Assalamualaikum w.b.t
Bagaimana kita hidup hari ini menentukan bagaimana kita akan menghadapi hari esok.
Orang yang bahagia ialah mereka yang hidup pada hari ini dan pada masa sekarang dengan hidup yang terbaik dan bermanfaat.
Manakala orang yang rugi ialah mereka yang hari ini sama atau lebih buruk daripada semalam.
Oleh itu, amat penting untuk kita menjaga dan mengawal beberapa perkara di dalam hidup kita untuk memastikan kita pada tahap terbaik untuk melakukan sesuatu perkara yang telah kita rancang dengan baik.
Biasanya, apabila seseorang itu telah rancang harinya, apa yang ingin dilakukan dan apa yang perlu diselesaikan, seringkali hanya sedikit sahaja perkara yang dapat disiapkan.
Yang lain, sama ada dibawa ke hari berikutnya atau terus dilupakan.
Setiap orang mengalamai masalah ini. Iaitu masalah sukar untuk bertindak mengikut perancangan.
Ia berlaku apabila kita gagal dalam mengawal beberapa perkara utama dalam hidup kita setiap hari.
Apabila anda dapat mengawal 5 perkara ini, insyaAllah banyak perkara yang dapat anda lakukan setiap hari, apa yang anda telah rancang akan dapat diselesaikan dan masa anda setiap hari akan penuh bermakna.
5 M – Merancang dan mengawal diri ke arah kejayaan
- Mengawal masa
Harta paling berharga yang kita peroleh setiap hari adalah masa 24 jam. Bagaimana kita gunakannya akan menentukan perkara-perkara yang kita akan peroleh pada masa akan datang.
Jika masa dihabiskan begitu sahaja, maka tidak ada apa yang akan diperoleh bahkan kita menjadi orang yang rugi.
Apabila masa digunakan dengan aktiviti berfaedah seperti beribadah, bekerja, berniaga dan membaca buku, maka kita telah gunakan masa kita dengan baik untuk manfaat pada masa akan datang.
Oleh itu, amat perlu untuk kita menjaga dan mengawal masa setiap hari dengan memastikan setiap jam dan minit terisi dengan perkara yang betul dan seharusnya kita lakukan.
Antara cara mengawal masa adalah membuat jadual harian dan blok masa.
Anda boleh blok masa anda setiap hari untuk melakukan perkara yang penting yang mesti anda lakukan. Lupakan perkara lain pada blok masa tersebut. Lakukan sehingga masa tamat.
Contohnya, blok masa saya adalah pada pukul 10 malam hingga pukul 1 pagi. Maka, saya hanya akan membuat perkara berkaitan perniagaan dan penulisan sahaja pada waktu ini.
Apakah pula masa premium anda? Pastikan anda blok masa tersebut untuk anda lakukan perkara yang produktif sahaja.
Katakan tidak kepada perkara remeh yang membazir masa anda. Ini kerana perkara paling mahal yang tidak ada nilainya adalah masa sekarang.
- Mengawal tenaga
Dalam diri kita mempunyai suatu momentum dan tenaga yang hebat jika kita dapat gunakannya dengan sepenuhnya.
Tenaga kadangkala kuat dan kadangkala lemah.
Tenaga menjadi kuat apabila ada motivasi tinggi, keazaman dan kesungguhan yang tinggi untuk mencapai sesuatu. Sebaliknya tenaga menjadi lemah apabila motivasi rendah dan tidak ada kesungguhan dalam bertindak.
Tenaga dalam diri juga dipengaruhi oleh banyak faktor antaranya adalah keimanan di dalam diri dan bagaimana kuantiti makanan yang kita makan setiap hari.
Apabila anda makan terlalu banyak, badan anda akan menjadi malas kerana tenaga banyak dihabiskan untuk membakar dan memproses makanan tadi.
Oleh itu, amat penting untuk anda gunakan tenaga anda pada perkara yang penting sahaja. Contohnya, yang manakah lebih bijak menggunakan tenaga menonton drama selama 2 jam berbanding membaca buku kegemaran anda selama 2 jam.
Jumlah tenaga yang digunakan hampir sama tetapi manfaatnya berbeza.
Sama juga, apabila membazir tenaga dengan asyik tidur selepas solat Subuh hingga tengahari berbanding keluar rumah mencari rezeki atau mencari ilmu.
Jadi, bagaimana anda gunakan tenaga anda setiap hari? Apakah ke arah matlamat kejayaan anda pada masa depan atau sekadar mengisi masa yang kosong sahaja.
- Mengawal fikiran
Fikiran yang bersih dan positif akan mendorong tindakan yang baik dan berkesan.
Sebaliknya, apabila fikiran kotor dan negatif akan mendorong ke arah keburukan dan sikap yang negatif.
Fikirlah perkara yang boleh menenangkan jiwa dan membantu hidup kita menjadi lebih baik dan dekat dengan Allah.
Jika hidup dalam kekurangan wang, fikirlah bagaimana caranya dapat kita mencari pendapatan tambahan. Bukannya berfikir bahawa kita memang ditakdirkan miskin dan cukup makan sahaja.
Lakukanlah sesuatu hasil daripada fikiran yang baik, dengan perancangan dan ilmu yang betul.
- Mengawal diri
Setiap tindakan dan kerja buat kita adalah terletak pada kita sendiri untuk mengawalnya dengan izin Allah.
Dalam istilah motivasi, ia disebut disiplin diri.
Disiplin diri yang tinggi akan membantu kita ke arah melakukan perkara yang seharusnya kita lakukan dan bukan perkara yang kita mahu lakukan.
Contohnya, kita boleh memilih untuk duduk menonton televisyen di rumah sahaja atau ke luar rumah mencari kerja atau berniaga.
Orang yang cemerlang adalah mereka yang boleh mengawal diri mereka untuk melakukan hanya perkara yang dirancang sahaja. Dan pada waktu yang sama menolak perkara yang lain yang tidak penting dan tidak ada dalam perancangan.
Disiplin diri dapat ditingkatkan dengan mempunyai kemahuan kuat untuk berjaya dan mengubah hidup.
- Mengawal iman
Perkara paling penting setiap hari adalah mengawal iman di dalam diri.
Iman juga seringkali turun dan naik.
Oleh itu, menjaga iman agar tidak turun amat penting iaitu dengan melakukan amalan soleh setiap hari.
Menjaga solat 5 waktu adalah amalan wajib untuk menjaga iman kita dan memastikan kita tidak melakukan dosa dan kemungkaran.
Tambah iman setiap hari dengan amalan sunat seperti solat sunat Dhuha, solat sunat Taubat, istighfar, berzikir, bersedekah dan berselawat. InsyaAllah iman kita akan terjaga.
Apabila iman baik dan sihat, hidup kita akan sentiasa dirahmati Allah dan diberikan bantuan oleh Allah.
Kesimpulannya, apabila kita dapat menjaga 5M ini, insyaAllah setiap apa yang kita lakukan akan penuh bermanfaat dan segala yang dirancang dapat disiapkan untuk kita lebih berjaya hari demi hari.
Leave a Reply