
Assalamualaikum w.b.t
Setiap orang tidak akan pernah lari daripada berfikir tentang rezeki.
Orang kaya atau miskin sentiasa berfikir tentang rezeki. Walaupun kaya dengan harta yang banyak, masih lagi bimbang dengan rezeki.
Kenapa begini? Sebab rezeki bukan letaknya pada jumlah wang yang dimiliki. Tapi bagaimana anda melihat rezeki dan perasaan anda dengan rezeki.
Dalam kelas online Formula Luas Rezeki, salah satu topik yang suka saya kongsikan adalah 2 Kategori Aku & Rezeki.
2 Kategori Aku & Rezeki :
- Orang yang bimbang dengan rezeki
- Orang yang tenang dengan rezeki
Orang yang bimbang dengan rezeki
Orang yang bimbang dengan rezeki melihat rezeki adalah masalah utama mereka.
Bagi mereka, bangun sahaja tidur, dalam hati dan fikiran sudah difikirkan rezeki mereka yang tidak cukup, perasaan tak tenang, perasaan inginkan banyak lagi, inginkan kejayaan lagi, belum lagi capai impian, perlu fikir lagi cara nak tambah income, hari ini sama seperti semalam, ada banyak kerja yang nak dibuat hari ini, ada banyak masalah yang perlu diselesaikan, masa yang tak cukup, tugasan yang banyak, hidup ni perlu bergantung dengan orang lain, aku tidak mampu berjaya, aku sudah ditakdirkan hidup begini dan banyak lagi fikiran yang membuatkan hati kita sendiri tidak tenang dan hilang salah satu kunci rezeki terbesar yang hanya dimiliki oleh orang yang tenang dengan rezeki.
Orang yang tenang dengan rezeki
Sebaliknya, orang yang tenang dengan rezeki adalah orang yang saat bangun tidurnya mengucapkan segala puji bagi Allah yang telah hidupkan aku setelah aku tidur.
Bangun sahaja tidur, terus mengucapkan pujian SYUKUR kepada ALLAH di atas peluang hidup yang masih diberikan Allah. Ini adalah kunci rezeki terbesar.
Berapa ramai yang sudah tidak bahagia saat pertama bangun tidur. Orang yang bahagia, tenang, ceria dan menikmati hidup ini adalah orang yang bersyukur saat bangun tidur.
Fikiran penuh dengan perasaan aku syukur Allah hidupkan aku, aku syukur Allah beri aku peluang untuk beribadah, aku syukur Allah beri aku rezeki terbaik,aku syukur Allah beri aku kesihatan nikmat penglihatan pendengaran pernafasan kenderaan rumah dan nikmat tak terhitung.
Orang yang tenang adalah optimis, ceria, yakin Allah Maha Pengatur dan Pemberi Rezeki, rezeki hari ini halal dan terbaik, dan mereka serahkan aturan rezeki kepada Allah.
Kenapa kita sibuk nak fikirkan soal rezeki sedangkan rezeki urusan Allah.
Yang perlu difikirkan adalah bagaimana saya nak gunakan nikmat Allah beri ini dengan terbaik untuk dekatkan diri kepada Allah?
Bekerja, berniaga, berzikir,istighfar dan semua amalan adalah diniatkan untuk dapatkan reda, kasih sayang Allah.
Orang terbaik di sisi Allah adalah orang yang paling banyak manfaatnya untuk orang lain.
Rumus Rezeki Kuasa Dua
2 Cara sahaja. Sama ada anda tambah manfaat kebaikan yang mampu anda berikan atau anda tambah bilangan orang yang mampu anda berikan manfaat.
Kerana rumus rezeki adalah semakin ramai yang kita tolong dan beri manfaat, semakin luas rezeki yang Allah gandakan.
Contoh mudah, jika anda penjual air balang.
Cara pertama Tambah bilangan manfaat, ciri-ciri, kelebihan produk atau servis
Upgrade packaging, beri variasi pilihan harga kepada pengguna, pilihan menu tambahan, tambah produk berkaitan, tambah khidmat pelanggan, beri extra gift, diskaun, dan banyak lagi yang boleh dilakukan dengan tiru vasi orang lain yang telah berjaya.
Cara kedua Tambah bilangan pembeli
Promosi percuma, promosi berbayar, pemasaran mulut ke mulut, senyuman manis, kupon keluarga, beli 1 percuma 1, dan banyak lagi cara nak tambah bilangan pembeli.
Ringkasnya, apabila anda SYUKUR dengan menjual air balang ini, anda akan ada misi yang besar contohnya misi anda Saya nak bantu 1000 orang menikmati air balang terbaik di Selangor. Saya nak bantu 100 ejen mulakan bisnes air balang dan jana pendapatan 1k sehari.
Semua idea nak buat baik, nak beri manfaat akan anda peroleh apabila hati anda tenang, fikiran anda juga tenang dengan rezeki. Tugas anda adalah jadi lebih baik, beri manfaat sebanyaknya setiap hari kerana Allah.
Serahkan soal rezeki kepada Allah. Syukuri setiap apa yang anda miliki sekarang. Dan mula fikir untuk beri lebih kebaikan ikut kemampuan anda.
Syukuri setiap saat. Syukuri setiap hela nafas. Yakin bantuan Allah akan datang apabila anda tenang.
Banyakkan ingat Allah berzikir. Hati anda akan tenang. Hidup anda akan tenang.
Hidup ini amat singkat untuk kita terus bimbang. Hiduplah dengan tenang dan yakin dengan aturan rezeki Allah apabila anda hidup beri manfaat kerana Allah.
Leave a Reply