3 Strategi “World Class” Tingkatkan Produktiviti

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Alhamdulillah dapat lagi kita bertemu melalui perkongsian di blog Zulpress ini. Diharapkan semoga anda semua sihat sentiasa hendaknya.

Saya baru sahaja menghabiskan bacaan buku ke-2 yang saya dapatkan di Amazon.com bertajuk Secret Letters from The Monk Who Sold His Ferrari oleh Robin Sharma. InsyaAllah saya akan kongsikan ulasan saya berkaitan buku ini nanti.

Baiklah, dalam tulisan kali ini, saya ingin kongsikan 3 strategi bagaimana anda dapat tingkatkan produktiviti hidup agar setiap perkara yang dirancang dapat dilakukan mengikut masa yang telah ditetapkan.

Tip Tingkatkan Produktiviti

Ramai sekali orang yang ingin menjadi produktif di mana mereka dapat menyiapkan kerja mereka dengan cepat mengikut jadual yang dirancang dan juga dapat menyelesaikan banyak perkara dalam masa yang lebih singkat.

Ramai juga (termasuk saya) ingin lebih bermotivasi dalam kerja dan ingin mencontohi bagaimana orang yang cemerlang dan berjaya dalam hidup mereka membahagikan dan menguruskan masa mereka dengan betul.

Jika kita lihat mereka yang berjaya, kehidupan mereka padat dengan aktiviti dan program. Namun, mereka masih lagi mempunyai masa untuk diri mereka sendiri, masa untuk bersama keluarga, masa untuk berehat dan masa untuk beribadah.

Kehidupan mereka tersusun dan terancang. Masa lapang mereka akan diisi dengan perkara yang bermanfaat dan tidak dibiar berlalu begitu sahaja.

Bagaimana ingin menjadi lebih produktif?

Mengikut pembacaan saya, setiap orang yang produktif mempunyai kaedah dan prinsip mereka yang tersendiri. Namun, terdapat satu persamaan yang boleh saya berikan, iaitu mereka amat menjaga masa mereka.

Ya, masa mereka adalah harta paling berharga. Setiap saat, minit dan jam setiap hari adalah hadiah dan peluang untuk mereka memberi yang terbaik dalam hidup mereka.

3 Strategi “World Class” Tingkatkan Produktiviti

Dalam membantu mengurus masa kita yang berharga, saya kongsikan 3 strategi terbaik yang boleh anda gunakan untuk tingkatkan produktiviti ke tahap lebih baik.

Anda bebas memilih mana-mana strategi ini atau menggabungkannya.

1.   Teknik Pomodoro (Pomodoro Technique)

Teknik Pomodoro (Pomodoro Technique) adalah strategi yang dicadangkan oleh Francesco Cirillo. Beliau mengatakan bahawa jumlah masa optimum bagi otak manusia dapat memberikan tumpuan terbaik ialah 25 minit.

Teknik ini mencadangkan anda untuk fokus dan memberikan tumpuan SATU tugasan pada suatu masa selama 25 minit. Kemudian berehat beberapa minit sebelum menyambung atau melakukan tugasan baru bagi 25 minit seterusnya.

Teknik ini membantu anda untuk fokus dalam masa yang singkat iaitu 25 minit. Ia amat sesuai jika anda perlu menyelesaikan sesuatu tugasan dalam jangka waktu tertentu seperti penulis, juruanalisis, usahawan, pekerja pejabat dan pelajar.

Bagi melakukan tekniPomodoro timerk ini, anda hanya perlukan pensil, kertas To-Do-List (untuk mencatat senarai perkara yang ingin dilakukan dalam 25 minit), dan jam masa yang boleh disetkan kepada 25 minit.

Cool timerAnda boleh gunakan mana-mana jam masa di pasaran, atau boleh juga menggunakan timer telefon anda.

Paling mudah, saya gunakan perisian Cool Timer yang boleh didownload percuma disini.

Sekiranya anda inginkan kelainan, anda boleh dapatkan Jam Tomato : Official Pomodoro Kitchen Timer yang dicipta khas bagi penggemar Teknik Pomodoro ini di Amazon.com.

2.   Teknik GTD : Get Things Done (GTD Technique)

Teknik GTD oleh David Allen ini mencadangkan anda menulis perkara yang perlu diselesaikan dan gol yang ingin dicapai, merancang untuk langkah seterusnya dan menguruskan fail supaya semua yang dirancang direkodkan ke dalam sistem dan dikemaskini.

Teknik GTD yang sebenar perlu dipelajari lebih lanjut melalui buku beliau Getting Things Done: The Art of Stress-Free Productivity.

Cuma, secara mudahnya, anda hanya perlu mencatit perkara yang ingin dilakukan (To-Do-List) diatas Post-It note beserta jangka masa yang anda perlukan (minit atau jam). Anda juga boleh gunakan perisian Notes di komputer anda atau aplikasi telefon pintar anda.

To do list

Contohnya :

  1. Membaca buku baru (30 minit)
  2. Menulis artikel baru (120 minit/ 2 jam)
  3. Bersenam & Riadhah (40 minit)
  4. Memasak (40 minit)
  5. Menulis Post FB – kata-kata motivasi (3 minit)

Setelah itu, lakukan tugasan yang telah dirancang dengan segera dan cuba untuk habiskan kesemua tugasan dengan masa yang lebih singkat. Setelah anda berjaya melakukannya, anda perlu tandakan / atau tick pada tugasan yang telah diselesaikan.

3.   Teknik Jangan Putuskan Rantai (Don’t Break The Chain)

Teknik ini dipopularkan oleh Jerry Seinfeld. Teknik ini memerlukan anda menetapkan gol atau target pada waktu tertentu setiap hari untuk anda melakukan tugasan aktiviti yang telah anda rancang seperti waktu bersenam setiap hari, menulis buku, menulis artikel blog dan sebagainya.

Do not break the chain

Apabila anda berjaya menyelesaikan tugasan tersebut, anda perlu tandakan pangkah X (warna merah) pada kalendar anda. Bagi memastikan rantai X ini tidak putus, anda wajib memberikan komitmen sepenuhnya dengan melakukan tugasan tersebut setiap hari.

Ini secara tidak langsung dapat memastikan anda berusaha utuk menyiapkan tugasan tersebut setiap hari (dan anda akan gembira) atau rantai X tadi akan putus jika anda tidak dapat melakukannya (sudah tentu anda tidak ingin kecewa dan bermula kembali).

Teknik ini amat sesuai jika anda perlu konsisten melakukan sesuatu tugasan yang sama setiap hari dengan cara yang lebih menyeronokkan.

Apa yang anda perlukan hanyalah sebuah kalendar tahunan. Saya cadangkan anda download Kalendar 2013 di bawah.

Kalendar 2013

Download Kalendar 2013 format pdf di laman web Karen : http://karenkavett.com/blog/1455/dont-break-the-chain-calendar-2013.php

Kesimpulan

3 strategi ini adalah antara yang terkenal pada masa ini, mudah dilakukan, praktikal dan terbukti berkesan.

Semoga perkongsian ini dapat membantu anda tingkatkan produktiviti menjadi lebih baik. Selamat mencuba. 🙂

Apakah pula tip produktiviti yang anda amalkan? Boleh kongsikan bersama di bawah.

P.S : Sekiranya anda belum Like page Zulpress.com di Facebook, silakan like kerana saya juga akan sering kongsikan pelbagai tip di page tersebut.

Kredit gambar :
  1. http://karenkavett.com
  2. http://www.newcmi.com
  3. http://thedigitalfold.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *