Assalamualaikum w.b.t
Ramai yang ingin berubah tetapi mereka menunggu dan menunggu sehingga ke masa yang sesuai yang tidak pasti bilakah masanya.
Saya juga pernah mengalaminya. Apabila semakin ditunggu masa yang sesuai itu, saya tidak temui kerana ia tidak akan datang jika saya tidak menyediakan masa ‘sesuai’ tersebut.
Sebaliknya, saya perlu juga akhirnya bertindak walaupun telah rugi masa saya yang berharga akibat selalu menunggu.
Jadi, bagaimana ingin mengatasinya?
Dalam artikel kali ini, saya kongsikan beberapa tip bagaimana anda boleh membuat perubahan ke arah mencapai impian anda bermula di mana anda berada.
Tip ini adalah hasil daripada pembacaan saya dalam buku Start Where You Are (Segalanya Bermula di sini) oleh Chris Gardner yang telah dialihbahasa oleh PTS.
15 Tip Bermula di Mana Anda Berada
1. Jangan tunggu masa yang sesuai
Tiada masa yang sesuai. Sebaliknya masa yang sesuai adalah sekarang dan hari ini.
Berhenti memberi alasan. Gunakan apa yang ada dahulu. Yang penting mulakannya.
Jangan bertangguh kerana anda akan terlepas beberapa peluang berharga dalam hidup anda.
2. Tetapkan perancangan
Rancang sebelum melakukan sesuatu.
Tanpa perancangan, anda ibarat menembak tanpa sasaran.
Tanpa perancangan, impian hanya akan tinggal impian.
Bertindaklah hasil daripada pelan perancangan yang jelas dan tepat.
3. Pilih untuk bertindak
Anda boleh memilih untuk melakukan sesuatu atau tidak melakukan sesuatu.
Pilihan yang betul akan membawa anda ke jalan yang betul dan sebaliknya.
Anda 3 bulan akan datang adalah hasil daripada pilihan tindakan anda hari ini.
Pilihlah untuk bertindak sedikit demi sedikit daripada menunggu kesempurnaan baru hendak bertindak.
Ini kerana, langkah yang kecil ke hadapan akan membawa anda sampai ke destinasi yang ingin dituju akhirnya.
4. Mula dengan apa yang ada
Allah Maha Adil. Allah Maha Mengetahui akan setiap urusan hamba-Nya.
Setiap yang dikurniakan Allah adalah nikmat yang harus disyukuri dan digunakan dengan sebaiknya.
Sejauh mana anda menggunakan nikmat kesihatan, masa yang terluang, kepandaian dan akal fikiran, kewangan, tenaga dan nikmat lain yang diberikan Allah setiap hari ?
Gunakanlah apa yang anda ada untuk memulakan sesuatu perancangan menjadikan impian anda satu realiti.
Dan jangan jadikan apa yang anda tiada sebagai alasan untuk tidak bertindak.
5. Tiada alasan
Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
Kenapa ada yang berjaya walaupun mereka serba kekurangan?
Ini kerana mereka tidak memberikan alasan untuk tidak bertindak. Sebaliknya, mereka mencari penyelesaian dengan mula bertindak.
6. Cari inspirasi dan mentor
Pilihlah dengan siapa anda berkawan.
Berkawan dengan tukang besi, maka anda turut terkena percikan besi. Sebaliknya, berkawan dengan penjual minyak wangi, maka anda turut berbau wangi.
Berkawanlah dengan orang-orang yang berjaya dan cari mentor yang telah berjaya dan telah melalui jalan yang ingin anda lalui.
Berkawan dan bermentor dengan mereka yang telah berjaya, maka anda juga terpaksa berjaya sebagaimana mereka.
7. Lupakan yang lepas. Teruskan melangkah.
Lupakan kesedihan dan kepahitan masa lalu.
Tetapi, belajarlah daripada kesilapan lalu agar tidak mengulanginya lagi.
