Jangan Salah Berkorban

berkorban-cinta-allahAssalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, kita baru sahaja menyambut Hari Raya Korban yang menuntut bukan sahaja ibadah berkorban lembu dan haiwan ternakan sahaja, bahkan juga simbolik untuk mendapatkan cinta Allah perlukan pengorbanan.

Hidup ini sekali sahaja. Jadi, rugilah sekiranya kita hidup sekadar tidur, bangun dan bekerja.

Ramai yang hidupnya nampak sibuk tapi penuh keletihan, tidak tenang dan sentiasa bersedih dengan kehidupannya sendiri.

Hidup seharusnya perlu mempunyai matlamat, tujuan, impian, harapan, doa, usaha, tindakan dan ilmu untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Apakah puncanya hidup masih lagi dalam kesibukan, tidak tenang walau wang sudah banyak, sentiasa diuji Allah, hampir putus dan tiada harapan hidup lagi, dan lelah dengan dunia?

Ini kerana apabila salah dalam merancang diri dan hidup akan membawa kepada salah ‘berkorban’.

Si A : Bangun awal pagi pukul 6 ke tempat kerja untuk elakkan ‘traffic jam’ tapi telah meninggalkan solat Subuh. Dalam perjalanan, fikiran hanya fokus pada kerja yang perlu dibuat dan masalah yang perlu diselesaikan pada hari tersebut.

Si B : Bangun awal pagi pukul 5 pagi, berdoa dan solat tanda syukur pada Allah masih lagi diberikan nikmat hidup. Kemudian, bersiap ke tempat kerja selepas tunaikan solat Subuh. Dalam perjalanan, sentiasa beristighfar, berzikir dan berselawat. Fikiran fokus pada membantu menambah nilai dalam kehidupan orang lain, memberikan yang terbaik dalam kerja, jujur dan amanah bekerja sebagai ibadah pada Allah.

Yang manakah ‘berkorban’ mencari rezeki yang lebih baik? Kedua-dua A dan B pergi ke tempat kerja. Tapi, niat, matlamat dan tindakan yang berbeza.

Janganlah kita tersalah ‘berkorban’ untuk cinta pada dunia semata-mata dan melupakan cinta Allah yang lebih utama.

Apabila cinta Allah menjadi tujuan, semua pengorbanan akan menemui kemanisannya.

Manis dengan ujian dan manis dengan nikmat.

Hidup seorang muslim tenang saat diuji dan bersyukur saat diberikan nikmat.

Oleh itu, mari kita sama-sama ‘berkorban’ masa dan tenaga yang ada selagi kita hidup ini untuk menjadi diri kita yang terbaik. InsyaAllah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *