Assalamualaikum w.b.t
Masa sentiasa berjalan ke hadapan. Begitu jua hidup kita perlu terus berjalan ke hadapan menjadi lebih baik hari demi hari.
Mengurus masa perlulah seimbang dari pelbagai aspek kehidupan. Masa 24 jam perlulah dibahagikan dan diurus dengan sebaiknya agar tidak mengabaikan aspek penting yang lain.
Dalam tulisan kali ini, saya kongsikan bagaimana boleh kita membahagikan masa kepada 6 zon masa supaya hidup kita setiap hari seimbang dan penuh makna.
6 Zon Masa
1. Masa beribadah
Masa beribadah adalah masa yang khusus untuk kita melakukan amalan fardhu dan amalan sunat. Selain solat fardhu 5 waktu, peruntukkanlah sejumlah masa untuk melakukan solat sunat seperti solat sunat tahajud, solat sunat witir, solat sunat Dhuha, solat sunat sebelum dan selepas fardhu, membaca al-Quran, berzikir, berselawat, beristighfar, solat berjemaah di masjid, mendengar tazkirah agama, berpuasa dan ibadah yang lain.
Bahagikan masa untuk beribadah dengan baik kerana ia adalah masa utama yang amat penting untuk bekal kehidupan kita di akhirat kelak.
Jangan sesekali mengabaikan masa beribadah ini dan leka dengan aktiviti yang lain. Masa beribadah adalah perlu bagi menjamin kebahagiaan dan ketenangan hidup di dunia dan akhirat.
2. Masa diri sendiri
Seterusnya, peruntukkan masa untuk diri sendiri. Antaranya adalah masa untuk anda berehat, mandi, tidur, beriadah, makan, berjalan-jalan, bersosial, berhibur, melakukan hobi kegemaran anda, mencuci rumah dan sebagainya.
Pastikan masa yang digunakan tidak berlebihan dan tidak mengganggu aktiviti utama anda yang lain.
3. Masa bekerja
Masa bekerja adalah jam anda bekerja yang mana anda terikat dengan waktu yang telah ditentukan. Biasanya dari pukul 7 pagi hingga 5 petang mengikut jenis pekerjaan anda.
Jadi, bekerjalah dengan sebaiknya, tekun dan ikhlas menyelesaikan tugasan yang telah diamanahkan kepada anda.
4. Masa belajar
Jangan lupa, peruntukkan sejumlah masa untuk anda belajar sesuatu baru dan menambah ilmu dalam bidang anda.
Peruntukkanlah masa untuk anda mendengar perkongsian ilmu, membaca buku, menghadiri seminar atau kursus, mendengar buku audio dan aktiviti lain yang boleh menambah ilmu anda yang sedia ada.
Semakin banyak yang anda pelajari berkaitan bidang anda, maka semakin bertambah ilmu dan kefahaman anda terhadap sesuatu perkara. Secara tidak langsung, pendapatan anda juga akan turut bertambah apabila lebih banyak peluang dan idea yang muncul.
5. Masa berniaga/bisnes
Selain bekerja, sekiranya anda mahu, peruntukkanlah sejumlah masa untuk anda berniaga atau menjana pendapatan sampingan separuh masa.
Cari perniagaan yang anda minati dan mampu memberi keuntungan kepada anda, kemudian pelajarilah ia dan lakukanlah sedikit demi sedikit sekurang-kurangnya 1 jam setiap hari.
Jika anda suka menulis, maka tulislah buku anda beberapa muka surat, sedikit demi sedikit setiap hari. Jika anda suka menulis di blog, maka kongsikanlah artikel perkongsian bermanfaat di blog anda setiap minggu. Jika anda minat menjual makanan, maka pelajari bisnes makanan dan lakukanlah secara kecil-kecilan.
Ramai yang bermula kecil-kecilan dahulu. Apabila telah stabil, barulah mereka mula serius dengan perniagaan yang telah diusahakan.
6. Masa bersama keluarga
Jangan dilupakan, masa untuk bersama keluarga.
Keluarga ibarat pengubat segala keletihan yang dirasai. Luangkan masa bersama keluarga dan terokai keseronokan bersama ahli keluarga anda dan anak-anak anda.
Lakukanlah aktiviti bersama keluarga setiap minggu walaupun sekadar jamuan makan bersama ahli keluarga.
Ingatlah, kerja dan perniagaan mungkin akan anda tinggalkan, tapi hubungan kekeluargaan akan kekal sampai bila-bila.
Semoga 6 zon masa ini dapat kita seimbangkan dalam menjadi lebih produktif mengurus masa dalam kehidupan kita setiap hari.
Leave a Reply