3 Amalan Menderaskan Rezeki

 

rezeki lautan

Assalamualaikum w.b.t

Dalam tulisan ini, saya ingin berkongsi 3 amalan yang menderaskan rezeki. Setiap amalan adalah mewakili 3 resipi kekayaan yang saya kongsikan iaitu kaya minda, kaya jiwa dan kaya harta  (kaya tindakan).

Apabila digabungkan ketiga-tiga kekayaan ini, melalui amalan dan tindakan, maka anda akan berada pada potensi anda yang sebenar, pada tahap genius anda.

Pada waktu itu, hidup anda tenang dan bahagia, tidak berputus asa, penuh keyakinan, penuh kesabaran, penuh makna dan insyaAllah kekayaan harta akan hadir ke arah anda dan anda terpaksa menjadi kaya.

Di bawah saya kongsikan 3 amalan tersebut :

3 Amalan Menderaskan Rezeki

  1. Kaya minda : Membaca 1 jam setiap hari

Ya, inilah rahsianya iaitu hanya dengan membaca buku 1 jam sehari.

Apabila dirutinkan dan dimasukkan dalam agenda to-do-list anda, maka anda telah memberi makanan minda kepada akal fikiran anda.

Lihatlah mereka yang kaya dan berjaya adalah mereka yang sentiasa belajar dan belajar.

Bilakah kali terakhir anda membaca buku?

Apakah buku terakhir yang anda baca?

Terdapat pelbagai buku hebat di pasaran sana. Apa yang penting adalah anda memilih buku yang terbaik dalam bidang anda, buku motivasi, buku perniagaan, buku pelaburan, buku Islami dan sebagainya.

Apabila ilmu semakin bertambah, fikiran menjadi semakin berkembang dan pelbagai idea hebat akan datang.

Pada ketika itu, anda berfikir dengan berbeza dan melihat sesuatu dengan pandangan yang berbeza kerana luasnya pemahaman anda.

Ilmu yang baik dan bermanfaat adalah rezeki.

Maka, kejarlah ilmu ini kerana terlalu banyak peninggalan warisan ilmu yang ditinggalkan para ulama dan para cendekiawan, tetapi terlalu sedikit umat Islam yang bersungguh-sungguh ingin mempelajarinya.

Justeru, amalan terbaik yang saya kira semua orang boleh amalkan ialah dengan menjadikan membaca buku sebagai kewajipan anda setiap hari selama 1 jam. Mungkin buat permulaan, anda boleh bermula dengan 30 minit sahaja terlebih dahulu dan cuba tambah masa membaca anda secara perlahan-lahan.

  1. Kaya jiwa : Solat Sunat Dhuha

Antara amalan yang ramai orang sudah mengetahuinya, iaitu amalan khusus untuk dimurahkan rezeki oleh Allah ialah solat sunat Dhuha.

Namun, tidak semua orang mampu melaksanakan solat sunat Dhuha dengan istiqamah setiap hari walaupun hanya 2 rakaat.

Ini kerana, terlampau sibuknya kita dalam bekerja dan berniaga sehingga “terlupa” dan “tidak sempat” untuk melakukan solat sunat Dhuha.

Rasulullah S.A.W telah bersabda bahawa solat sunat Dhuha di pagi hari, Allah telah menjamin akan mencukupkan rezeki kita pada hari tersebut.

“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.”
(Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

Justeru, niatlah dan sematkan dalam diri kita untuk “mewajibkan” solat sunat Dhuha ini untuk kita lakukan setiap hari.

Sesibuk manapun kita bekerja dan berniaga, sudah tentu kita mempunyai masa untuk berehat. Maka, gunakanlah sedikit masa rehat kita untuk meminta permohonan kepada Allah memudahkan segala urusan kita setiap hari dengan solat sunat Dhuha sekurang-kurangnya 2 rakaat.

Amalkan dengan ikhlas kerana Allah dan serahkan segala urusan kepada-Nya.

Dengannya, hidup kita akan menjadi tenang dan dipermudahkan segala urusan. Yakinlah.

  1. Kaya tindakan : Membantu lebih ramai orang

Jadilah orang yang kaya dengan memberi.

Orang yang memberi dengan ikhlas dan tidak mengharapkan sebarang balasan.

Tetapi, sudah sunnatullah, apa yang diberi akan dibalas Allah dengan yang lebih baik.

Apabila anda membantu LEBIH ramai orang, anda sebenarnya telah memberi dengan banyak.

Seterusnya, hukum sunnatullah tadi akan berjalan, anda akan menerima lebih baik daripada yang anda berikan tadi.

Sekiranya anda berniaga, maka perhatikan dan fikirkan bagaimana anda boleh sasarkan produk anda dan perkhimatan anda kepada lebih ramai pelanggan.

Fikirkan bagaimana anda boleh capai lebih ramai orang dan memberi kepada lebih ramai orang.

Inilah pentingnya pemasaran. Pemasaran yang niatnya adalah untuk membantu orang lain mendapat faedah daripada produk atau perkhidmatan kita.

Rezeki yang tidak deras salah satu puncanya adalah kita tidak cukup memberi.

Kita memberi dan membantu sedikit sahaja orang. Maka, setakat itulah rezeki yang kita peroleh.

Tetapi, apabila kita memberi dan membantu lebih ramai orang, insyaAllah rezeki kita akan mula bertambah dan semakin deras.

Justeru, mula berfikir bagaimana anda ingin mencapai lebih ramai pelanggan dan membuatkan mereka suka dengan anda.

Akhir kata, harapan saya semoga tulisan ini dan Video-video yang diberikan dapat memberi manfaat buat anda.

2 Responses

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *