Assalamualaikum w.b.t
Hari ini seharusnya lebih baik daripada semalam. Dan esok akan menjadi lebih baik daripada hari ini. Namun, bagi kebanyakan orang, seringkali hari ini sama sahaja seperti semalam atau ada juga yang mungkin lebih buruk daripada semalam.
“If you keep doing what you are doing, you are going to keep getting what you are getting”
Bagaimana untuk berubah dan mencapai kejayaan lebih baik hari demi hari? Kita perlukan prinsip kejayaan. Dalam tulisan kali ini saya kongsikan 9 Prinsip Kejayaan sebagaimana dikongsikan oleh jutawan hartanah kepada penulis buku, Big Boom!.
9 Prinsip Kejayaan
Prinsip #1 : Minda fikiran yang terbuka (Have an open mind)
Minda yang terbuka adalah minda yang sentiasa mencari ilmu dan bersedia untuk belajar sesuatu yang baru. Walaupun mungkin kita telah berjaya, tapi kita tetap mencari ilmu dan belajar perkara baru.
Minda yang tertutup adalah minda yang melihat sesuatu dan meletakkan halangan, takut dan ragu-ragu untuk mencuba, belajar atau mengambil tahu tentang perkara baru.
Antara perkataan yang menghalang diri kita untuk mendapat ilmu baru adalah apabila mengatakan pada diri bahawa “Aku sudah tahu”. Perkataan ini secara automatik akan menutup minda kita untuk menerima ilmu dan maklumat baru untuk digunakan dalam perniagaan kita.
Sebaliknya, fikirkan “Apa lagi yang boleh ku pelajari?”. Barulah minda kita akan bersedia untuk mendapat input baru dan berubah ke arah tindakan yang lebih baik.
Justeru, miliki minda yang terbuka sebagaimana diibaratkan seperti payung terjun yang hanya berguna apabila ia sentiasa dibuka.
“Remember, the mind is like a parachute – it will only work when it’s open.”
Prinsip #2 : Buat sehingga selesai (Finish the race)
Ramai yang melihat peluang untuk melakukan sesuatu perniagaan, dan mula bertindak. Akan tetapi, ramai yang terkandas, bosan, tidak bersemangat dan berhenti di pertengahan jalan dan sesterusya mula mengejar peluang baru.
Prinsip jutawan adalah mulakan sesuatu bisnes sehingga berjaya. Kemudian, baru mereka melakukan bisnes yang baru. Bisnes yang lama sama ada dijual dengan harga lumayan ataupun diserahkan kepada pasukan pengurusan yang telah dilantik.
Untuk melakukan sesuatu bisnes hingga berjaya perlukan komitmen yang tinggi, tujuan, misi dan semangat serta impian yang jelas untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan tanpa menyerah kalah pada halangan yang datang.
Prinsip #3 : Buat sesuatu dengan sepenuh tenaga (Play full out)
Usahawan jutawan mempunyai banyak tugasan dan perancangan. Jadi, bagaimana untuk selesaikan banyak perkara dalam masa yang singkat?
Jawapannya berikan 100% tumpuan dan perhatian. Buat sesuatu dengan sepenuh tenaga. Libatkan diri dalam bisnes dan nikmati prosesnya.
Sama ada kita menjadi orang yang duduk dan melihat orang lain bermain sahaja, atau kita sendiri yang membuat pilihan untuk lompat ke padang, mengambil bola dan melakukan sesuatu yang bemakna. Semuanya adalah pilihan kita.
Prinsip #4 : Menjadi murid yang belajar dan mencatat nota (Become a master student – Take notes)
Setiap daripada kita memiliki harta yang berharga. Bagi orang yang berjaya, antara harta berharga mereka adalah nota-nota bisnes dan perniagaan yang mereka catatkan.
Setiap kali menghadiri sesuatu seminar, membaca buku, atau bersama mentor, mereka akan mencatat setiap ilmu berharga yang diperoleh.
Mencatat nota adalah amalan usahawan yang berjaya dalam usaha mereka untuk sentiasa belajar dan mengulang kembali apa yang telah dipelajari walaupun telah lama ia berlalu.
Oleh itu, mulakan mencatat apa yang telah dipelajari. Cara mencatat nota yang menarik adalah dengan menggunakan pen dengan warna yang berbeza supaya ia lebih menarik dan kreatif.
