Assalamualaikum w.b.t dan salam motivasi.
Kehidupan kita setiap hari adalah mengikut rutin yang kita biasa lakukan. Kita cenderung untuk melakukan sesuatu perkara berulang kali pada waktu yang sama setiap hari. Lama-kelamaan perkara tersebut akan menjadi rutin kebiasaan kita di mana kita terprogram secara automatik untuk melakukannya.
Bagi golongan cemerlang atau penggapai (high achievers), mereka akan merancang dan membentuk rutin mereka setiap hari. Tiada masa yang dibiarkan berlalu dengan aktiviti yang tidak bermanfaat, sebaliknya mereka cuba memprogram diri mereka untuk hanya melakukan perkara yang produktif dan bermatlamat.
Dalam tulisan kali ini, mari kita lihat 7 perkara, tabiat, sistem atau disiplin yang menjadi amalan rutin harian para penggapai (high achievers) :
Anda boleh mempelajari 7 disiplin ini dengan latihan dan pengulangan setiap hari sehingga ia terprogram secara automatik menjadi tabiat dan rutin harian anda.
7 Sikap ‘High Achievers’
1. Penetapan Gol dan Matlamat (Goal Setting)
Luangkan masa 5-10 minit untuk anda menulis kembali apakah target dan gol yang ingin dicapai pada hari ini. Sebaiknya, rancang penetapan gol ini pada malam sebelumnya atau pada awal pagi hari.
Gunakan buku catatan atau buku nota untuk menulis sekurang-kurangnya 3 gol utama yang wajib kita lakukan pada hari tersebut. Anda juga boleh menulis 5 atau 10 gol anda setiap hari mengikut kemampuan anda. Namun, saya cadangkan anda bermula dengan 3 gol terlebih dahulu.
Dengan menulis gol anda di awal hari, minda bawah sedar anda secara tidak langsung akan diaktifkan untuk memberi kesedaran, buah fikiran dan kemungkinan yang ada untuk anda merealisasikan gol tersebut.
Fokuskan segala tenaga, masa dan fikiran anda untuk melaksanakan 3 gol utama ini dengan segera sebelum melakukan tugasan yang lain.
2. Perancangan dan Penjadualan
Setelah anda menulis gol anda di atas kertas, tentukan masa dan jumlah masa yang diperlukan. Sentiasa bertindak berdasarkan senarai dan jadual yang anda telah tentukan.
Inilah rahsia sikap penggapai yang HANYA akan melakukan perkara yang ada di dalam senarai perancangan mereka.
3. Penetapan Keutamaan (Prioritize)
Lakukan aktiviti mengikut keutamaan. Nilai setiap aktiviti yang anda lakukan dan jumlah masa yang diambil. Lakukan aktiviti berprioriti tinggi dan perlu diselesaikan dengan segera. Barulah melakukan aktiviti penting tapi tidak segera.
4. Tumpuan kepada Aktiviti Bernilai Tinggi
Mereka yang cemerlang hanya melakukan aktiviti yang bernilai tinggi dan mengagihkan aktiviti yang lain kepada orang lain.
Beri tumpuan dan fokus tenaga untuk menyelesaikan tugasan paling penting dan berimpak tinggi. Sebaliknya, upah orang lain melakukan perkara yang anda kurang mahir, memerlukan masa yang lama dan kurang penting.
Atau, lakukan perkara tersebut pada waktu sampingan anda, bukannya pada waktu prima anda.
5. Senaman dan makanan seimbang
Kesihatan adalah perkara terpenting. Jangan lupa bersenam setiap hari dan menjaga cara pemakanan dengan baik.
Jangan abaikan kesihatan. Dapatkan rehat yang secukupnya, bersenam 20 minit setiap hari dan saya cadangkan 1 hari cuti daripada kerja anda (1 day off) khas untuk anda kembali cergas bertenaga (recharge).
6. Sentiasa belajar dan berfikir
Minda dan fikiran manusia sentiasa berkembang. Jika anda tidak menggunakannya, ia akan semakin lemah.
Sentiasa membaca, berinteraksi dan menambah ilmu dalam bidang kepakaran anda agar dapat menambah lebih berpengetahuan dan luas fikiran.
Ingatlah, pelaburan paling bernilai ialah pelaburan ilmu. Jadi, tidak rugi untuk anda sentiasa melabur dalam mendapatkan ilmu.
7. Pelan tindakan (Action plan)
Kaji tip di atas dan bina pelan tindakan anda.
Susun perancangan anda dari awal hingga selesai sesuatu projek. Kemudian, laksanakan sehingga tamat dan selesai. Barulah selepas itu, anda fokus untuk projek yang seterusnya.
7 disiplin ini insyaAllah akan membantu anda untuk mencapai lebih kejayaan dan kepuasan dalam setiap perkara yang anda lakukan setiap hari.
Semoga bermanfaat.
Silakan berkongsi artikel ini.
Like & share.
Leave a Reply