10 Pengajaran Kehidupan daripada Ramadhan

pengajaran ramadhanAssalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah kita sempat bersama di dalam bulan Ramadhan kali ini. Semoga Ramadhan kita pada tahun ini menjadikan kita lebih baik daripada sebelumnya.

Saya kongsikan bersama 10 pengajaran yang boleh kita pelajari daripada Ramadhan ini.

10 Pengajaran Kehidupan daripada Ramadhan

1.   Niatkan setiap kerja dan amalan kerana Allah Taala

Dalam ibadah, pekerjaan dan perniagaan, niatkan setiap perkara yang kita lakukan kerana Allah.

Barulah apa yang kita lakukan sentiasa diberkati Allah.

Sebagaimana puasa yang tidak kerana Allah, maka puasa itu akan ditolak.

2.   Mulakan hari anda di awal pagi

Rasulullah S.A.W menyarankan kita untuk bangun pagi untuk bersahur dan disunatkan melewatkan sahur sebelum Subuh.

Amalan bersahur mempunyai banyak hikmah yang boleh kita pelajari antaranya untuk memulakan hari kita di awal pagi.

Awal pagi mempunyai rahsia yang tersendiri yang mana dianjurkan untuk kita qiamullail dan berdoa kepada Allah yang mana antara saat mustajab untuk doa dikabulkan.

Mulakan hari seawal jam 5 pagi, dan lakukan ketaatan atau kerja anda yang terpenting.

Anda akan lihat banyak kerja yang dapat anda siapkan dengan penuh rasa ketenangan.

Tip : Lakukan kerja terpenting anda di awal pagi. Apabila ia telah selesai, hari anda pada waktu siang nanti akan lebih mudah, ceria, tenang dan bahagia.

3.   Disiplin diri dalam melakukan ketaatan

Ramadhan melatih kita dalam disiplin melakukan ketaatan kerana Allah.

Perlu meninggalkan perkara yang membatalkan puasa dan daripada melakukan dosa.

Bersahur di awal pagi dan berbuka di awal waktu.

Menunaikan solat terawih setiap malam dan membanyakkan amalan sunat dengan istiqamah.

Ia adalah satu bentuk latihan disiplin yang tinggi dan sistem yang teratur yang dapat kita aplikasikan dalam perniagaan.

Pengajarannya, untuk berjaya, kita perlu ada disiplin diri dan sistem yang teratur.

Ada perkara yang perlu kita lakukan dalam perniagaan dan ada perkara yang tidak perlu kita lakukan.

Jika kita dapat mengikut disiplin dan sistem yang telah terbukti berjaya, maka insyaAllah perniagaan kita akan berjaya.

4.   Utamakan perkara yang utama

Untuk berjaya, lakukan perkara yang utama pada waktunya.

Sebagaimana selepas bersahur, kita boleh memilih untuk tidur kembali atau bersiap untuk solat Subuh berjemaah di masjid. Pilihan di tangan kita. Jadi, pilihlah yang lebih utama untuk kita lakukan pada waktu tersebut.

Begitu juga, dalam kehidupan dan perniagaan, ada perkara yang lebih utama kita lakukan pada waktu tersebut tapi kita melakukan perkara yang tidak penting yang lain pula.

Jadi, utamakan yang utama untuk mencapai lebih kejayaan.

5.   Tinggal perkara yang melalaikan dan lakukan perkara yang bermanfaat

Ramadhan melatih kita banyak melakukan perkara yang baik dan meninggalkan perkara yang buruk.

Walaupun kadangkala sukar untuk meninggalkan perkara yang sudah menjadi tabiat, seperti merokok atau mengumpat, tapi ia perlu juga dielakkan dan ditinggalkan.

Bulan ini adalah paling sesuai untuk seseorang itu berubah dan berhijrah ke arah kehidupan yang lebih baik.

Jihad menentang hawa nafsu, meninggalkan dosa dan pada masa yang sama meningkatkan amalan ketaatan untuk mencari taqwa adalah resipi Ramadhan yang perlu diteruskan selepas Ramadhan.

6.   Sabar dalam ketaatan

Sabar dalam melakukan suruhan Allah berpuasa dan melakukan ketaatan, dijanjikan Allah ampunan dosa dan ganjaran syurga.

Amalan sifat sabar dalam bekerja atau berniaga, dikala menghadapi masalah atau musibah, adalah ubat yang perlu ditelan sebelum mendapat kejayaan.

7.   Cuci harta dengan zakat dan sedekah

Kita perlu menunaikan zakat fitrah di bulan Ramadhan dan digalakkan bersedekah kerana setiap amalan sedekah akan digandakan pahalanya.

Pengajaran yang boleh dipelajari ialah untuk menggalakkan kita menunaikan zakat (zakat fitrah, zakat harta, zakat pendapatan, zakat emas dll.) dan menjadikan bersedekah sebagai amalan di bulan-bulan yang lain juga.

Setiap sumbangan zakat dan sedekah akan menyucikan harta dan dosa pemiliknya dan seterusnya menambah lagi rezeki dan keberkatan dalam pekerjaan dan perniagaan.

8.   Perlu berusaha melakukan tindakan untuk mendapatkan ganjaran

Ramadhan tidak melatih kita duduk sahaja apabila berpuasa. Sebaliknya untuk tetap berusaha melakukan kerja dan mencari rezeki sebagaimana biasa.

Setiap ganjaran pahala dan gandaan kebaikan, diberikan Allah kepada mereka yang berusaha untuk mendapatkannya.

Berpuasa, solat berjemaah, solat-solat sunat, bersedekah, berzikir, belanja orang lain berbuka puasa dan amalan kebaikan lain adalah perlu dilakukan untuk kita mendapatkan ganjarannya.

Pengajarannya, kita perlu melakukan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu.

Justeru, kita tidak seharusnya sekadar berusaha biasa-biasa, sebaliknya berusaha luar biasa dalam pekerjaan atau perniagaan untuk mendapatkan lebih ganjaran.

Sebagaimana kata pepatah Arab, man jadda wajada, siapa berusaha dia akan dapat.

9.   Bersusah-susah dahulu dan bersenang-senang kemudian

Latihan Ramadhan menuntut pengorbanan yang tinggi di siangnya berpuasa dan di malamnya melakukan qiam Ramadhan.

Tetapi, setiap kesusahan dijanjikan Allah pahala berganda, ampunan dosa dan ganjaran pelepasan daripada api neraka.

Apa yang boleh kita pelajari, setiap kesusahan ada kesenangan.

Bersusah dahulu dalam perniagaan, dan insyaAllah suatu masa nanti akan hadir waktu senang.

10. Mencari dan membawa bekal taqwa

Objektif utama Ramadhan adalah melahirkan insan Muslim yang bertaqwa.

Dalam apa jua yang kita lakukan, pekerjaan dan perniagaan, biarlah ia berlandaskan jalan ketaqwaan.

Iaitu jalan yang diredhai Allah.

Ini kerana, taqwa adalah kunci untuk kita berjaya di dunia dan di akhirat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *