Assalamualaikum w.b.t,
Setiap makhluk ciptaan Allah Ta’ala memiliki peringkat-peringkat tertentu dalam siri kehidupan mereka. Tidak terkecuali kita sebagai seorang insan, manusia, hamba Allah Ta’ala yang mempunyai beban amanah sebagai khalifah di dunia ini.
Peringkat kehidupan manusia bermula sejak dari alam roh, kemudian memasuki peringkat alam kandungan (alam rahim) , alam dunia yang kita sedang nikmati sekarang, alam kubur dan seterusnya alam mahsyar kelak.
Sedar atau tidak, kita semakin hari semakin dekat dengan perjalanan tersebut. Kita sebenarnya melangkah dari hari ke hari dalam satu perjalanan ke destinasi akhir kita sama ada syurga atau neraka.
Hidup Di Dunia Adalah Sementara
Kehidupan di dunia adalah sementara, sebagai medan ujian oleh Allah Ta’ala untuk melihat di antara hamba-Nya yang terbaik amalan mereka.
Ramai manusia yang tidak mampu menempuh ujian dunia ini kerana terpesona dengan kehidupan dunia dan nikmat-nikmatnya.
Ramai yang hidup mereka setiap hari keluar mencari dan mengumpul harta tanpa memikirkan persediaan bekalan yang akan dibawa untuk bertemu Tuhan mereka di akhirat kelak.
Harta yang mereka miliki tidak mendekatkan mereka kepada Allah Ta’ala sebaliknya melalaikan kehidupan mereka. Amat rugilah setiap kerja dan amalan mereka itu.
Orang Yang Beruntung
Sebaliknya, beruntunglah bagi mereka yang sentiasa mencari keredhaan Allah Ta’ala di dalam hidup mereka. Mereka bekerja semata-mata kerana Allah Ta’ala mencari rezeki bagi keluarga, dan berupaya membantu orang lain dengan bersedekah dan mampu mengeluarkan zakat.
Kerja mereka bukan semata-mata kerja. Kerja mereka adalah satu ibadah. Ibadah mencari cinta Allah Ta’ala.
Mereka jujur, amanah dan ikhlas dalam pekerjaan (ubudiah). Mereka melaksanakan tanggungjawab yang diberi dengan sehabis baik (mas’uliah) dan mereka tekun di dalam pekerjaan. (itqan)
Bisnes mereka, visi dan misi perniagaan mereka adalah sebagai memenuhi keperluan manusia, memberi nilai tambah dalam kehidupan manusia, dan membantu orang lain sebagai satu ibadah kepada Allah Ta’ala.
Mereka bukan sekadar ingin menjadi jutawan, bahkan menjadi jutawan dermawan, orang kaya bertakwa. Bukan sekadar jutawan di dunia bahkan jutawan di dunia dan akhirat.
Bagaimana ingin mencapainya? Tidak lain adalah dengan jihad dalam pekerjaan, jihad bisnes untuk mendekatkan diri pada Allah Ta’ala dalam menuju cinta Allah Ta’ala.
Etika Islam Dalam Perniagaan
1. Niat Ikhlas mencapai keredhaan Allah Ta’ala
“Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama menyerahkan diri (kepada Allah)”
(al-An’am, 6:162-163)
2. Tidak Terlibat dengan Amalan Riba
“Wahai orang-orang yang beriman tinggalkanlah saki baki daripada amalan riba jika kamu benar-benar beriman” (al-Baqarah, 2:278)
3. Saling Redha-Meredhai
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (atau ambil) harta orang lain secara batil (tidak sah) melainkan melalui perniagaan (yang dilakukan secara) redha-meredhai antara kamu” (al-Nisa’, 4:29)
4. Menjauhi Semua Unsur Penipuan – bersikap jujur dalam perniagaan
“Dan cukupkanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil” (al-An‘am, 6:152)
5. Memenuhi dan Menunaikan Akad (Kontrak)
“Wahai orang-orang yang beriman tunaikan perjanjian-perjanjian (yang telah dipersetujui)” (al-Ma’idah, 5:1)
6. Al-‘Adl (Keadilan)
“Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak)” (al-Isra’, 17:35)
7. Amanah
“Wahai orang-orang Yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)” (al-Anfal, 8:27)
8. Istiqamah – tetap dan tabah hati
“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap istiqamah, maka tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berdukacita” (al-Ahqaf, 46:13)
9. Menjauhi Pembaziran
“..dan janganlah kamu berlebih-lebihan (membazir). Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan” (al-An’am, 6:141)
10. Utamakan Kebersihan Rohani dan Jasmani
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri (bersih rohani dan jasmani)” (al-Baqarah, 2:222)
11. Mengamalkan Sifat al-Ta’awun (bekerjasama)
“Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya) ” (al-Ma’idah, 5:2)
12. Bersopan Santun
“(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar” (al-Baqarah, 2:263)
13. Menepati Masa
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran” (al-‘Asr, 103:1-3)
Firman Allah: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar” (At-Taubah: 111)
Teruskan bekerja. Teruskan jihad bisnes ini untuk ummah. Teruskan memberi khidmat ke arah kebaikan.
Semoga perniagaan dan amalan kita dapat mendekatkan kita kepada Allah Ta’ala dan mendapat keredhaan dan cinta Allah Ta’ala.
Amin.
Rujukan : Seminar Keusahawanan Islam II Peringkat Kebangsaan (Etika Perniagaan dari Perspektif al-Quran: Satu Tinjauan) – Mohd Nizho bin Abdul Rahman dan Mohd Shukri bin Hanapi
Leave a Reply