Kenapa ‘aku’ tak kaya-kaya

Tip bahagia

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah kita sudah memasuki separuh daripada 2018. Bagaimanakah pencapaian kita sehingga hari ini? Adakah kita sudah mencapai banyak impian dan target kita pada awal tahun dahulu atau kita masih merasakan diri kita ‘gagal’ mencapai kejayaan yang bermakna pada tahun ini.

Jom muhasabah untuk kita baiki lagi baki tahun 2018 ini di mana kelemahan dan kekuatan kita.

1. Aku dengan masa

Masa itu sungguh cepat berlalu. Apakah aku betul-betul menghargai masa atau aku banyak membazir masa dan tidak produktif?

Sudah kah aku mempunyai perancangan dan jadual mengurus masa setiap jam dalam hidupku? Sedangkan merancang masa bermakna merancang kehidupan dunia akhirat?

Mulai hari ini, aku akan ‘cerewet’ dengan masa ku. Tak akan kuhabiskan masa untuk perkara sia-sia dan membazir waktu. Akanku fokus masa ku mencapai impian dan cita-citaku.

2. Aku dengan impian ku

Apa guna hidup jika tiada impian yang ingin dicapai. Sungguh bagiku banyak impian ku yang ingin ku capai dalam hidup ini. Tapi, kenapa aku masih seperti dulu?

Sungguh jauh aku dengan impian ku. Dimana silapku? Apakah aku leka dengan gajet telefon ku. Ku sangka aku semakin dekat mengejar impian tapi aku semakin jauh menuju jalan yang berbeza.

Mulai hari ini, aku akan selalu melihat papan impian ku. Akanku catat kembali dan tampal kembali impian hidupku. Aku akan lihat dan bertindak sedikit demi sedikit menuju impianku.

Tiada yang mustahil apabila ada kemahuan yang membara.

Ya Allah bantulah diriku mencapai impianku kaya dan berjaya dunia akhirat…

3. Aku dengan Allah

Ya Allah. Amalan ku tidak setinggi gunung sedangkan dosaku semakin bertimbun.

Tapi jauh dihatiku mengharapkan rahmat dan kasih sayangmu. Ampunilah aku dan berilah rahmat-Mu padaku untuk aku terus menjadi hamba-Mu yang bertakwa.

Mulai hari ini, aku akan menjaga solat 5 waktu ku, aku akan membaca ayat cinta-Mu, Al-Quran.

Aku akan perbanyakkan istighfar, berselawat, bersedekah dan menambah amalan-amalan sunat kerana mengharapkan rahmat-Mu di dunia dan akhirat.

4. Aku dengan ilmuku

Apakah aku sentiasa menambah ilmu ku? Berapa banyak kuliah, kursus dan seminar yang telah ku sertai? Berapa banyak buku yang telah aku khatamkan? Berapa banyak masa yang ku peruntukkan untuk menuntut ilmu dunia dan ilmu akhirat?

Ya Allah. Sungguh sedikit ilmuku. Aku leka dengan isu semasa dan terlupa mencari ilmu yang benar-benar bermanfaat untuk aku hidup kaya berjaya dunia akhirat.

Mulai hari ini, aku akan dekati majlis-majlis ilmu. Aku akan dampingi buku-buku bisnes dan buku agama.

Aku akan mula mengaji kembali dan menjadi penuntut ilmu hingga ke akhir hayat.

5. Aku dengan diriku

Kadangkala aku berasa letih dengan diriku. Keluar pagi dan balik malam. Rutin hidupku sama sahaja dan kadangkala aku penat dan tertanya-tanya? Di mana makna kehidupan dalam kamus hidupku?

Apakah yang sebenarnya kukejar di dalam hidup ini?

Apakah aku telah menjaga hakku dengan diriku? Memastikan badanku cukup rehat. Memastikan aku menjaga pemakanan ku dengan makanan seimbang.

Tidak merokok. Tidak mengambil ‘shisha’ dan perbuatan sia-sia yang lain.

Aku sayang diriku. Aku sayang tubuh badanku. Aku akan menutup auratku kerana diriku hanya bagi yang halal bagiku.

Akan kugunakan diri ini dan kudrat ini memberi kebaikan kepada semua makhluk.

Semoga diriku selamat di dunia dan di akhirat…

6. Aku dengan tindakan ku

Apakah tindakan ku biasa-biasa sehingga ke hari ini? Sekali buat dan beberapa kali terlepas. Tidak konsisten dan tidak berdisiplin.

Mungkin kerana itulah kejayaan besar tidak menghampiriku. Tindakan aku kecil, biasa dan tidak mencabar.

Mulai hari ini, aku kembali bangkit dengan tindakan yang fokus, konsisten dan berjadual.

Aku tahu, idea tanpa tindakan adalah sia-sia. Akan ku pilih satu idea, dan aku akan realisasikan ia dengan tindakan sehingga selesai.

7. Aku dengan ibu bapaku

Oh ayah. Oh ibu. Aku rindu padamu. Selagi ku hidup, ku ingin melihat wajahmu dan ku kirimkan sentiasa doa buat mu ayah dan ibu.

Akan ku kenang jasamu dengan iringan doa buat ibu bapa setiap kali solat 5 waktu. Ini bukti cintaku padamu.

Akan ku berbakti padamu sehingga ke akhir hayatku.

8. Aku dengan manusia lain

Apakah hubungan ku dengan rakan-rakanku? Dengan saudara-saudaraku? Dengan jiran-jiranku?

Aku akan menjadi orang yang memberi manfaat kepada mereka dan bukan yang memberi mudarat kepada mereka.

Akan ku ukirkan senyuman dan doa buat sahabat-sahabatku.

Tidak sesekali aku umpat, caci dan maki orang lain kerana aku tahu diriku juga punya keaiban dan kelemahan.

Mulai hari ini, akan kulihat kebaikan dalam diri orang lain dan memberi kebahagiaan dan ketenangan kepada orang lain dengan akhlakku yang mencontohi Nabi.

Moga diriku lebih baik mulai saat ini. InsyaAllah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *