Assalamualaikum w.b.t
Saban tahun pelbagai azam, perancangan dan perubahan baru yang ingin saya lakukan. Ada yang berjaya dilakukan dengan berterusan dan ada juga yang terhenti sekerat jalan.
Ini kerana, setiap perubahan baru perlukan perancangan dan kesungguhan yang berterusan untuk melakukannya.
Saya sentiasa berfikir, belajar dan merancang pelbagai perkara yang besar sehinggalah yang sekecil-kecilnya.
Apabila sesuatu perancangan itu besar, saya akan kecilkannya kepada beberapa bahagian, bulan dan hari sehingga ia nampak mudah untuk dilakukan setiap hari.
Dalam tulisan kali ini, saya kongsikan 8 amalan yang saya lakukan pada tahun lepas tetapi impaknya amat besar dalam kehidupan saya sehingga hari ini.
Saya juga yakin insyaAllah ia juga dapat memberikan satu perubahan baru dalam hidup anda pada tahun ini dan seterusnya.
8 Amalan Mudah Tetapi Luarbiasa Hebat
1. Membawa buku nota/buku catatan dan pen
Saya sentiasa membawa buku 555 dan sebatang pen ke mana sahaja saya pergi.
Apabila terlintas sesuatu perkara atau idea menarik, saya akan catatkannya ke dalam buku nota tersebut.
Ia sangat mudah dan praktikal.
Ini kerana, idea dan buah fikiran baru muncul secara tiba-tiba dan amatlah rugi jika ia tidak dicatat dan dilupakan begitu sahaja.
Anda boleh memilih mana-mana buku nota/buku catatan yang anda rasakan bersesuaian dengan anda.
Anda juga boleh mencatat idea anda menggunakan aplikasi seperti Evernote atau aplikasi di telefon mudah alih anda, tetapi bagi saya, saya lebih suka melihat sendiri tulisan tangan yang asli.
2. Rancang hari anda malam sebelumnya
Bagi saya, hari yang baru bukannya bermula pada pagi hari tersebut tetapi pada malam sebelumnya lagi.
Sebagaimana masuknya waktu Maghrib menandakan bermulanya hari berikutnya.
Oleh sebab itu saya akan merancang untuk hari keesokannya sebelum saya tidur.
Rancang apa aktiviti dan komitmen anda pada hari esok agar anda sudah tahu dan dapat membayangkan apa yang perlu anda lakukan esok hari.
3. Catat 3 kemenangan untuk hari esok dan semak 3 kemenangan pada hari ini
Pada setiap malam sebelum tidur, saya akan mencatat di dalam jurnal saya 3 perkara utama (3 kemenangan) yang wajib saya lakukan esok hari dan menyemak kembali 3 kemenangan saya pada hari ini.
Saya akan tick 3 perkara tersebut dan ini bermakna saya telah bergerak 3 langkah ke hadapan ke arah impian dan perancangan saya.
4. Rekod dan catat segala perbelanjaan kewangan anda
Saya mula mengamalkan mencatat segala perbelanjaan harian wang keluar dan wang masuk ke dalam buku catatan saya setiap hari apabila suatu masa dahulu wang saya di bank hanya tinggal beberapa puluh riggit sahaja.
Saya tidak dapat mengawal kecenderungan saya untuk membeli buku, menyertai seminar dan bengkel, makan-minum di luar, membeli-belah dan sebagainya yang menyebabkan wang saya banyak mengalir keluar tanpa perancangan yang betul.
Oleh sebab itu, saya mulai merekod dan memantau segala perbelanjaan harian saya dalam satu buku khas pada setiap malam.
Ia mungkin nampak seperti tidak perlu dilakukan, tetapi bagi saya, ia satu keperluan untuk mengawal aliran kewangan saya.
5. Catat perjalanan hidup anda di dalam Jurnal (Diari Kehidupan)
Peruntukkan masa 10 minit sebelum anda tidur pada waktu malam untuk mencatat perjalanan hidup anda pada hari tersebut di dalam jurnal atau diari kehidupan anda.
Setiap tahun, saya akan menyediakan satu diari khas untuk saya mencatat segala perancangan, visi dan misi, idea-idea baru, perjalanan hari demi hari (kesyukuran), 3 kemenangan setiap hari dan catatan perjalanan kewangan saya dalam satu buku log khas.
Ia adalah bagi memudahkan saya memantau kesemua aspek perancangan, kewangan dan perjalanan hidup saya setiap hari dengan lebih teratur.
6. Power hour
Saya selalu mendengar berkaitan Power Hour atau Holy Hour iaitu anda peruntukkan satu jam yang tulen yang bebas daripada segala bentuk gangguan (seperti telefon, ipad, anak-anak, radio, komitmen lain) dan HANYA melakukan tugasan paling penting anda pada waktu tersebut.
Ia adalah 1 jam yang anda hanya fokus kepada berfikir dan menyelesaikan tugasan atau projek paling penting anda.
Apabila anda melakukannya, anda akan dapati tugasan dan projek yang dirancang dapat disiapkan dengan lebih cepat dan terbaik.
Anda boleh memilih power hour anda sendiri sama ada 1 jam pada waktu pagi atau pada waktu malam mengikut kesesuaian anda.
Cuba lakukan dan anda akan dapati anda menjadi lebih produktif dan mempunyai lebih masa untuk melakukan pelbagai perkara lagi pada hari tersebut.
7. Rutin Berjalan (Daily walk)
Perkara paling kecil dan mudah tetapi kesannya besar adalah berjalan kaki.
Saya yakin anda pernah dengar bahawa kita perlu melangkah 10 000 langkah setiap hari.
Jika anda tiada masa untuk bersenam setiap hari, saya cadangkan sekurang-kurangnya anda peruntukkan masa untuk berjalan kaki 10-20 minit setiap hari.
Sekiranya anda bekerja di pejabat dan jarang berjalan, luangkan masa anda di luar waktu kerja untuk berjalan kaki atau menaiki dan menuruni anak tangga.
Ia juga adalah satu senaman yang mudah tetapi faedahnya amat baik untuk kesihatan.
8. Bangun awal pukul 5 pagi
Amalan bangun awal sebelum Subuh amat digalakkan di dalam Islam apabila kita dianjurkan untuk beribadah dan berqiamullail mendirikan malam dengan solat-solat sunat dan amalan-amalan sunat.
Anda juga akan menjadi lebih produktif apabila hari anda bermula 1 jam lebih awal daripada biasa.
Tetapi, amalan ke 8 ini tidaklah semudah yang disangka. Ini kerana ia perlukan komitmen yang tinggi untuk sentiasa istiqamah melawan nafsu tidur dan godaan syaitan.
Namun, ia tidaklah mustahil apabila anda ada keinginan untuk berubah ke arah lebih baik dan dibantu dengan berdoa kepada Allah mohon dikejutkan pada waktu yang mustajab doa.
Kesimpulannya, 8 amalan di atas mampu membawa satu perubahan besar bagi saya dan semoga ia juga memberikan manfaat buat anda juga.
Apa pula amalan kecil yang anda lakukan tetapi kesannya besar dalam hidup anda? Silakan berkongsi bersama agar lebih ramai mendapat manfaatnya.
Like & share.
Leave a Reply