Assalamualaikum w.b.t
Hidup di dunia penuh dengan ujian dan dugaan.
Sama ada ujian harta, pangkat, kedudukan, amanah, keluarga dan anak-anak, perniagaan dan segala nikmat serta kesusahan yang menimpa adalah ujian daripada Allah Taala bagi melihat hamba-Nya yang terbaik dalam menghadapi ujian tersebut.
Hidup di dunia perlukan wang. Sebaliknya, mata wang di akhirat pula adalah bekal pahala yang kita bawa.
Hidup di dunia adalah sementara dan akhirat pula adalah kekal abadi.
Apabila mengejar dunia dan melupakan amalan dan bekal ke akhirat, maka dia adalah rugi.
Sebaliknya, dunia merupakan jambatan ke akhirat. Kejarlah dunia kerana mengejar akhirat.
Tidak salah mencari harta asalkan digunakan harta untuk membantu mereka yang lebih memerlukan. Orang yang berharta adalah sebagai wakil untuk membahagikan nikmat yang diperoleh kepada orang lain melalui zakat, sedekah dan waqaf.
Kehidupan yang sempit
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari peringatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.” – Surah Taha : 124
Di saat hidup hanya difokuskan kepada kebendaan dan nikmat dunia, maka segalanya bagaikan tidak cukup.
Hidup di dunia dirasakan sempit kerana terlampau banyak yang ingin dikejar dan dimiliki.
Fikiran selalu rungsing memikirkan nasib dan kemungkinan masa hadapan.
Manakala hati terlalu cinta akan kehidupan dunia dan takutkan kematian.
Bukanlah yang sempit dan kurang itu harta. Sebaliknya, jauh di sudut hati kecil dirasakan satu kesempitan dan kehilangan yang tidak diketahui apakah yang dicari sebenarnya.
Kehidupan yang luas
Sebaliknya, apabila hidup difokuskan kepada amal ibadat dan kebajikan mencari keredhaan Allah Taala, maka segalanya dirasakan cukup dan sempurna.
Kehidupannya di dunia dirasakan amat luas kerana terlalu banyak nikmat yang diperoleh dan disyukuri.
Setiap nikmat yang diperoleh pula digunakan ke arah kebaikan dan kebajikan.
Fikiran menjadi tenang kerana segala yang berlaku adalah ketentuan Allah setelah berusaha melakukan sesuatu dengan terbaik.
Hati menjadi tenteram dan damai kerana segala kebergantungan dan harapan adalah pada Allah.
Sesungguhnya, janji Allah itu benar. Tetaplah di atas agama Islam dan ikutilah panduan dan sunnah Nabi Muhammad S.A.W dalam kehidupan.
“Katakanlah; jika kamu benar-benar cintakan Allah maka ikutlah aku (rasul) maka Allah akan mencintai kamu dan mengampuni dosa kamu dan sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang ” (Ali Imran -31)
Leave a Reply