5 pengajaran korban

pengajaran korbanAssalamualaikum w.b.t

Hidup di dunia ini adalah satu ujian. Dan setiap ujian perlukan persediaan. Persediaan inilah yang menuntut satu pengorbanan.

Kita tidak dicipta sia-sia untuk sekadar bekerja, bermain, berhibur dan berehat.

Sebaliknya kita mempunyai matlamat utama iaitu untuk menjadi khalifah dan menjadi hamba Allah dengan berkorban membawa bekal amalan soleh dan bekal takwa.

Sesiapa yang tidak bersedia dan tidak sanggup berkorban, dia akan gagal ujian paling besar iaitu ujian hidup di dunia.

Yang mana ujian ini tidak sesekali boleh diulang lagi sekali. Dan keputusannya di akhirat nanti sama ada pengakhiran di syurga atau neraka.

Apabila mengatakan cinta Allah dan cinta Rasulullah S.A.W, maka kita akan diuji terlebih dahulu di dunia ini. Hanya yang sanggup diuji dan sanggup berkorban yang akan berjaya.

5 Pengajaran Korban

1.   Berkorban wang dan harta benda

Wang dan harta benda menjadi saham akhirat apabila digunakan untuk kebaikan. Berkorban wang dan harta benda dengan menggunakan wang untuk berkorban haiwan di hari raya aidil adha, bersedekah, menunaikan zakat, menunaikan umrah dan haji, membantu orang lain, menuntut ilmu dan melakukan kebaikan.

Wang bukan sekadar untuk dihabiskan dengan membeli belah dan hidup serba kaya. Tapi, gunakanlah wang ke arah kemajuan diri, keluarga dan agama.

2.   Berkorban masa

Masa 24 jam sehari adalah nikmat yang perlu kita gunakan sebaiknya. Bagaimana kita menguruskan masa menentukan kita sama ada tergolong dalam orang yang rugi atau orang yang beruntung.

Mereka yang berkorban masa untuk bekerja, belajar, beramal soleh dan berpesan dengan kebenaran adalah orang yang beruntung.

Manakala mereka yang membazir masa, lalai dengan dunia dan tidak mengurus masa dengan baik adalah mereka yang rugi.

Apakah kita merancang masa setiap hari? Atau sekadar rutin yang sama tanpa perancangan masa yang lebih baik hari demi hari.

Bagaimana mereka yang kaya dan berjaya amat menjaga masa yang mana ia lebih berharga daripada harta benda dan wang ringgit.

Manakala mereka yang biasa-biasa sentiasa memandang biasa sahaja dengan masa mereka tanpa perancangan aktiviti dan matlamat harian yang ingin dicapai.

Oleh itu, korbankan masa senang lenang untuk melakukan perkara yang boleh memberikan kebaikan dan keuntungan dunia dan akhirat.

3.   Berkorban tenaga

Setiap orang diberikan kuasa dan tenaga untuk melakukan sesuatu.

Beza mereka yang berjaya dan gagal adalah pada bagaimana tenaga mereka dihabiskan setiap hari.

Jadi, kemanakah tenaga kita dihabiskan setiap hari?

Adakah untuk sesuatu yang bermanfaat atau sebaliknya.

Tenaga yang ada seharusnya kita gunakan untuk beribadah, bekerja, berniaga, belajar dan berbuat kebaikan.

Elakkan pembaziran tenaga dengan melakukan kerja tidak berfaedah, bermain permainan komputer atau games di gadjet dengan berlebihan, banyak tidur, banyak makan, melepak, banyak menonton televisyen dan sebagainya.

Apabila kita dapat mengawal tenaga luaran dan dalaman kita dengan baik, kita akan menjadi individu yang hidup luar biasa, cemerlang dan dapat melakukan sesuatu yang hebat.

Lihatlah mereka yang kaya dan berjaya, tenaga dan masa mereka hanya digunakan untuk perkara yang membolehkan mereka mencapai matlamat hidup mereka di dunia dan akhirat.

4.   Berkorban hawa nafsu

Hawa nafsu sentiasa menyuruh ke arah keburukan.

Oleh itulah, kita perlu sentiasa peranginya dan jadikannya musuh kita. Jangan dituruti bisikannya.

Tutup pintu-pintu hawa nafsu yang boleh mendorong kita ke arah keburukan. Antaranya adalah mengelakkan makan terlalu banyak, berkhayal, tiada perancangan aktiviti, membazir masa dan bergaul dengan rakan yang melalaikan.

Sebaliknya, berjihad melawan hawa nafsu adalah pengorbanan yang perlu kita lakukan sepanjang hidup. Lakukanlah ibadah dan amal soleh terutamanya solat 5 waktu dan qiamullail solat malam, banyakkan membaca bahan ilmiah, dengar perkara bermanfaat sahaja dan sentiasa menghadiri majlis ilmu.

Ingatlah orang yang berjaya adalah orang yang dapat menundukkan dan mengawal hawa nafsunya.

5.   Berkorban diri dan jiwa

Diri dan jiwa kita adalah tanggungjawab kita yang menjaganya.

Jagalah diri dan jiwa dengan baik dan untuk perkara yang baik sahaja.

Berkorban diri dan jiwa untuk melakukan segala apa yang kita mampu demi perjuangan agama Islam.

Siapapun kita, seorang murid, seorang pelajar, seorang mahasiswa, seorang pekerja, seorang peniaga, kita semua adalah hamba Allah. Dan tugas kita adalah untuk berkorban mengikut kemampuan kita dengan berkhidmat untuk agama Islam.

Jika anda seorang doktor, niatlah merawat pesakit kerana Allah untuk membantu pesakit yang mana dengan kesihatan yang baik, mereka dapat beribadat kepada Allah.

Jika anda seorang guru, niatlah untuk mendidik anak murid dengan ilmu yang bermanfaat supaya mereka menjadi lebih dekat dengan Allah dan menjadi muslim yang profesional.

Berkorbanlah untuk menjadi diri kita yang terbaik dan menggunakan seluruh potensi dan ilmu yang kita ada untuk kaya berjaya dunia dan akhirat.

Akhirnya, semoga apa jua yang kita lakukan adalah untuk agama dan bukannya untuk dunia semata-mata.

Semoga kita dapat sama-sama berkorban ke arah kebaikan.

Salam aidil adha. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *