Assalamualaikum w.b.t
Alhamdulillah dengan izin Allah S.W.T saya dapat menunaikan umrah saya dan selamat kembali ke tanah air. Terima kasih kepada sahabat-sahabat dan subscriber blog Zulpress yang telah mendoakan saya selamat pergi dan pulang.
Sebagai perkongsian buat semua pembaca, sama ada yang telah pergi ke tanah haram atau belum lagi, saya kongsikan antara catatan dan coretan daripada saya berkaitan ibadah umrah ini. Semoga ia bermanfaat untuk kita bersama.
1. Menunaikan umrah dan haji adalah jemputan Allah
Ibadah umrah dan haji adalah ibadah yang diwajibkan ke atas setiap orang Islam untuk ditunaikan apabila sudah mempunyai kemampuan. Apabila berpeluang menunaikan umrah dan haji, maka rebutlah peluang yang ada apabila berkemampuan. Ini kerana, peluang yang hadir adalah sebenarnya jemputan daripada Allah buat hamba-Nya yang telah dipilih.
Pasanglah niat untuk menunaikan umrah dan haji dan menjejakkan kaki di Tanah Haram Mekah dan Madinah. Apabila telah mempunyai niat, insyaAllah segalanya akan dipermudahkan Allah untuk kita melakukannya.
Ia bukanlah soal mempunyai wang atau tidak, tetapi ia adalah soal niat ingin menunaikan ibadah umrah dan haji. Berapa ramai yang mempunyai wang yang lebih, tetapi tidak mampu untuk menunaikan ibadah ini. Ini kerana, mungkin mereka tidak sesekali memasang niat untuk menunaikan ibadah ini. Sebaliknya, berapa ramai pula yang asalnya tidak mempunyai wang yang banyak, tetapi diberikan peluang dan dijemput Allah dengan pelbagai cara.
Ada yang ditanggung oleh ibu bapa dan keluarga, syarikat, universiti, pakej pelancongan, orang perseorangan dan sebagainya.
Asalkan mempunyai niat untuk menunaikan ibadah ini, insyaAllah segalanya akan dipermudahkan Allah.
Secara peribadinya, saya sudah lama memasang niat mengerjakan umrah. Dan pada tahun ini, saya tuliskan ia sebagai azam saya pada 2014 iaitu bulan Disember. Dan Alhamdulillah, segalanya telah dipermudahkan Allah.
Saya cadangkan anda untuk tulis dan tetapkan tarikh yang anda inginkan, bulan dan tahun berapa. InsyaAllah anda akan dipermudahkan Allah untuk menunaikannya.
2. Bersedia dengan ilmu
Menunaikan ibadah umrah dan haji perlukan seseorang itu mempunyai ilmu berkaitan dengannya. Rukun, syarat-syarat sah, wajib haji dan umrah, larangan ihram, pelaksanaan tawaf dan sebagainya.
Justeru, persediaan ilmu amat penting bagi membolehkan kita melakukan ibadah ini dengan pelaksanaan yang terbaik.
Ilmu ini boleh dipelajari daripada ustaz-ustaz yang memimpin kumpulan umrah dan menyertai kursus-kursus yang diadakan.
Selain itu, boleh juga dapatkan buku-buku berkaitan umrah dan haji di pasaran. Antara buku yang saya baca dan saya cadangkan bagi mereka yang akan menunaikan umrah ialah buku Nota Dari Madinah, tulisan Prof Muhd Kamil Ibrahim dan isteri.
Dengan persediaan ilmu, kita akan lebih yakin dan lebih bersedia untuk menunaikannya dengan cara paling terbaik. Lebih-lebih lagi dengan belanja yang tidak sedikit, masakan kita tidak mahu melakukannya dengan cara yang terbaik.
3. Umrah dan haji mencuci dosa
Kelebihan yang dijanjikan oleh Allah bagi mereka yang melaksanakan ibadah ini adalah keampunan dosa. Apabila ibadah umrah dan haji dilakukan dengan sempurna dan sah, maka Allah telah menjanjikan ganjaran yang besar iaitu suci daripada dosa seumpama kita baru dilahirkan kembali.
4. Bukti cinta kepada Allah dan Rasulullah S.A.W
Ibadah umrah dan haji adalah bukti cinta kita kepada Allah dan Rasulullah S.A.W apabila kita meninggalkan kampung halaman semata-mata untuk mencari cinta dan keredhaan Allah serta menziarahi nabi kita, Rasulullah S.A.W.
Apabila kita solat, kita menghadap kiblat, iaitu Kaabah. Bagaimana pula apabila kita berpeluang untuk solat betul-betul di hadapan Kaabah? Bagaimana perasaan pada ketika itu tidak dapat diungkap. Rebutlah peluang ini apabila sudah mempunyai kemampuan.
5. Ia perlukan pengorbanan
Sebagaimana kita maklum, ibadah umrah dan haji menuntut pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit dan segala kesenangan lain. Ia menuntut ketabahan, ketenangan dan kebergantungan penuh kepada Allah supaya dapat melakukan ibadah dengan sempurna.
