Assalamualaikum w.b.t dan salam ramadhan.
Alhamdulillah dapat kita sama-sama menyambut bulan mulia dan penuh keberkatan bulan Ramadhan.
Semoga kita dapat memanfaatkan kesempatan berada di bulan Ramadhan pada tahun ini dengan berpuasa dan beribadah dengan sebanyaknya.
Justeru, mari kita telusuri beberapa amalan yang amat dianjurkan dan mempunyai banyak kelebihan terutamanya apabila dilakukan pada bulan Ramadhan ini.
13 Amalan Di Bulan Ramadhan
1. Memperbetul niat
Apakah niat kita berpuasa di bulan Ramadhan? Apakah perasaan kita apabila menyambut bulan Ramadhan?
Mari kita perbaharui niat kita di bulan Ramadhan ini untuk berpuasa semata-mata kerana Allah Taala dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan-Nya.
Kita semarakkan rasa gembira dan penuh kesyukuran dapat berada di bulan ini dengan membuat amalan sebanyak mungkin bagi merebut ganjaran pahala yang digandakan dan juga pengampunan dosa di masa lalu.
“Ertinya : Setiap amal manusia adalah untuk dirinya, satu perbuatan baik akan dibalas dengan sepuluh kebaikan sampai tujuh ratus kali ganda, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Orang yang berpuasa meninggalkan nafsu syahwatnya, makanannya, minumannya untuk Aku. Orang yang berpuasa memiliki dua kebahagian, yaitu kebahagian saat berbuka puasa dan kebahagiaan saat berjumpa dengan Tuhannya. Sungguh bau mulut orang yang sedang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada harumnya minyak wangi kasturi.”
Rasulullah Salallahu alaihi wa sallam bersabda.
“Ertinya : Barang siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan berharap pahala Allah, maka diampuni dosa-dosanya di masa lalu.” (Hadits Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim)
2. Tilawah Al-Quran
Amalan yang amat dituntut dan dianjurkan pada bulan ini ialah tilawah dan tadarus al-Quran. Seboleh-bolehnya diusahakan untuk khatam al-Quran sekurang-kurangnya sekali pada bulan ini.
3. Solat berjemaah
Amalan solat berjemaah setiap waktu di masjid dijanjikan gandaan pahala berlipat kali ganda.
4. Qiamullail
Bangun pada waktu malam (di akhir malam) dan menunaikan solat-solat sunat dapat mendekatkan kita dengan Allah Taala. Lebih-lebih lagi di 10 malam terakhir bulan Ramadhan di mana ada satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan iaitu malam lailatul qadar.
Pahala yang dijanjikan Allah Taala apabila kita beribadat pada malam tersebut menyamai kita beribadat 83 tahun 4 bulan.
“Ertinya : Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada Lailatul Qadar (malam kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar” (Al-Qadr: 1-5)
5. Istighar dan bertaubat
Banyakkan beristighfar dan bertaubat memohon ampun di atas kesalahan dan dosa-dosa yang telah kita lakukan.
Jadikan amalan kita untuk beristighfar 70 kali atau 100 kali setiap hari. Semoga ia menjadikan kita lebih dekat dengan Allah Taala dan disayangi-Nya.
Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:
Maksudnya: “Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam: “Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya”.” (Hadis riwayat Abu Daud)
6. Berselawat kepada Nabi Muhammad S.A.W
Sabda Rasulullah S.A.W : “Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” (Hadis Riwayat An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.)
7. Solat terawih
Dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda: “Barangsiapa yang mengerjakan solat sunat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan hanya mengharapkan pahala dari ALLAH, maka akan diampunilah dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)
8. Berzikir dan berdoa
Diriwayatkan oleh Turmudzi dengan sanad yang hasan, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Ada 3 golongan yang tidak ditolak do’a mereka, iaitu orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin negara yang adil dan orang yang teraniaya.”
9. Berdoa meminta ampun, memohon syurga dan dijauhkan daripada api neraka
Ummul Mukminin, Aisyah, semoga Allah meredhainya, pernah bertanya kepada Rasulullah Salallahu alaihi wa sallam : Wahai Rasulullah, bila aku mendapati malam lailatul qadar, doa apakah yang sebaiknya saya baca? Maka Nabi Muhammad Salallahu alaihi wa sallam bersabda: Bacalah
“Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul al-afwa fa’ fu ‘anniy” :
Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, dan suka untuk memberi ampunan, maka ampunilah aku ” (Hadis Riwayat Imam Ahmad, Tirmidzi dan dishahihkannya)
10. Menunaikan zakat fitrah
Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a., ia berkata : Rasulullah S.A.W telah memfardhukan zakat fithrah untuk membersihkan orang yang puasa dari perbuatan sia-sia dan dari perkataan keji dan untuk memberi makan orang miskin. Barang siapa yang mengeluarkannya sebelum shalat, maka ia berarti zakat yang di terima dan barang siapa yang mengeluarkannya sesudah shalat ‘Ied, maka itu bererti shadaqah seperti shadaqah biasa (bukan zakat fithrah ). ( Hadis Riwaayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Daruquthni)
11. Bersedekah
Dari Ibnu Abbas r.a katanya: “Rasulullah S.A.W adalah seorang yang paling dermawan, dan sifat dermawannya itu lebih menonjol pada bulan Ramadhan yakni ketika ditemui Jibril. Biasanya Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan, dibawanya mempelajari al-Quran. Maka Rasulullah S.A.W lebih murah hati melakukan kebaikan dari angin yang bertiup.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
12. Beriktikaf
Dari Ibnu Umar r.a berkata: “Rasulullah S.A.W selalu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)
13. Memberi makan
Rasulullah S.A.W bersabda: “Ertinya : Barang siapa yang memberi makan orang yang berbuka puasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahala orang berpuasa tadi.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad, An Nasa’i dan dishahihkan oleh Syaikh Al Albani rahimahullah)
Semoga kita dapat mengamalkan amalan di atas mengikut kemampuan kita. InsyaAllah.
Salam Ramadhan. 🙂
Leave a Reply