Maksud Blog
Apakah maksud blog?
Blog adalah singkatan bagi “web log” iaitu istilah yang digunakan untuk menggambarkan jenis laman tertentu di internet.
Blog ialah bentuk aplikasi web yang menyerupai tulisan-tulisan (yang dimuat sebagai posting) pada sebuah halaman web umum. ~ Wikipedia
Blog vs. Laman Web (Website)
Blog adalah berbeza dengan laman web.
Ia mempunyai kelebihan tersendiri berbanding laman web. Di mana blog biasanya akan di kemaskini oleh seorang atau beberapa penulis blog (dipanggil blogger).
Penulis blog akan memilih topik yang mereka inginkan untuk ditulis dalam blog mereka dan kemudian mengemaskini blog tersebut secara berkala setiap hari,minggu, bulan atau tahun.
Blog memberikan peluang kepada blogger untuk berhubung dengan blogger lain yang mempunyai minat atau topik yang serupa dengan mereka. Dengannya, mereka dapat sentiasa berhubung dan memberikan komen antara satu sama lain.
Sebaliknya, laman web pula mempunyai fungsi yang terhad dan biasanya digunakan untuk memberi maklumat tentang sesuatu syarikat atau perkhidmatan yang disediakan.
Jenis-jenis Topik Blog
Umumnya terdapat banyak topik yang boleh dipilih. Antaranya :
Blog peribadi (topik yang paling banyak dipilih) : Iaitu perkongsian blogger tentang pengalaman, perasaan, kehidupan dan pendapat mereka di internet.
Blog bertopik: Blog yang membincangkan sesuatu topik, di mana artikel berkisar tentang topik yang dipilih.
Contohnya :
- Blog politik
- Blog kesihatan
- Blog sastera
- Blog perjalanan/travel
- Blog undang-undang
- Blog media
- Blog agama
- Blog pendidikan.
- Blog petunjuk (directory)
- Blog bisnes
- dan lain-lain.
Tips Memilih Topik Blog
1. Pilih topik yang anda paling minat
Ramai orang gagal mengemaskini blog kerana kurang semangat (passion) atau minat. Ini kerana artikel blog perlu sentiasa dikemaskini setiap hari, minggu dan bulan agar blog itu tidak terkubur begitu sahaja.
Ramai yang mempunyai banyak blog, tetapi akhirnya mereka berasa letih dan hilang minat untuk menulis.
Membuat blog amat mudah, tetapi untuk mengemaskini blog memerlukan konsistensi dan komitmen penuh seseorang blogger. Lalu bagaimana untuk kekal menulis jika kurang semangat (passion) dan minat yang mendalam?
Untuk itu, amat penting sebelum memiliki blog, fikirkan dahulu topik yang paling diminati dan topik tersebut hendaklah yang anda mempunyai banyak idea untuk ditulis.
2. Gunakan pengalaman anda
Kebanyakan blog yang berjaya adalah blog yang menjadi pakar dalam topik yang dipilih.Blog tersebut menjadi rujukan dan panduan utama pengguna internet.
Maka tidak hairanlah setiap hari beribu-ribu orang mengunjungi blog tersebut dan sanggup berkongsi artikel yang ditulis dengan rakan mereka yang lain melalui Facebook, Twitter dan sebagainya.
Untuk itu, jika anda pakar atau mempunyai pengalaman dalam sesuatu perkara, maka wujudkan blog untuknya dan kongsikan pengalaman anda untuk manfaat orang lain!
3. Tidak terlalu umum dan khusus
Seorang blogger mempunyai masa yang terhad dan juga komitmen tugasan lain (kerja,keluarga dsb.).
Jika topik yang terlalu umum dipilih, ia sudah tentu memerlukan banyak kajian dan pembacaan bagi anda untuk menulis artikel pelbagai topik. Namun, jika terlalu khusus pula, dibimbangi anda akhirnya akan kehabisan idea untuk menulis tentang topik tersebut.
Perkara paling penting adalah pilih topik berdasarkan kemampuan dengan mengambil kira faktor masa, ilmu, pengalaman dan komitmen anda yang lain. Setiap orang adalah berbeza, jangan paksa diri dan pastikan anda mampu melakukannya dengan kemampuan yang anda ada.
Rahsia Blog Ribuan Pengunjung
Sudah tentu anda pernah melihat ada blog yang mempunyai ramai pengunjung dan pembaca setia, manakala ada pula blog yang mempunyai hanya beberapa orang pengunjung sahaja setiap hari dan kadangkala tiada pengunjung.
Sudah pasti blog yang telah lama dibina mempunyai lebih banyak pengunjung berbanding blog yang baru dibina. Jadi janganlah anda risau jika pada permulaan ini masih tiada lagi pengunjung yang hadir ke blog anda.
Walaupun begitu, usaha awal perlu dilakukan. Tip untuk membina blog berjaya adalah:
Ikut apa yang blog berjaya tersebut telah lakukan. Tidak lain adalah terletak pada minat, ilmu dan pengalaman penulis blog yang diterjemahkan melalui artikel yang unik, menarik dan bermanfaat!
Semoga artikel ini dapat memberi gambaran awal tentang blog pada anda. Ikuti sambungan seterusnya dalam post berikutnya. 🙂
Rumusan (Recap) :
Apa Minat anda :
Apa Pengalaman Anda :
Topik Blog Anda :
now nisha mula faham apa itu blog, nisha baru nk buat blog.hope boleh la kita berkongsi ilmu…terima kasihh..
Tahniah! Selamat memasuki dunia blogging:,nisha. Semoga kita dapat berkongsi lebih banyak ilmu nanti.