Tua atau muda, semuanya berpeluang untuk menunaikan ibadah ini asalkan mempunyai kemampuan.
Justeru, apabila berpeluang pergi pada ketika kita masih sihat ini, maka rebutlah dan tunaikanlah ia sebelum kita diuji dengan kesakitan, kesibukan dan halangan yang lain.
6. Sabar dalam ujian
Bersabar dan berserah kepada Allah saat diuji. Sudah pasti, dalam perjalanan yang jauh ini, kita akan menemui pelbagai kesusahan yang sebenarnya adalah ujian Allah bagi melihat kesabaran kita dalam menghadapinya.
Antara ujian yang biasa dihadapi ialah ujian semasa pergi dan pulang, ujian kesihatan (demam, selesema, sakit tekak, menggelupas kulit, kulit kaki merekah, datang bulan), ujian tenaga (berjalan kaki, menunaikan ibadat, dll.), cuaca yang berbeza, hilang selipar dan barang-barang peribadi dan sebagainya.
Setiap ujian yang berlaku, perlulah dihadapi dengan kesabaran dan ketenangan. Jangan sesekali merungut, rasa kecewa dan putus asa, tetapi tetap bersabar.
7. Perbanyakkan ibadah dan berdoa
Selain menunaikan ibadah umrah dan haji, rebut juga peluang mendapat gandaan pahala yang banyak dengan memperbanyakkan amalan sunat lain seperti bersedekah, membaca al-Quran, tawaf sunat,berzikir, bertasbih dan sebagainya. Ini kerana, amat besar ganjaran pahala yang diberikan bagi setiap amalan kebaikan yang dilakukan di tanah haram ini.
8. Luangkan lebih masa di dalam Masjidil Haram, Mekah dan Masjidil Nabawi, Madinah
Apa yang istimewa di Mekah dan Madinah dan tidak ada di tempat lain adalah Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Oleh itu, manfaatkan masa sepanjang menunaikan umrah dan haji dengan beriktikaf dan berada di dalam masjid. Lebihkan masa setiap hari untuk berada di dalam masjid berbanding di bilik hotel atau di kedai-kedai.
Bukan sekadar hadir solat 5 waktu, tetapi rebutlah peluang untuk berada lebih lama di dalam masjid dan membuat amalan-amalan ibadah yang lain.
Sedikit kisah, pada malam terakhir sebelum berangkat pulang, saya sempat berbual dengan seorang pakcik. Pakcik ini merupakan ahli rombongan bersama kami tetapi itulah kali pertama saya berjumpa dengannya. Setelah lama berbual, saya dapati beliau menghabiskan masa malam beliau dengan tidur di masjid dan hanya 3 kali sahaja tidur di bilik hotelnya. Oh, saya sendiri pun mungkin tidak mampu melakukan sebagaimana beliau lakukan.
9. Rebut peluang mustajab doa
Di Mekah dan Madinah, banyakkan berdoa dan memohon apa jua hajat kepada Allah. Rebut peluang berdoa di hadapan Kaabah terutamanya di hadapan Multazam dan di dalam Hijir Ismail serta di dalam Raudah di dalam Masjid Nabawi.
Walaupun kadangkala perlu berebut dengan orang ramai, namun ia tidak menjadi masalah apabila ada niat dan keinginan, insyaAllah akan dipermudahkan Allah.
10. Ziarah Madinah dan Mekah
Di Mekah dan Madinah, terdapat pelbagai tempat menarik dan bersejarah yang seharusnya kita lawati bagi mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya.
11. Rancang kehidupan pasca umrah dan haji
Kehidupan selepas menunaikan umrah dan haji adalah lebih mencabar. Bagaimana ingin kekal suci daripada dosa, mengelakkan daripada melakukan dosa, sentiasa bertaubat kepada Allah, menjaga amalan fardu solat 5 waktu, menjaga amalan-amalan soleh yang lain, menjaga adab-adab dan akhlak, dan membina kehidupan yang lebih baik.
Semuanya perlukan perancangan dan tindakan disertai doa mohon petunjuk dan bimbingan daripada Allah. Semoga kehidupan selepas umrah dan haji menjadi lebih baik dan lebih dekat dengan Allah.
12. Semoga dijemput lagi
Ibadah umrah dan haji menggamit pelbagai kenangan sepanjang berada di tanah suci dan sesiapa yang telah pergi, sudah semestinya mahu dan ingin menjejakkan kaki lagi sekali.
Bila dan bagaimana, terserah kepada kemampuan masing-masing. Apabila menerima jemputan mengerjakan umrah dan haji, maka rebutlah ia. Semoga kita sama-sama menerima jemputan Allah mengerjakan kedua-dua ibadah umrah dan haji ini.
Assalam,
Saya amat teruja dengan berita saudara Mohd Zulfadli telah selamat kembali dari mengerjakan umarah, moga mendapat umrah yang mabrur.
Saya berminat untuk mendapat copy buku-buku yg saudara telah hasilkan.
terima kasih.
Wkmslm. Amin. Terima kasih puan atas doanya. 🙂
bestnya tuan ..ada kelapangan rezeki untuk membuat umrah
alhamdulillah, tuan.