Assalamualaikum w.b.t
Ramai yang terkesan dengan PKP. Setiap ujian sudah pasti ada hikmah yang Allah berikan.
Orang yang berjaya tidak melihat apa yang tidak dapat mereka kawal, tapi sebaliknya melihat apa yang mereka mampu buat dan apa yang mereka masih miliki.
Bersyukur dan berusaha amat penting. Hidup ini memang tempat ujian.
Orang berjaya tidak melihat besar dan susahnya soalan ujian, tapi melihat alangkah indahnya apabila dapat menjawab ujian dengan baik.
Minda orang Islam perlu lebih luas melihat setiap masalah juga bermaksud peluang.
Ada seorang jutawan pernah menulis di dalam bukunya, terima kasih kepada bosku kerana memecat aku. Disebabkan saya dipecat, saya telah menjadi jutawan.
Ya, siapa tahu apa yang akan berlaku seterusnya di dalam hidup masing-masing.
Mungkin kita rasa kita susah. Boleh jadi lebih ramai yang lebih susah dan diuji lebih berat oleh Allah.
Bahkan umat-umat sebelum ini pun turut diuji dengan ujian yang lebih berat.
Dan ingatlah, Allah tidak uji kita melainkan Allah tahu kita mampu memikul ujian tersebut dan pasti Allah telah sediakan sesuatu kemudahan BERSAMA kesusahan tersebut.
Allah tidak janjikan selepas kesusahan baru kesenangan, tapi Allah janjikan BERSAMA kesusahan itu ada kesenangan.
“Maka sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan” (Surah Alam Nasyrah ayat 5)
Boleh jadi kita tidak suka sesuatu tapi ia adalah baik di sisi Allah, dan boleh jadi kita suka sesuatu tetapi ia buruk di sisi Allah.
Apabila kita percaya Allah tahu yang kita mampu pikul, maka mohonlah pertolongan kepada Allah jalan keluarnya melalui sabar dan solat.
“Hai orang-orang yang beriman, jadikan sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah ayat 153)
Rezeki Allah sangat rahsia. Yang pasti, Allah bersama orang yang beriman dan percaya.
Apabila hidup diuji, terasa berat sekali, dekati Allah, Tuhan yang Memberi Ujian kerana dengan-Nya jua jawapan kepada ujian tersebut.
Teruskan dan tambahkan dengan amalan harian fardu dan sunat. Carilah bekal takwa pada setiap saat meniti hari demi hari.
Pelihara solat dan solatlah dalam keadaan khusyuk dan sedar kemudian menangislah dalam doamu selepas solat memohon kepada Allah jalan penyelesaian terbaik.
Allah menyusun dan menggerakkan seluruh cakerawala, planet dan alam ini, langit dan bumi semua di dalam takluk dan kekuasaan Allah.
Jangan melihat besarnya ujian dan masalah yang dihadapi, tapi lihatlah BESARNYA KEKUASAAN TUHAN yang MENGUJI KITA.
Tunduklah dan kembali kepada-Nya.
Segalanya mudah bagi PEMBERI UJIAN.
7 Kunci keluar daripada ujian
- Sabar dan redha
- Solat sedar dan berdoa menangis
- Tambah solat sunat malam, dan Duha
- Banyakkan Istighfar 1000x sehari
- Bersedekah setiap hari
- Berselawat
- Usaha dan ikhtiar
Amalkan dengan yakin kerana harapkan cinta, reda dan rahmat Allah.
Keajaiban tidak berlaku jika kita tidak percaya.
PERCAYA BAHAWA ALLAH BERSAMA ORANG YANG BERIMAN DAN MENCINTAI ALLAH.
Semoga sahabat-sahabat dipermudah Allah dalam segala urusan kehidupan, bahagia dunia dan akhirat.
Aamiin. 🙂
Leave a Reply