Assalamualaikum w.b.t
Dalam hidup kita seringkali diuji kerana sememangnya dunia adalah tempat ujian.
Sebagaimana peperiksaan demi peperiksaan yang kita hadapi semasa kecil dahulu, begitu juga diri kita sendiri akan sentiasa diuji Allah untuk melihat sama ada kita bersyukur atau kufur.
Hanya yang mampu hadapi ujian hidup dan tahan diuji ialah mereka yang sedar bahawa tidak ada daya upaya untuk hadapi ujian jika tanpa pertolongan Allah.
Diri kita sendiri sudah lemah. Kerana manusia bersifat lemah.
Usah bergantung kepada kebijaksanaan dan kehebatan diri sendiri, kerana akhirnya kita akan lelah dan berputus asa.
Orang yang tenang dan dapat hadapi ujian kehidupan adalah mereka yang dekat dengan Allah.
Orang yang disayangi Allah akan diberikan petunjuk dan jalan keluar bagi setiap ujian.
Oleh itu, apa guna masih bangga dengan kehebatan diri, kehebatan orang di sekeliling kita, ‘kabel besar’, atau siapa pun yang kita kenal yang mungkin dapat menolong kita, semua itu takkan berhasil jika tidak diizinkan Allah.
Allah hanya akan menolong hamba-Nya yang soleh. Dan salah satu amalan yang mampu menjaga diri kita adalah dengan menjaga solat 5 waktu.
Solat adalah umpama kita ‘online’ dengan tuhan. Berapa orang hari ini yang tidak dapat hidup tanpa internet. Hidup bagaikan kosong seakan-akan tidak puas jika tidak dapat pegang phone dan melayari internet.
Namun, apakah perasaan online dengan Allah setiap kali kita solat mengatasi rindu seseorang itu dengan phone mereka?
Lihatlah berapa ramai orang Islam yang semakin hari semakin lalai dengan solat. Tepuk dada dan tanya iman kita.
Apakah kita betul-betul menikmati solat yang tenang dan khusyuk, sehingga mampu menitiskan air mata, rasa rindu dan syukur apabila dapat tunaikan solat?
Jika belum, mari bersama temui ketenangan dan solusi hidup sebenar dan menjemput bantuan Allah dengan menikmati nikmat solat seorang hamba di hadapan Tuhannya.
Jom dalami solat, fahami erti bacaan, solat lebih tenang, solat awal waktu, tambah solat-solat sunat dan nikmati kemanisan solat.
Jangan berhenti upgrade kualiti solat, kelak Allah akan berikan ganjaran besar bagi yang menjaga solat di dalam hidup mereka.
Leave a Reply