3 Jenis Kehidupan – The Charge

The ChargeAssalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Kita boleh memilih untuk bekerja atau untuk tidak bekerja. Kita boleh memilih untuk berkahwin atau tidak berkahwin. Kita boleh memilih untuk hidup biasa-biasa atau ingin hidup luar biasa.

Kita adalah apa yang kita pilih. Kita juga adalah apa yang kita fikirkan. Fikiran yang positif akan membuahkan tindakan yang positif.

Dalam tulisan kali ini, saya ingin kongsikan berkaitan jenis-jenis hidup mengikut buku berjudul The Charge, hasil tulisan millionaire Brendon Burchard. Buku The Charge ini juga adalah buku yang pertama saya dapatkan secara online di Amazon.com. 🙂

Brendon telah menerangkan 3 jenis hidup yang dialami oleh setiap orang iaitu Hidup Terkurung (The Caged life), Hidup Zon Selesa (The Comfortable Life), dan Hidup Potensi Maksimum (The Charged Life).

Hidup Terkurung (The Caged life)

Orang yang hidup dalam kategori ini sentiasa hidup dalam kehidupan yang lepas, dalam kesedihan, ketakutan dan bayangan masa lalu.

Hidup mereka “terkurung” disebabkan masa lalu atau disebabkan mereka hidup semata-mata untuk memenuhi jangkauan orang lain.

Hidup mereka telah “diset” oleh masa lalu atau orang lain. Hidup mereka adalah sebagaimana yang orang lain inginkan.

Kehidupan mereka umpama terperangkap, tidak bebas dan terhad.

Hidup Zon Selesa (The Comfortable Life)

Kebanyakan orang berada dalam kategori ini, iaitu hidup “selesa”. Memiliki pekerjaan yang baik, memiliki kebebasan, peluang, dedikasi dan mendapat rezeki yang baik seperti tempat tinggal, pasangan, kenderaan dan anak-anak.

Mereka berasa sudah mencapai tahap yang dikehendaki dan bersyukur atas rezeki yang diperoleh.

Kadangkala mereka menghadapi ujian hidup, bebanan kerja di pejabat dan sebagainya tetapi semuanya adalah terkawal dan boleh dihadapi dengan baik. Sehinggalah seseorang bertanya, bagaimana dengan kehidupan anda sekarang? Kemudian dia menjawab, “Oh, ok. Semuanya baik sahaja….”

Dan pada waktu yang sama, hati berbisik “Adakah ini kehidupan yang aku inginkan? Adakah setakat ini sahaja kemampuanku? Sudahkah aku hidup pada tahap sebenar sebagaimana aku kehendaki dan impikan?”

Hidup Potensi Maksimum (The Charged Life)

Orang yang hidup terkurung bertanya, “Adakah aku dapat hidup lebih baik daripada sekarang?

Orang yang hidup selesa bertanya, “Adakah aku akan diterima dan berjaya?

Manakala orang yang hidup potensi maksimum bertanya, “Adakah aku hidup seperti aku impikan dan menggunakan sepenuh potensi yang aku ada? Adakah aku hidup kehidupan yang bermakna dan memberi makna serta inspirasi kepada orang lain?

***************************************************

Apakah jenis kehidupan yang kita hidup sekarang?

Sudahkah kita menggunakan potensi diri kita sepenuhnya dan hidup dengan penuh makna?

Atau sekadar hidup dalam kesedihan dan igauan hari semalam, terperangkap dalam kehidupan lalu atau sekadar hidup “selesa” dengan rutin yang sama, sedangkan kita belum memberi yang terbaik dalam hidup ini.

Sama-sama kita fikirkan.

Setelah selesai membaca buku The Charge ini, saya dapat rumuskan buku ini membawa kita menelusuri kisah-kisah motivasi jatuh bangun dalam kehidupan dan membawa kita mengenali potensi diri sendiri untuk hidup dengan cara paling terbaik iaitu dengan merangsang 10 Picu atau “10 Drive” dalam diri kita.

Saya amat mencadangkan anda juga mendapatkan naskah buku ini (klik untuk ke Amazon.com) dan membacanya sendiri. Semoga ilmu, tips dan perkongsian kisah hidup yang diberikan penulis dapat menjadi “charger” untuk kita teruskan memberi yang terbaik dalam hidup di dunia ini sebagai bekal di akhirat kelak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *