Apa khabar? Semoga anda sihat sentiasa. Dalam tulisan kali ini, saya suka untuk berkongsi berkaitan tajuk perniagaan internet atau juga bisnes internet. Saya percaya anda juga seringkali mendengar perbincangan berkaitan topik ini yang semakin hangat diperkatakan.
Baiklah, dalam perniagaaan internet, sekurang-kurangnya terdapat 3 kategori. Kategori pertama ialah orang yang telah berjaya mendapat pendapatan yang lumayan daripada perniagaan internet. Ada yang telah pun menjadi jutawan hanya dengan perniagaan internet. Antaranya ialah mentor jutawan saya, saudara Irfan Khairi. Tidak kurang juga ada yang sudah pun menjana pendapatan di internet secara konsisten empat hingga lima angka dan melakukannya sepenuh masa atau separuh masa.
Kategori kedua ialah yang gagal mendapat pulangan pelaburan atau mereka yang gagal menjana ringgit pertama di internet. Golongan ini mungkin telah menyertai pelbagai seminar, membeli ebook, buku rujukan, produk digital dan sebagainya tetapi masih belum dapat menjana pendapatan yang konsisten melalui internet atau masih belum mendapat ringgit pertama mereka.
Manakala kategori ketiga ialah yang berminat dan masih baru dalam bidang ini. Mereka ingin mempelajari cara-cara memulakan perniagaan internet dengan betul. Mereka ingin mengenali lebih dekat berkaitan perniagaan internet dan menjana pendapatan sampingan secara separuh masa (part-time) melalui internet.
Di kategori manakah anda berada? Khas bagi yang ingin bermula dan ingin mempelajari cara-cara memulakan perniagaan internet, anda mestilah sekurang-kurangnya mengetahui dan memiliki 4 asas perniagaan internet ini terlebih dahulu.
4 Asas Sebelum Memulakan Perniagaan Internet
1. Produk atau perkhidmatan (servis)
Bagi mendapat pendapatan, anda sudah tentu perlu mempunyai produk atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan. Anda tidak perlu bimbang, terdapat pelbagai jenis produk dan perkhidmatan yang boleh anda tawarkan di internet. Paling penting adalah perkhidmatan atau produk tadi boleh menyelesaikan masalah dan membantu pelanggan menjadi lebih baik.
Anda boleh fikirkan produk atau perkhidmatan yang sesuai dengan minat dan keadaan anda. Sekiranya anda tidak memiliki produk atau perkhidmatan, anda boleh menjual produk orang lain dan mendapat komisen daripadanya. (Saya akan jelaskan model-model perniagaan internet lebih lanjut dalam tulisan akan datang)
2. Platform atau tapak kedai online anda
Setelah anda mempunyai produk atau perkhidmatan, anda perlu mempunyai platform atau tapak kedai online anda. Ini penting bagi memudahkan pengunjung internet mencari anda dan melihat tawaran produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan.
Terdapat pelbagai platform yang anda boleh gunakan antaranya :
- Menggunakan blog percuma Blogspot.com atau WordPress.com
- Menawarkan produk atau perkhidmatan anda di forum-forum seperti forum Wang Cyber
- Menjual melalui laman social Facebook
- Menjual melalui laman web anda sendiri
- Memiliki blog anda sendiri (hosting dan nama domain jenama anda) dan tawarkan perkhidmatan/produk anda
- Menawarkan servis anda di portal iklan percuma seperti majalah.com dan maiiklan.com
- Menjual melalui laman web Ebay atau Amazon.com
3. Kaedah pembayaran
Bagaimana pelanggan anda akan membuat pembayaran kepada anda di internet? Jawapannya adalah melalui akaun bank anda. Mereka boleh membuat bayaran ke akaun bank anda sama ada dengan bank-in, bank-transfer, online banking, cek, dan kad kredit. Saya amat mencadangkan anda memiliki akaun Maybank2uOnline, CIMB Clicks atau akaun bank online yang lain. Sebagai alternatif lain ialah anda juga menyediakan bayaran melalui akaun Paypal. (Bagi maklumat lanjut cara membuka akaun Paypal, saya cadangkan anda dapatkan Panduan Asas Paypal (Ebook) di sini atau Panduan Paypal (Video) di sini.)
4. Ilmu promosi atau marketing
Setelah anda memiliki produk atau perkhidmatan, menggunakan platform yang sesuai, dan meletakkan kaedah pembayaran, maka anda sudah bersedia untuk mula menjana pendapatan melalui internet. Apa yang tinggal adalah anda perlu melakukan promosi berkaitan produk atau perkhidmatan anda tadi. Ini penting agar pengguna internet di seluruh negara atau dunia dapat mengetahui kewujudan produk atau perkhidmatan anda.
Anda boleh mempelajari teknik-teknik promosi lebih lanjut di internet. Terdapat banyak panduan yang disediakan. Apa yang penting kesediaan untuk belajar lebih lanjut dalam perniagaan internet ini. Saya pun masih belajar dan insyaAllah saya akan kongsikan pengalaman saya di blog ini. Semoga apa yang dikongsikan bermanfaat buat anda. Silakan juga berkongsi idea atau pandangan anda bersama-sama di bawah. 🙂
best info..
🙂
Saya mulakan bz online blm.sethn. sama usia dhn.bz sec. offline. Alhamdullillah..terima kasih sudi share info2..yg berguna…saya mmg tercari2 ilmu spt ini….
alhamdulillah, moga bermanfaat 🙂