Ingatlah, setiap perkara yang berlaku ada sebab dan hikmah tersendiri didikan dan ujian daripada Allah.
Teruskan melangkah ke hadapan membina hidup yang lebih baik dan penuh pengharapan pada-Nya.
8. Lukis peta hidup anda
Apakah peta hidup anda? Apa yang anda ingin capai dan lakukan sepanjang hidup anda?
Apa yang telah lepas, telah pun berlalu.
Sebaliknya, anda mampu untuk merancang peta hidup anda pada masa hadapan.
Lukis peta hidup anda, 1 tahun, 3 tahun, 5 tahun dan 10 tahun akan datang dan seterusnya apa yang anda ingin capai dan lakukan supaya hidup kehidupan anda bermakna dan tidak anda sesali.
9. Percaya bahawa anda unik
Anda dan setiap orang adalah unik.
Masing-masing mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri.
Cari kelebihan anda, dan kongsikan dengan orang lain agar ramai mendapat manfaatnya.
Cari “butang” dalam diri anda. Bangkitkan singa yang sedang tidur di dalam diri anda.
Yakinlah, anda punya kehebatan dan bakat tersendiri yang Allah telah kurniakan.
Cari dan terus cari sehingga anda temuinya dan seterusnya kongsikan keunikan anda kepada dunia.
10. Hukum bekerja keras
Tiada kejayaan tanpa usaha.
Bekerja keras adalah resipi kejayaan.
Ia bukanlah semata-mata dengan rajin bekerja.
Tetapi, melakukan tindakan dan kerja yang luar biasa hebat dengan ilmu yang betul.
Sesiapa bersungguh, pasti insyaAllah dia akan mendapatnya.
11. Segalanya bermula dengan ilmu
Melakukan sesuatu perlu dengan ilmu.
Tuntutlah ilmu yang bermanfaat walau di mana anda berada.
Ilmu makanan minda.
Tambah ilmu dan amalan, insyaAllah segala ketenangan, kebahagiaan dan kekayaan akan bertambah.
12. Wang adalah sahabat tetapi ia bukan segalanya
Wang bukanlah matlamat utama.
Sukai wang, cintai wang dengan keyakinan ia bukanlah segalanya.
Gunakan wang untuk kebaikan maka hidup akan diberkati.
Carilah kebahagiaan dan ketenangan diri, dengan penyucian diri zahir dan batin.
Maka, insyaAllah aliran wang tidak akan bocor dan rezeki semakin bertambah.
13. Capai level masteri
Menjadi pakar dan master dalam sesuatu bidang adalah kelebihan.
Tiru orang yang pakar, anda akan turut berjaya.
Dan kekal lebih lama dengan bidang anda, anda kelak pula akan menjadi pakar.
14. Miliki impian yang besar
Hidup tanpa impian dan harapan ibarat rumah yang kosong.
Tidak salah untuk berimpian dan berharap menjadi kaya, menjadi baik dan sebagainya.
Kerana manusia sememangnya dijadikan Allah mempunyai keinginan terhadap segala sesuatu.
Pasanglah impian anda sebesar mungkin melebihi kemampuan anda sekarang.
Jadikan ia mencabar tetapi realistik.
Kemudian, lihat dengan mata hati, visualisasikan dalam minda, yakin kenapa anda ingin mencapainya dan mula bertindak walaupun sedikit demi sedikit.
InsyaAllah, walau sebesar mana impian dan harapan anda tadi, pasti Allah akan aturkan caranya.
Berdoa dan yakinlah, Allah Maha Mengatur dan Maha Mengetahui.
15. Jadikan impian anda kenyataan
Impian anda adalah hak milik anda.
Maka, ia adalah tugas anda untuk menjadikannya satu kenyataan.
Bagaimana?
Terima bahawa anda perlu melakukan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu.
Caranya ialah, bertindaklah hari ini sedikit demi sedikit mengikut perancangan anda
BERMULA DI MANA ANDA BERADA!
Leave a Reply