Prinsip #5 : Menjadi tuan pada diri sendiri (Master yourself – Value yourself)
Orang yang berjaya adalah mereka yang dapat mengurus masa, diri dan tindakan mereka dengan baik. Mereka tidak terikut-ikut dengan fikiran, pandangan, cara hidup dan tindakan orang lain yang bertentangan dengan prinsip mereka.
Menjadi amalan mereka untuk :
- Mengotakan apa yang mereka katakan – menunaikan apa yang dijanji pada diri adalah tanda kita menghormati diri kita sendiri. Apabila kita jujur dan hormati diri kita sendiri, barulah orang lain akan mula menghormati diri kita pula.
- Menghormati masa sendiri dan masa orang lain – mereka membuat jadual untuk setiap aktiviti dan perancangan pada hari tersebut mengikut kiraan minit dan jam. Dengan menghormati waktu sendiri, orang lain akan mula menghormati kita.
Prinsip #6 : Mahir pemasaran berkesan (Master effective marketing)
Pemasaran perlukan masa yang banyak. Tetapi, apabila betul caranya, kita akan dapat menguasai pemasaran berkesan.
Kita tidak perlu mengetahui semua teknik pemasaran, tapi cukuplah 2-3 teknik yang terbaik yang menjana kebanyakan hasil jualan untuk perniagaan kita.
Fokus pada menguasai teknik pemasaran tersebut dan gandakan jualan. Jangan takut untuk melakukan promosi, tapi belajarlah untuk melakukan promosi yang berkesan.
Gunakan prinsip 3 P iaitu : Promoting, Positioning dan Profits.
Prinsip #7 : Mahir melakukan jualan (Master Sales – Become more persuasive)
Jualan adalah nadi pada bisnes. Idea hanya tinggal idea jika ia tidak dijual.
Jangan takut untuk menjual kerana sebenarnya kita bukanlah menjual sesuatu, tetapi kita memberikan khidmat servis dan nilai pada orang lain dan pada situasi menang-menang.
Untuk mendapat jualan berkesan, kita perlu miliki sistem jualan yang berkesan. Iaitu sistem yang terbukti boleh menghasilkan jualan. Jika belum memperolehinya, maka pelajari kaedah yang betul daripada mentor dan lakukan sehingga berjaya.
Prinsip #8 : Mahir mengurus (Master Management – Attract an All-Star Team)
Sekiranya anda memiliki syarikat, apakah visi dan misi syarikat anda?
Belajar mengurus diri dan juga mengurus pekerja syarikat adalah penting kedua-duanya. Kita hanya mempunyai 24 jam dan bayangkan apabila kita dapat memiliki pekerja yang hebat dalam bidang mereka masing-masing.
Sudah pasti, perniagaan kita akan menjadi hebat. Tarik mereka yang layak dan berkaliber yang dapat lakukan apa yang kita tidak berminat untuk lakukan. Setiap orang miliki kemahiran dan kelebihan tersendiri. Manfaatkan potensi mereka dan jadikan mereka jelas dengan visi dan misi syarikat untuk mencapai kejayaan.
Prinsip #9 : Menjadi pakar (Seek Mastery – Learn, Do, Teach)
Prinsip moto di SuccessAcademy.com adalah Learn, Do, Teach. Saya kira prinsip ini adalah menarik dan sesuai untuk kita jadikan ikutan.
Learn – belajar sesuatu perkara.
Do – setelah belajar sesuatu, lakukan tindakan. Untuk mendapat hasil, tindakan mestilah besar. Kemudian, nilai setiap tindakan dan teruskan apa yang berhasil, ubah apa yang tidak. Ulangi proses belajar dan bertindak ini sehingga akhirnya kita akan menjadi pakar dalam sesuatu bidang.
Teach – untuk mencapai kepuasan dan makna dalam kehidupan dan pahala yang berterusan, ajarkan kepada orang lain ilmu dan pengalaman yang kita miliki. Sama ada dengan menulis di blog, menulis buku, berkongsi di seminar atau ceramah, melatih anak didik dan mentee dan sebagainya.
Dengan mengajarkan ilmu kepada orang lain, kita akan menjadi semakin mahir dan mendapat kefahaman yang lebih mendalam dan seterusnya rezeki kita semakin bertambah luas.
Semoga 9 Prinsip Kejayaan ini dapat dikongsikan kepada lebih ramai orang dan menjadi motivasi dan inspirasi dalam kita meneruskan misi, visi dan hidup kita untuk kaya berjaya di dunia dan di akhirat.
Semoga bermanfaat.
Leave a Reply