Assalamualaikum w.b.t
Walaupun definisi kejayaan dan kekayaan berbeza bagi setiap orang, dapatlah disimpulkan bahawa mereka yang kaya dan berjaya di dunia dan di akhirat adalah mereka yang hidupnya tenang dan bahagia di dunia, berwajah ceria dan tidak bergantung kepada orang lain.
Kekayaan dan kejayaan dibina dan bukannya datang begitu sahaja.
Ia adalah buah hasil daripada usaha seseorang mencarinya.
Apabila membaca berkaitan cerita kejayaan mereka yang kaya dan berjaya, dapatlah saya katakan terdapat beberapa persamaan di antara mereka.
Iaitu cara hidup, cara fikir dan cara mereka bertindak tidak sama dengan orang kebanyakan.
Ringkasnya, tabiat hidup mereka tidak sama dengan tabiat mereka yang lain.
5 Tabiat Mentor Jutawan
1. Mempunyai matlamat akhir (End in the mind)
Untuk membina sebuah rumah, terlebih dahulu anda perlu membayangkan bagaimana bentuk rumah yang ingin dibina dengan jelas. Berapa tingkat, berapa bilik, kedudukan setiap sudut dan bentuk dan sebagainya.
Tanpa gambaran yang jelas, mustahil untuk anda membina sebuah rumah idaman anda.
Begitu juga, Wilbur Wrights bersaudara yang berpakat untuk membina sebuah jentera yang boleh membawa mereka terbang di saat orang di sekeliling mereka mengatakan ia adalah mustahil.
Mereka tetap membayangkan bahawa mereka akan berjaya dan setelah banyak percubaan, akhirnya mereka berjaya mencipta model jentera sebagaimana yang mereka bayangkan.
Tabiat jutawan adalah mereka sentiasa mempunyai gambaran dan matlamat akhir yang jelas dan boleh dicapai sebelum mereka mula melakukan sesuatu perkara dan mereka percaya mereka akhirnya akan berjaya mencapai matlamat tersebut.
2. Mempunyai jadual
Tabiat jutawan adalah setiap masa mereka amat berharga dan tiada yang tidak diisi dengan sesuatu yang bermanfaat.
Berbeza dengan orang kebanyakan yang sebaliknya mempunyai banyak masa terluang yang tidak terisi dan dibazirkan dengan perkara tidak bermanfaat.
Bukan soal tidak cukup masa, tapi bagaimana seseorang itu mengurus masa dengan sebaiknya.
Jutawan bertindak mengikut jadual dan perancangan ke arah mencapai matlamat akhir yang telah dibayangkan.
3. Mereka konsisten dan bersemangat (Persistent & passion)
Jutawan tidak takut gagal. Mereka selalu melakukan apa juga perkara yang telah mereka rancang sehingga selesai.
Mereka tidak berhenti sekerat jalan.
Mereka komited dan bersemangat tinggi untuk bertindak pantas dan luarbiasa.
Mereka bertahan lebih lama daripada orang lain kerana mereka yakin mereka insyaAllah akan berjaya di akhirnya.
4. Mereka positif
Jutawan melihat yang positif daripada negatif.
Mereka tidak melihat kegagalan sebagai satu penghalang sebaliknya apa yang boleh mereka ambil daripada kegagalan tersebut, peluang yang ada dan penambahbaikan yang perlu dilakukan.
Mereka sentiasa positif dengan hidup mereka, dengan orang sekeliling dan dengan rezeki yang dikurniakan Allah.
5. Mereka mahir berkomunikasi dan bertindak dalam satu pasukan
Jutawan menghasilkan lebih ramai jutawan.
Jutawan tidak berjaya hanya untuk dirinya sahaja. Sebaliknya, turut membina pasukan yang kuat untuk melatih dan menghasilkan lebih ramai orang yang berjaya sebagaimana mereka.
Mereka mempunyai kemahiran berkomunikasi dengan manusia dengan seni yang tersendiri.
Ia adalah hasil daripada ilmu dan pengalaman bertahun-tahun yang mematangkan diri mereka.
Mengikut jejak mereka yang menjadi jutawan, akhirnya insyaAllah akan turut menjadikan kita jutawan.
Pilihlah mentor jutawan dunia akhirat anda, kemudian lihatlah tabiat mereka dan ikut jejak mereka sehingga anda berjaya seperti mereka.
Semoga kita menjadi jutawan di dunia dan akhirat. Amin.
Leave a Reply