Assalamualaikum w.b.t
Dalam meniti hidup ini, kita seringkali menghadapi ujian dan dugaan. Setiap orang mempunyai ujian masing-masing yang menguji tahap kesabaran dan keimanan mereka kepada Allah.
Ujian kekayaan, ujian kemiskinan, ujian kesihatan, ujian kekeluargaan, ujian pekerjaan dan banyak lagi ujian yang perlu kita hadapi di dalam hidup ini.
Dan kadangkala kita sering mengeluh, rebah, pasrah, kecewa dan hampir berputus asa apabila menerima sesuatu ujian.
Menangislah kepada Allah
Hingga kita akan menangis bersendirian apabila mengenangkan ujian yang menimpa yang kadangkala terlalu berat untuk ditanggung.
Menangislah kepada Allah. Moga tangisan rindu munajat seorang hamba memohon pertolongan hanya kepada Allah akan dapat mengubat jiwa yang duka ini.
Sudah pasti ada hikmah di sebalik ujian. Ujian yang diberi tidak sia-sia. Melainkan dengan matlamat memberikan sesuatu pengajaran, pengalaman dan ilmu yang berharga yang hanya dapat diperoleh apabila seseorang itu diuji.
Justeru, apabila menerima ujian, kembalilah kepada Allah yang memberi ujian. Mintalah pertolongan, jawapan dan penyelesaian daripada Allah. Moga setiap pilihan dan tindakan yang dibuat diberkati dan dirahmati Allah.
Tawakal penyerahan kepada Allah
Dengan ilmu, pengalaman dan kekuatan kita seorang diri, kita tidak akan mampu menghadapi semua ujian ini dengan baik. Kita perlukan bantuan Allah dengan menyerahkan segala hasil dan penyelesaiannya kepada Allah apabila kita telah berusaha melakukan yang terbaik.
Jangan mengeluh
Tugas kita adalah berusaha memampukan diri kita dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Diiringi dengan penyerahan hati yang bulat kepada Allah untuk memberi hasilnya.
Oleh itu, jangan kita mengeluh dan memikirkan betapa beratnya ujian yang dihadapi. Sebaliknya, bersabarlah dan lakukan apa yang mampu kita lakukan dengan bantuan ilmu, pengalaman dan sumber di sekeliling kita.
Pada waktu yang sama, sematkan di dalam hati bahawa Allah akan memberi jalan penyelesaiannya apabila telah tiba waktu dan keadaan yang Dia Lebih Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya.
Bukanlah kita menjadi kuat dengan apa yang kita miliki dan orang di sekeliling kita, tapi kita menjadi kuat menghadapi ujian ini apabila kita menjadikan Allah sebagai wakil penolong kita pada setiap masa dan keadaan.
Cukuplah Allah Taala untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami).” “Nikmal maula wanikmal Nashir” Dia sebaik-baik tuan/raja dan sebaik-baik penolong.”
Leave a Reply