Menjaga kolam diri

kolam diri

Assalamualaikum w.b.t

Dalam Intensif Mentor Kekayaan dan Kejayaan (IMKK) oleh Dr Azizan Osman, beliau telah menekankan betapa pentingnya kita menjaga kolam diri.

Di dalam diri kita, boleh kita umpamakan sebagai sebuah kolam yang mempunyai air. Air di dalam kolam tersebut merupakan simbol keadaan dalaman diri kita.

Kolam Kotor vs. Kolam Jernih

Apabila kolam tersebut kotor, airnya keruh dan berkeladak, maka kita sebenarnya tidak tenang dan tidak bahagia.

Sebaliknya, apabila kolam tersebut bersih, dijaga dengan baik, airnya akan menjadi jernih putih dan bersih. Ia adalah simbol bahawa diri kita tenang dan bahagia.

Maksud Kolam Diri

Bagi saya, kolam diri tersebut adalah sebenarnya hati kita.

Apabila bersih hati dengan penyucian jiwa, maka hati kita akan diberikan ketenangan dan kebahagiaan oleh Allah.

Tetapi, apabila kotor hati dengan maksiat, maka hati kita akan sakit,kotor dan tidak akan tenang dan tidak bahagia.

Justeru, adalah penting kita menjaga dan mencuci kolam diri kita daripada segala perkara yang boleh merosakkannya.

Punca kolam diri kotor

Kolam diri akan menjadi kotor dan berkeladak apabila kita marah.

Perasaan marah yang tidak kena dengan tempatnya akan menyebabkan air di dalam kolam diri kita tidak tenang.

Rasulullah S.A.W juga telah menasihatkan agar kita tidak mengikut perasaan marah dan mengawalnya dengan bersabar.

Kolam diri juga akan kotor apabila kita melakukan maksiat dan perkara yang tidak diredhai oleh Allah Taala.

Mencuci kolam diri

Apabila kolam diri kotor, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencucinya.

Untuk menjaga kolam diri ini tidaklah mudah kecuali dengan mujahadah melawan nafsu dan godaan syaitan dan memohon bantuan Allah Taala.

Antara amalan yang boleh kita lakukan ialah beristighar 70 atau 100 kali, berselawat 1000 kali, menjaga solat wajib 5 waktu dan solat-solat sunat, berzikir dan berdoa.

Amalan lain termasuklah qiamullail solat malam, solat sunat Dhuha, solat sunat witir, amalan bersedekah dan lain-lain amalan kebaikan.

Melebarkan kolam diri

Selain mencuci kolam diri, kita juga perlu melebar kolam diri tersebut agar menjadi lebih luas.

Ia umpama hati kita menjadi lebih tenang dan lapang.

Antara amalan untuk melebar kolam diri ialah dengan menambah ilmu pengetahuan yang bermanfaat seperti menyertai seminar atau bengkel, menghadiri ceramah atau kuliah dan majlis-majlis ilmu yang lain.

Dengan ilmu dan kefahaman yang baik, kita akan dapat melihat lebih banyak peluang dan kebaikan di samping memberikan keyakinan kepada setiap amalan yang kita lakukan.

Marilah kita bersama-sama menjaga kolam diri kita daripada kekotoran, mencuci kolam diri dan melebar kolam diri kita setiap hari agar kita diberikan rahmat, ketenangan, kebahagiaan dan kekayaan oleh Allah. 🙂

4 Responses

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *