7 Seni Belajar Perkara Baru Setiap Hari

belajar perkara baruAssalamualaikum w.b.t

Setiap hari adalah peluang yang Allah berikan kepada kita untuk melakukan amalan yang terbaik. Maka, seharusnya, hari ini adalah lebih baik daripada semalam dan esok akan menjadi lebih baik daripada hari ini.

Begitulah, dalam setiap tindakan yang kita ambil setiap hari akan menentukan apakah hasil yang akan kita peroleh.

Apabila hari yang dilalui sama sahaja rutinnya, bekerja, berehat, makan dan berhibur. Maka, hari yang dilalui adalah sama dan mungkin lebih buruk daripada semalam.

Rutin yang sama adalah baik apabila ia memberikan pelajaran baru buat kita setiap hari. Apatah lagi, apabila kita dapat memulakan rutin yang lebih baik dengan komited dan bersungguh-sungguh mempelajari sesuatu yang baru setiap hari.

7 Seni Belajar Perkara Baru Setiap Hari

  1. Membaca

Membaca buku yang hebat daripada penulis yang hebat turut menjadikan kita hebat. Mendapat ilmu daripada pengalaman penulis buku umpama bersemuka dan menimba ilmu dengan penulis itu sendiri.

Terlalu banyak buku-buku yang hebat di pasaran yang dapat mengubah pemikiran, memberi semangat, motivasi, inspirasi dan menjadikan kehidupan kita lebih baik.

Namun, persoalannya, berapa muka suratkah buku yang telah kita baca pada hari ini?

Jika ada, maka tahniah. Jika tiada, maka perubahan perlu dilakukan.

Ramai yang mampu membaca surat khabar tetapi tidak pula sempat untuk membaca buku yang bermanfaat dan membaca al-Quran walaupun sebentar sahaja.

Renungkanlah dan mari kita mula mengubahnya.

  1. Mendengar

Mana yang lebih banyak kita lakukan setiap hari. Bercakap atau mendengar?

Amalkanlah banyak mendengar nescaya banyak hikmah yang akan kita pelajari.

Dengarkan perkara yang bermanfaat, maka kita akan turut mendapat kebaikan daripadanya.

Hadiri majlis ilmu, tazkirah, mendengar ceramah, bacaan al-Quran, buku audio, video dan sebagainya akan membawa dimensi baru dalam kolam ilmu di dalam diri kita.

Orang yang sanggup menadah telinga untuk mendengar, maka dia juga akan sanggup untuk melakukan apa yang telah dipelajari daripada ilmu yang dikongsikan.

Mendengar berulang kali akan menjadikan diri kita sentiasa ingat dalam sesuatu perkara kebaikan.

Begitulah, peruntukkan masa untuk mendengar walaupun sebentar. Amat rugi bagi mereka yang terlalu sibuk hinggakan tiada masa untuk mendengar.

  1. Berfikir dan mengkaji

Seni berfikir menjadikan minda dan fikiran kita sentiasa segar dan aktif.

Apabila terlalu sibuk dengan urusan dunia, maka berhenti sejenak dan luangkanlah masa untuk berfikir. Kadangkala, kita terlalu sibuk mengejar sesuatu yang menyebabkan kita telah mengabaikan perkara yang lebih penting di dalam hidup kita.

Justeru, berhenti sebentar dan luangkan masa berfikir.

Berfikir tentang nikmat yang telah diperoleh menjadikan kita kaya dengan rasa syukur. Berfikir tentang alam ciptaan Allah, menjadikan kita semakin dekat dan takut kepada Allah. Berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak, akan menjadikan kita lebih bijaksana dan adil dalam tindakan. Berfikir terlebih dahulu sebelum bercakap, menjadikan kita lebih dihormati dan disegani.

Oleh itu, berfikir adalah penting dalam mencari hikmah dan pengajaran dalam sesuatu perkara. Para ulama dan ilmuwan adalah mereka yang banyak berfikir, merenung dan mengkaji. Begitu juga, para usahawan sentiasa berfikir terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan dan membuat keputusan.

  1. Belajar daripada pengalaman sendiri dan orang lain

Orang Islam tidak seharusnya mengulangi kesilapan yang sama berulangkali. Mereka seharusnya belajar daripada pengalaman.

Belajar daripada pengalaman sendiri dan orang lain adalah jalan pintas untuk berjaya.

Caranya adalah dengan berguru dan mempunyai mentor yang dapat memberi tunjuk ajar dan menegur kita di saat melakukan kesilapan.

Ia adalah seni tradisi zaman berzaman daripada seorang guru ke seorang guru. Luangkan masa untuk berguru dan belajar dengan guru, nescaya banyak perkara baru yang lebih baik akan dinikmati di dalam hidup ini apabila mempunyai guru.

  1. Lakukan eksperiman dan ujian

Dengan berani mencuba melakukan sesuatu perkara yang bermanfaat, dan mengatasi rasa takut mencuba, membolehkan kita belajar perkara yang baru.

Dalam pemasaran, sikap berani melakukan eksperimen menguji kaedah pemasaran yang betul amat perlu bagi melihat kaedah yang paling sesuai dan menguntungkan.

Begitu juga, sekiranya takut dan tidak berani mengambil risiko yang terancang, sukarlah untuk menemui kejayaan. Ini kerana, berjaya atau gagal dalam percubaan sebenarnya adalah proses untuk menemui kejayaan.

  1. Cuba perkara baru

Hidup tidak akan ceria apabila rutin yang sama dilakukan setiap hari.

Cuba pelbagaikan aktiviti seperti pergi berkelah di hujung minggu, bermain boling bersama rakan, keluar minum bersama sahabat baik, bersiar-siar bersama keluarga, mendaki bukit, berbasikal, berjoging, melancong, belajar seni mempertahankan diri, menyertai seminar dan bengkel dalam bidang yang baru dan sebagainya.

Apabila hidup dipenuhi dengan pengisian yang pelbagai, menarik dan bermanfaat, ia akan menjadikan diri kita lebih ceria, bertenaga dan lebih menghargai kehidupan.

  1. Nikmati proses pembelajaran

Bukan sahaja destinasi akhir yang perlu dinikmati, tapi nikmatilah perjalanan hidup anda setiap hari.

Hargai nikmat hidup hari ini dengan sebaiknya. Kerana belum tentu esok akan menjadi milik kita.

Nikmati proses pembelajaran dalam kehidupan ini. Setiap yang berlaku mempunyai hikmah dan kita sebenarnya mempunyai peluang untuk hidup lebih baik apabila kita sedia belajar perkara yang baru setiap hari.

Semoga dapat kita amalkan bersama. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *