Assalamualaikum w.b.t
Baru-baru ini, seorang usahawan wanita bertanyakan saya berkaitan blog. Beliau sudah memiliki banyak bisnes, restoran dan hartanah.
Beliau agak sibuk dengan bisnes yang dijalankan. Jadi, saya bertanya kepada beliau, kenapa beliau masih ingin memiliki blog?
Jawab beliau, beliau ingin berkongsi ilmu dan kepakaran yang beliau miliki dengan menulis di blog. Semoga segala ilmu dan pengalaman yang beliau ada, tidak akan hilang begitu sahaja bahkan dapat dimanfaatkan oleh ramai orang.
Beliau bukannya ingin menjana pendapatan dengan blog, tetapi sekadar ingin menulis dan berkongsi pengalaman beliau di blog.
Tujuan blogging
Inilah inti pati sebenar wujudnya blog. Blog bukan sekadar diwujudkan untuk menjana pendapatan, atau menjual barang dan mendapat keuntungan.
Tapi, ia lebih dari itu, lebih kepada memberi nilai dan perkongsian penulis berkaitan info, ilmu, maklumat dan pengalaman yang boleh memberi manfaat kepada pembaca blog mereka.
Soal keuntungan, adalah yang kedua dan ketiga. Bukan tujuan utama.
Apabila jelas dengan niat memiliki blog, maka lebih mudah untuk menulis dan mengemaskini blog.
Jika pelawat tidak ramai, jika tidak menduduki page yang pertama dan jika tidak mempunyai pelanggan. Maka, ia bukanlah perkara yang boleh meruntuhkan semangat kita dalam blogging.
Ini kerana, tujuan asal kita adalah berkongsi dan memberi nilai. Bukannya untuk mendapat sesuatu penghargaan atau ganjaran.
Namun, ramai yang mula membina blog, tapi tidak mempunyai matlamat yang jelas. Hingga akhirnya, hanya memiliki blog tapi tiada perkongsian bermanfaat, sebaliknya penuh dengan jualan produk sahaja.
Bayangkan apabila kita melawat sesuatu blog, tetapi apa yang kita dapat hanyalah promosi sesuatu produk sahaja. Apakah perasaan kita? Adakah kita akan melawat lagi blog tersebut?
Saya yakin, sudah pasti pelawat yang datang pada awalnya bukan untuk dipromosi, tapi mereka inginkan sesuatu informasi.
Justeru, menulislah di blog. Dengan niat berkongsi dan memberi nilai kepada pembaca anda.
Dan pada waktu yang sama, tawarkanlah sesuatu yang boleh membantu pembaca blog anda, samaada produk atau servis pada harga yang sesuai.
Sudah pasti, apabila pembaca gembira berada di blog anda, mereka tidak akan teragak-agak pula untuk membeli produk atau servis yang anda tawarkan. Kerana mereka yakin dengan anda dan autoriti kepakaran anda.
Blog Autoriti – Blog Rujukan Industri
Apabila ramai yang suka dengan blog anda, mereka akan selalu berkunjung ke blog anda, berkongsi artikel anda dan bercerita dengan sahabat mereka berkaitan blog anda.
Hasilnya, blog anda menjadi blog rujukan, blog autoriti. Dan secara tidak langsung, kedudukan blog anda di dalam enjin carian akan meningkat dan akhirnya akan menduduki page yang pertama dalam enjin carian seperti Google.
Bilakah waktunya? Usah difikirkan. Kerana, yakinlah SEO yang terbaik yang kekal dan tahan lama adalah isi kandungan blog kita sendiri. Bukannya teknik kata kunci, backlink dan sebagainya.
Apabila isi kandungan blog bermanfaat, diikuti dengan SEO yang asas, insya-Allah, blog anda akan berada di halaman utama enjin carian.
5 kelebihan menulis dan berkongsi ilmu di blog :
- Merupakan catatan yang kekal dan boleh dirujuk selagi blog anda wujud di internet
- Ilmu yang dikongsi dapat memberi manfaat pada orang lain dan pahala yang berterusan
- Membina pengikut dan pembaca blog anda yang tersendiri
- Merupakan langkah awal dan latihan yang terbaik seorang bakal penulis, sebelum anda mula menerbitkan produk informasi atau buku anda sendiri.
- Menjana pendapatan sampingan dengan blog melalui produk, servis, review, iklan dan sebagainya yang anda tawarkan
Akhirnya, sekiranya anda mempunyai pengalaman dalam sesuatu bidang, kongsikanlah ilmu dan pengalaman anda dengan blog.
Semoga dapat kita contohi semangat usahawan wanita tersebut. Menulislah sedikit demi sedikit berkongsi di blog. Moga ia dapat memberi lebih manfaat kepada orang ramai di luar sana dan menjadi saham kebaikan yang anda sumbangkan kepada orang lain.
Leave a Reply