Antara keinginan dan keperluan

kehendak dan keperluanAssalamualaikum w.b.t

Jika ditanya apakah yang anda inginkan? Maka sudah pasti jawapannya panjang dan banyak sekali.

Ini kerana terlalu banyak perkara dan benda yang kita inginkan di dunia ini sama ada rumah yang besar, kereta yang mahal, pekerjaan yang hebat, dapat melancong ke tempat yang disukai dan banyak lagi.

Sebaliknya, apabila ditanya apa yang betul-betul anda perlukan? Maka kita akan menilai kembali senarai keinginan di atas sama ada adakah kita betul-betul perlukannya.

Antara keinginan dan keperluan

Ya, kita mahu dan inginkan rumah yang besar, lengkap dengan kolam renang dan bilik yang banyak. Namun, adakah kita betul-betul perlukan rumah tersebut? Atau kita sudah cukup dengan rumah yang sederhana yang sesuai dengan bilangan ahli di dalamnya, selesa dan mudah bergerak.

Contoh lain pula, kita mahukan pekerjaan yang hebat, bergaji besar dan dipandang tinggi. Namun, adakah kita perlukan pekerjaan tersebut? Dan adakah kita akan bahagia dengan pekerjaan tersebut?

Kemampuan untuk kita menilai perbezaan antara keinginan semata-mata dengan keperluan adalah penting dalam membantu kita melihat segala yang berlaku di dalam hidup ini daripada perspektif yang berbeza.

Tidak salah untuk menginginkan pelbagai perkara, lebih-lebih lagi apabila anda menyenaraikan 101 perkara yang ingin anda lakukan di dalam hidup.

Tetapi, adalah lebih baik dan seimbang apabila kita juga menilai adakah yang dinginkan tersebut yang kita betul-betul perlukan.

Sahabat saya, telah menyewakan rumah  besar (rumah impiannya) yang dimilikinya kepada orang lain dan beliau hanya duduk di rumah yang sederhana. Ini kerana, beliau tidak perlukan rumah besar tersebut lagi kerana sudah cukup dengan rumah yang sederhana. Dan pada waktu yang sama, beliau menjana pendapatan pasif bulanan hasil daripada sewa rumah besar tersebut.

Apabila kita berfikir dan mengambil kira antara keinginan (kehendak) dan keperluan, kita tidak akan hanya menilai dan mengejar apa yang kita tiada, sebaliknya kita turut bersyukur dengan apa yang kita telah ada sekarang.

Lihat kembali

Pelbagai perkara yang boleh kita pelajari daripada kedua-duanya iaitu antara keinginan dan keperluan.

Kita ingin menonton televisyen drama kegemaran kita pada jam 7 malam. Namun, adakah ia betul-betul perlu kita lakukan atau kita boleh melakukan aktiviti bermanfaat yang lain seperti solat Maghrib berjemaah, mendengar ceramah dan tazkirah di masjid.

Kita inginkan menjadi jutawan dan ingin bersedekah dengan banyak. Tapi adakah kita perlu jadi jutawan baru ingin bersedekah? Sudah pasti tidak. Kita perlu berikan apa yang kita ada walau berapapun jumlahnya.

Kita inginkan kereta yang baru dan mahal. Tapi, perlukah semua itu?. Atau cukup dengan kereta second hand dan kita bebas hutang daripada komitmen bayaran bulanan kereta tersebut.

Apabila kita lihat kembali, terlalu banyak yang kita inginkan di dunia ini, sehingga kadangkala kita lupa apa yang sebenarnya kita perlu lakukan.

Renungan

Jika hidup kita dipenuhi keinginan semata-mata, kita akan menjadi tidak tenang dan sentiasa mengejar dunia.

Sebaliknya, apabila diseimbangkan dengan keperluan, kita akan berasa cukup dan bersyukur dengan apa yang ada. Dengan bersyukur, Allah pasti akan menambah lagi nikmat yang diberikan-Nya kepada kita.

Allah juga lebih mengetahui apa yang kita perlukan, bila dan di mana kita perlukan sesuatu perkara kerana Dia Maha Mengetahui dan Maha Mengatur.

Kadang-kadang, kita menganggap baik sesuatu perkara, tapi boleh jadi ia buruk untuk kita. Begitu juga, boleh jadi kita menganggap buruk sesuatu perkara, tapi sebenarnya ia baik untuk kita.

Apa yang penting, jangan sesekali berputus asa dengan rahmat Allah Taala kerana rahmat Allah itu amat luas.

Saya doakan semoga hidup kita semua lebih tenang dan bahagia. Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *