Assalamualaikum w.b.t dan salam kebahagiaan.
Dalam kehidupan, kita perlu sentiasa bersemangat, penuh keyakinan dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara.
Namun, kenyataannya amat sukar untuk kita mengekalkan semangat tersebut hari demi hari. Sehinggakan kita mungkin di suatu masa merasakan semangat yang membara tadi seakan hilang atau menjadi lemah secara tiba-tiba.
Di waktu itu, kita dapati segalanya tidak kena. Hati menjadi resah dan tidak tenang. Kelakuan dan tindakan kita pula tidak seperti kebiasaan sebagaimana di waktu kita bersemangat tinggi.
Saya yakin ramai yang pernah mengalami keadaan ini. Setiap daripada kita sudah pasti mengalami keadaan semangat yang turun dan naik.
Momentum
Rasa semangat ini boleh kita istilahkan sebagai momentum.
Momentum adalah daya tolakan yang mendorong kita melakukan sesuatu. Dalam artikel ini, ia merujuk kepada semangat kita melakukan sesuatu perkara.
Jika anda seorang guru, bagaimana anda boleh mengekalkan semangat anda setiap hari untuk mendidik anak murid anda dengan cara paling terbaik?
Jika anda berniaga, bagaimana pula anda boleh sentiasa bersemangat, ceria dan melayan pelanggan anda dengan sehabis baik.
Bayangkan sebiji bola yang sedang bergerak, kita hanya perlukan sedikit tenaga untuk menggerakkannya ke hadapan. Ini kerana ia telah berada dalam momentum pergerakannya.
Sebaliknya, kita perlukan lebih tenaga untuk menolak bola yang statik untuk bergerak.
Jadi, bagaimana untuk kita mengekalkan momentum ini, iaitu sentiasa “bergerak” dalam ertikata bersemangat melakukan sesuatu perkara?
Dalam hal ini, saya suka untuk melihat perihal momentum ini dalam ertikata kita sedang berlari.
Ya, berlari untuk satu larian yang jauh. Di mana kita perlu :
1. Mempunyai pelan perancangan dan matlamat yang jelas
Tanpa matlamat dan tujuan yang jelas, larian kita tidak ke mana.
Orang yang berlari, perlu merancang dengan jelas di mana mereka akan berhenti, kemana arah yang mereka akan lalui dan apa destinasi yang mereka ingin tuju.
Justeru, sebelum melakukan sesuatu, pastikan kita telah mengetahui dengan jelas faktor KENAPA kita melakukan perkara tersebut, dan BAGAIMANA cara kita akan melakukannya supaya kita tidak “tersesat” di pertengahan jalan.
2. Berjadual dan tersusun
“Kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan dengan kebatilan yang tersusun rapi”
Sesuatu yang tersusun dan berjadual lebih mudah untuk diikuti dan dilaksanakan. Larian yang berjadual akan memberikan hasil yang optimum.
Pastikan setiap perkara penting yang kita ingin lakukan dimasukkan ke dalam jadual kita pada hari tersebut.
Rancanglah jadual harian dan mingguan agar dapat kita menjaga masa yang berharga setiap hari dengan sebaiknya.
3. Fokus, fokus & fokus
Dalam larian, terlalu banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita.
Namun, janganlah perkara tersebut mengganggu pemikiran dan fokus kita terhadap larian yang dilakukan.
Antara cara untuk mengekalkan fokus kita ialah dengan menetapkan target harian, mingguan dan bulanan yang ingin kita capai.
Jika kita berjaya mencapai target tersebut (contoh : 5 target harian/ To-Do List), maka kita masih lagi di dalam trek larian kita.
Bagi membantu kita sentiasa fokus, disarankan untuk kita sentiasa mencipta kejayaan kecil setiap hari, yang lama kelamaan akan menghasilkan kejayaan yang besar.
4. Disiplin dan komitmen
“Discipline is doing what you know needs to be done, even though you don’t want to.”
Larian yang jauh menuntut komitmen dan disiplin yang tinggi.
Sikap tidak bertangguh, dan tidak menyerah kalah akan memastikan kita sampai ke destinasi yang dituju.
Wajibkan diri untuk melakukan sesuatu perkara yang mesti kita lakukan, di saat kita mungkin tidak berkeinginan melakukannya.
Ini kerana, satu perkataan yang membezakan mereka yang berjaya dan kurang berjaya ialah disiplin.
5. Fikir & fikir
Kita adalah apa yang kita fikirkan.
Fikirkan kejayaan, insyaAllah kita akan berjaya.
Dalam larian, sentiasa berfikir dan muhasabah diri. Apakah jalan yang dilalui jalan yang betul atau sebaliknya.
Sekiranya anda tidak dapat melakukan sesuatu perkara akibat sesuatu halangan, maka sekurang-kurangnya cuba untuk berfikir dan merancang berkaitan perkara itu.
Dengan berfikir, ia turut akan mengekalkan momentum yang ada walaupun kita tidak dapat melakukan perkara tersebut.
6. Berhenti rehat
Kita perlukan rehat. Berehatlah setelah berlari agar dapat kita teruskan larian yang selebihnya dengan penuh bertenaga.
Dalam kita bekerja, cari kerehatan diri, minda dan fikiran.
Luangkan masa melakukan sesuatu yang kita sukai.
Kebanyakan mereka yang berjaya, mendapat idea yang segar dan baru sewaktu mereka berehat daripada kesibukan bekerja.
Tidak percaya? Cubalah. 🙂
7. Cari rakan inspirasi
Berlari bersama rakan-rakan lebih membawa kegembiraan dan semangat yang lebih. Carilah teman dalam berlari.
Carilah teman dan rakan inspirasi dalam bidang yang kita ceburi.
Lihat bagaimana mereka kekal bersemangat dan mencipta kejayaan demi kejayaan.
InsyaAllah kita secara tidak langsung menjadi lebih bersemangat dan dapat mencontohi rahsia kejayaan mereka.
Semoga 7 tip pelajaran daripada berlari ini dapat kita jadikan inspirasi untuk kita lebih bersemangat dalam berlari ke arah kejayaan dan impian yang kita impikan di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.
Leave a Reply