Rahsia berfikir besar

fikiran besarAssalamualaikum w.b.t

Berfikir adalah salah satu cara untuk menggunakan nikmat kurniaan Allah melalui akal fikiran yang sihat.

Setiap orang mempunyai potensi yang hebat di dalam diri. Hanya apabila mereka sanggup mencari dan menggalinya.

Antaranya adalah dengan berfikir besar.

Amalan berfikir besar adalah berfikir untuk mendapatkan idea dan buah fikiran dalam melakukan sesuatu yang hebat, luar dari biasa.

Idea yang luar biasa hadir dari fikiran yang bebas dari sekatan dan halangan dari dalam diri sendiri.

Apabila kita meletakkan satu had atau sekatan ke dalam diri daripada untuk melakukan sesuatu dan mencapai impian kita, maka sekatan minda tadi akan menjadi realiti.

Sebaliknya, jika kita bebas daripada halangan minda, berfikir luas dan besar, diiringi dengan yakin diri, insyaAllah pelbagai idea dan buah fikiran bernas akan hadir ke arah kita.

Inilah rahsia dalam berfikir besar dan melihat sesuatu perkara.

“Bagaimana kita memandang sesuatu yang berlaku, adalah menentukan bagaimana kita akan bertindak balas dengannya.”

Apabila minda cukup luas dan besar, tanpa sekatan, setiap masalah dan halangan yang berlaku akan dapat dihadapi dengan tenang dan sebaiknya.

Lihatlah setiap yang berlaku dan masalah yang dihadapi dari sudut yang kita boleh selesaikan dan mampu dipikul. Bukannya dari sudut masalah tersebut terlalu besar dan susah untuk diselesaikan.

Sebaliknya, cari idea dan tindakan untuk menyelesaikan sesuatu masalah dengan penuh keyakinan bahawa Allah bersama kita dan akan menolong hamba-Nya.

Dengannya, jiwa kita akan tenang, fikiran kita akan lapang dan kita akan mudah mencari penyelesaian kepada sesuatu perkara.

Teruskan berfikir sebagaimana Al-Quran menyuruh kita berfikir dan merenung ke dalam diri dan ke luar diri melihat dan mencari hikmah dan pengajaran setiap perkara.

Moga kita dikurniakan akal fikiran yang sihat untuk kita kaya berjaya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *