3 Tip Terbaik Disiplin ‘World Class’

DisiplinAssalamualaikum w.b.t

Setiap orang mempunyai kelebihan yang tersendiri. Semua orang diciptakan Allah dengan kehebatan dan kelebihan.

Namun, kelebihan ini tidak akan menyerlah jika kita tidak berusaha menggilapnya. Di sinilah letaknya disiplin dalam melakukan sesuatu perkara di dalam hidup.

Orang yang tiada disiplin hidup, ialah mereka yang tiada matlamat yang jelas di dalam hidup, tidak tahu apa yang mereka mahukan dan apa yang seharusnya mereka lakukan.

Hari demi hari adalah sama sahaja dengan rutin hidup yang sama. Sama ada dari segi pekerjaan, kehidupan malah dari segi ibadah.

Amat rugi jika potensi dan kelebihan yang telah diberikan Allah disia-siakan begitu sahaja.

Kita sebenarnya mampu pergi lebih jauh dalam mencapai kejayaan dalam hidup. Sama ada dari segi kehidupan, keluarga, pekerjaan, perniagaan, ilmu pengetahuan fardu ain dan fardu kifayah dan amal ibadat.

Mereka yang terbaik adalah apabila mereka tahu apa yang mereka mahukan dalam hidup ini, tujuan apa mereka diciptakan dan apa yang mereka boleh sumbangkan dan berikan.

Hari ini seharusnya lebih baik dari semalam. Dan esok akan lebih baik daripada hari ini.

Bagaimana mencapai kejayaan dalam hidup?

Disiplin adalah salah satu kuncinya.

3 Tip Terbaik Disiplin ‘World Class’

1.   Bangun awal pagi

Bangun awal pagi sebelum Subuh adalah rutin mereka yang hidup penuh disiplin. Mulakan hari seawal pagi. Lakukan amalan kerohanian seperti qiamullail, membaca al-Quran, membaca buku, menulis dan merancang hari anda pada awal pagi.

Kelebihan memulakan hari lebih awal daripada orang lain tidak dapat diungkapkan melainkan anda sendiri yang melaluinya.

Sebagaimana Rasulullah S.A.W yang mengamalkan bangun malam, begitu juga, alangkah beruntungnya kita jika dapat turut mengamalkan sunnah baginda.

Tenaga dan fikiran amat segar pada awal pagi. Idea dan daya fokus lebih tajam pada waktu ini.

Justeru, mari kita cuba rutinkan untuk bangun awal pagi setiap hari. Apa yang diawalnya mungkin susah untuk bangun pagi, tapi apabila dilakukan setiap hari tanpa putus asa, akan menjadi senang akhirnya.

2.   Lakukan apa yang seharusnya dilakukan, bukan apa yang mudah

Ramai yang boleh merancang. Tapi, tak ramai yang boleh melakukan apa yang telah dirancang.

Disiplin diri adalah terletak pada tindakan yang kita pilih. Sama ada tindakan yang betul, yang seharusnya kita lakukan atau tindakan yang salah, yang mudah semata-mata menghiburkan dan menggembirakan kita sebentar sahaja.

Contoh mudah, kita tahu membaca buku boleh menambah ilmu. Tapi, ramai yang memilih menonton tv berbanding membaca buku bermanfaat yang boleh menambah ilmu dalam bidang yang diceburi.

Setiap saat, minit dan jam amat berharga. Ia adalah kehidupan kita. Justeru, lakukan apa yang seharusnya kita lakukan. Yang memberi kita manfaat di dunia dan akhirat.

3.   Siapkan apa yang telah dimulakan

Alasan yang biasa diberikan adalah tidak cukup masa, tidak sempat, tiada ‘mood’ dan sebagainya. Ia dinamakan fenomena ‘discounting’. Kita sendiri yang membantutkan dan menghalang kejayaan untuk datang kepada kita.

Kita memberi ‘discount’ kepada diri kita untuk tidak melakukan sesuatu yang mana akhirnya ia berhenti di pertengahan jalan. Di sinilah kita ‘stuck’. Terlalu banyak dirancang tapi tiada satupun yang berjaya disiapkan.

Justeru, jika anda telah merancang dan melakukan sesuatu perkara, tetapi belum selesai, maka siapkan apa yang telah anda mulakan. Pilih satu tugasan dan siapkannya. Hasilnya, perkara seterusnya yang telah anda rancang, akan menjadi lebih mudah.

Lakukan satu perkara satu persatu. Kejayaan akan semakin menghampiri. Insya-Allah.

Semoga bermanfaat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *