Assalamualaikum w.b.t
Dunia adalah perhentian sebentar dan akhirat adalah destinasi akhir kita. Maka, janganlah kita berhenti terlalu lama dan terlalu asyik dengan perkara di sekeliling sehingga terlupa membawa bekal secukupnya untuk kita ke destinasi akhir kita nanti.
Oleh sebab itu, mencari keseimbangan dalam urusan hidup di dunia dan persiapan membawa bekal perlu seiring dan seimbang. Bahkan, lebih banyak persiapan membawa bekal ke sana adalah lebih baik dan utama.
Sebaik-baik bekal
Bekalan yang terbaik adalah membawa bekal takwa. Takwa letaknya di hati dan dizahirkan melalui amalan dan tindakan.
Firman Allah S.W.T maksudnya : “Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa. Dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal.” (Al-Baqarah: 197)
Carilah nikmat dan kesenangan dunia tetapi tetaplah bertakwa dengan melaksanakan ketaatan kepada Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Bekerjalah kerana kita disuruh bekerja dan berniaga. Namun, lakukanlah pekerjaan dan perniagaan kita atas dasar takwa. Nescaya kita akan tenang, bahagia, dipermudah segala urusan dan sentiasa diberikan rezeki yang melimpah oleh Allah S.W.T
Firman Allah S.W.T yang bermaksud : “Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Talaq, ayat 2-3)
Temui keseimbangan hidup melalui solat
Solat 5 waktu adalah tiang agama. Ia adalah umpama tali yang menghubungkan kita dengan Allah 5 kali sehari. Solat juga memastikan kita tidak lalai di dalam hidup ini apabila sentiasa diingatkan waktu solat melalui azan yang dikumandangkan.
Walau sesibuk manapun kita, apabila waktu solat telah masuk, kita perlu bersegera tunaikannya di dalam waktunya. Solat adalah perkara terpenting dalam hidup orang Muslim. Menjaga solat bermakna menjaga hubungan kita dengan Allah, Tuhan sekalian alam.
Solat memastikan hidup kita seimbang dengan sentiasa mengingati Allah dan menyembah Allah 5 kali sehari. Solat memberikan ketenangan di dalam diri apabila dapat berbicara dengan Allah, berzikir memuji Allah dan berdoa memohon kepada-Nya.
Justeru, mari kita menjaga solat 5 waktu ini. Kerana ia adalah antara rezeki yang terbesar yang diberikan Allah kepada kita setiap hari kerana dengan izin Allah, kita masih lagi dapat melakukannya setiap hari.
Pastikanlah diri kita dan ahli keluarga kita agar sentiasa menjaga kesempurnaan solat, nescaya hidup kita akan seimbang. Apabila melalaikan solat, kita sudah tergelincir daripada keseimbangan hidup ini dan hidup yang dilalui mulai tiada ketenangan.
Semoga kita dapat melahirkan generasi solat yang menjadikan bekal takwa sebagai matlamat kehidupan mereka. Amin.
semoga selamat pergi dan kembali tuan..
terima kasih, tuan. 🙂 amin.