yang akan menyebabkan blog anda tidak dikemaskini berbulan-bulan dan bertahun-tahun sehingga ia ditinggalkan begitu sahaja.
Jika ia sekadar blog catatan peribadi, maka tiada masalah. Tapi, jika anda serius dalam blogging, dan ingin menjana pendapatan pasif yang konsisten dengan blog, maka anda perlu berikan komitmen 100% untuk blog anda.
2. Sentiasa bersedia untuk belajar perkara baru dalam blogging
Contohnya :
- memilih dan menukar themes blog daripada yang asal ke themes blog yang lebih menarik dan profesional.
- mencuba pelbagai susun atur widget blog WordPress anda, dan juga memasang pelbagai jenis plugin yang sesuai dengan blog anda.
- jika anda menggunakan blog berbayar, maka anda perlu biasakan diri dengan cPanel hosting anda. Cuba lihat pelbagai fungsi yang disediakan di dalam cPanel anda.
Kunjungi blog-blog yang terkenal dan baca tip-tip perkongsian daripada mereka.
3. Mulakan menulis artikel blog anda yang pertama dan seterusnya
Langkah ini penting. Blog anda tidak bererti tanpa sebarang artikel yang diterbitkan.
Selain daripada artikel Selamat Datang ke blog anda, anda perlu kongsikan artikel yang bermanfaat kepada pembaca blog anda.
Tip untuk membolehkan blog anda tersenarai ke enjin carian Google ialah dengan menulis lebih banyak artikel.
Bagi blog baru, dicadangkan anda menulis 5-10 artikel terlebih dahulu dan terbitkannya agar artikel yang anda tulis lebih cepat tersenarai dalam Google.
Ini kerana, ia mengambil masa untuk pihak Google mengesan dan mengindeks laman blog baru yang dibina di seluruh dunia setiap hari.
Bagi artikel yang seterusnya, anda boleh terbitkan mengikut perancangan dan komitmen anda.
4. Kongsi blog anda dengan rakan blogger dan rakan FB anda
Langkah ini mudah sahaja di mana anda hanya perlu beritahu rakan-rakan anda blog baru anda dan berkongsikan link blog anda dengan mereka.
Dengan itu, ia dapat membantu blog anda menerima pelawat dan seterusnya dikenali dan diketahui oleh lebih ramai orang.
5. Pasang RSS Feed blog anda
Bagi memudahkan pelawat blog anda melanggan artikel blog anda melalui emel mereka, anda boleh pasang RSS Feed pada blog anda dengan mendaftar blog anda di atau menggunakan plugin RSS Feed melalui emel.
Bagi WordPress, RSS Feed sudah dipasang iaitu www.domainanda.com/feed
6. Pasang Borang Hubungi
Bagi saya, amat penting untuk setiap blog memiliki Borang Hubungi agar mudah pelawat blog mereka menghubungi pemilik blog dengan mudah melalui emel.
Anda boleh gunakan plugin Contact Form 7.
7. Bina Facebook Fanpage untuk blog anda
Langkah ini amat dicadangkan.
Amat mudah untuk membina fanpage di Facebook.
Anda hanya perlu bina fanpage dengan jenama blog anda dan dapatkan link yang diberikan oleh pihak Facebook untuk anda letakkan di blog anda.
Jadi, pelawat blog anda dapat Like fanpage anda dan seterusnya menjadi rakan blog anda di Facebook Fanpage anda.
Dengan ini, anda dan pelawat blog anda boleh berhubung dan berinteraksi melalui facebook.
Lebih banyak Like fanpage anda, lebih banyak potensi pelanggan bisnes anda.
8. Rangka pelan blogging anda
Pelan blogging amat penting jika anda serius dalam membina jenama blog anda.
Bagaimanakah blog anda pada 1 tahun, 3 tahun dan 5 tahun akan datang.
Dapatkah anda bayangkan apa yang anda inginkan daripada blog anda dalam tahun-tahun akan datang.
Apa yang anda rancang dan bagaimana ia dapat dilakukan.
Tetapkan misi, visi dan perancangan blog anda.
Apakah anda ingin menjana pendapatan daripada blog anda dan berapakah pendapatan yang anda mahukan?
Bilakah anda jangka anda akan mencapainya. Dan bagaimana ia dapat dilakukan?
Semuanya boleh anda fikirkan dan mula bayangkan dan rencanakan di atas kertas.
Semoga ia akan menjadikan anda lebih fokus dan bersemangat untuk menjadikan impian anda tadi menjadi realiti.
Kesimpulan
Terdapat banyak lagi tip yang insyaAllah akan saya kongsikan. Namun, buat permulaan, 8 tip yang dikongsikan ini sudah boleh menjadikan blog pertama anda mendapat tempat di enjin carian Google, mendapat lebih ramai pelawat dan menjadikan anda lebih bersemangat dan fokus dalam blogging.
Semoga bermanfaat.
Terima Kasih atas maklumat yang sangat bermanfaat ini.