Assalamualaikum w.b.t
Soal rezeki adalah antara perkara yang sentiasa difikirkan oleh semua orang. Sehingga ramai yang setiap hari dibebani dengan masalah rezeki.
- Bagaimana cara menambah rezeki supaya menjadi lebih banyak?
- Bagaimana mencapai kebebasan kewangan?
- Bagaimana untuk keluar daripada bebanan hutang?
- Kenapa rezeki (pendapatan) tidak bertambah?
- Apakah cara untuk tidak bimbang berkaitan rezeki?
- Apakah yang perlu dilakukan lagi untuk menjadi kaya dan berjaya?
- dan banyak lagi persoalan berkaitan rezeki.
Mari kita renung ayat 48, surah an-Najm yang bermaksud :
” dan Dia-lah yang memberikan kekayaan dan kecukupan.”
Maha suci Allah yang memberikan kekayaan dan kecukupan kepada semua makhluk-Nya.
Lihatlah betapa tingginya tawakal burung terhadap rezekinya setiap hari. Apabila ia keluar pada waktu pagi daripada sarangnya dengan keadaan lapar, dan pulang kekenyangan pada waktu petangnya.
Begitulah, Allah menjadikan soal rezeki milik-Nya. Dia-lah yang Mengurus aturan rezeki mengikut ilmu-Nya.
Maka, apakah yang kita bimbang lagi. Allah telah berjanji memberi kekayaan dan kecukupan.
Kesempitan rezeki
Namun, kenapakah lagi kita menganggap diri kita ‘tidak cukup’ rezeki? Menganggap diri kita ‘miskin’ dan mahukan kekayaan yang lebih lagi.
Tidak lain, ‘miskin’ adalah anggapan pemikiran minda dalam melihat rezeki yang terhad. Ditambah lagi dengan kurangnya ilmu, kurang usaha, sikap malas dan pandangan negatif berkaitan kekayaan.
Orang yang kurang harta, bukanlah sebenarnya miskin. Tetapi orang yang miskin adalah ‘miskin’ dalam mensyukuri segala nikmat yang telah diperoleh dan menjalankan tanggungjawab sebagai hamba Allah.
Mereka yang kurang harta atau mereka yang banyak harta sekalipun, apabila mengabaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah, solat 5 waktu contohnya, maka mereka adalah miskin dan akan mengalami kesempitan rezeki.
Walaupun luarannya kaya dan berharta, tetapi ia hanyalah ujian kekayaan dalam melihat erti bersyukur kepada Allah Maha Pemberi Rezeki.
Tanpa keberkatan dalam rezeki, rezeki akan sentiasa sempit dan tiada ketenangan dan kecukupan dalam soal rezeki.
Keluasan rezeki
Sebaliknya, apabila mula melihat betapa luasnya rezeki yang Allah berikan kepada kita setiap hari, terlalu banyak rezeki yang mungkin tidak sempat kita syukuri.
Orang yang bersyukur adalah orang yang kaya dan merasa cukup. Biarpun mereka tidak memiliki harta dan wang yang banyak, tapi mereka bahagia melihat rezeki yang sudah terlalu banyak yang mereka peroleh.
Rezeki masa, tenaga, akal fikiran, kesihatan, kehidupan dan banyak lagi nikmat yang lain yang perlu disyukuri.
Apabila mengucapkan syukur dengan rezeki Allah, maka janji Allah akan menambah lagi nikmat rezeki yang dikurniakan.
Syukur adalah dengan menggunakan setiap nikmat yang diperoleh untuk kebaikan mencapai keredhaan Allah. Pembuktian syukur adalah dengan solat 5 waktu setiap hari dan menambah amalan sunat yang lain. Disamping berusaha mencari kekayaan dalam rezeki, tidak lupa juga mencari kekayaan dalam hati dan jiwa.
Disinilah letaknya keluasan rezeki. Rezeki yang semakin luas hasil daripada minda yang luas dalam melihat rezeki, jiwa yang bersih, ikhlas dan kaya dengan kesyukuran, dan tindakan berusaha mencari rezeki yang halal dan berkat. Apabila ketiganya digabungkan, insyaAllah, rezeki semakin bertambah luas tanpa sekatan dan kesempitan lagi.
Insya-Allah, sekiranya anda ingin mengetahui lebih lanjut intipati kaya minda, kaya jiwa dan kaya tindakan, saya telah kongsikan lebih lanjut dalam buku saya, Formula Luas Rezeki. Ia sebuah modul travelog mencari ketenangan dalam rezeki dengan melihat lebih luas soal rezeki dan diri kita sendiri. Harapan saya semoga buku ini dapat memberi manfaat buat para pemilik dan pembacanya. Amin.
Leave a Reply