Allah sedang menguji kita

Allah menguji kitaAssalamualaikum w.b.t

Hidup umpama roda.

Andai kata kita gembira pada hari ini, maka tidak selamanya kita akan gembira dan akan tiba saat kita akan bersedih dan berdukacita.

Andai kata kita berduka hari ini, maka yakinlah tidak selamanya kita akan berduka dan bersedih.

“Tidak selamanya kebahagiaan itu datang, kerana kadang-kadang sinar matahari ditutup oleh awan yang tebal, kesedihan yang dibawa ketawa, ibarat panas mengandung hujan.”

Orang mukmin, akan bersyukur di saat menerima nikmat dan bersabar di saat menerima ujian.

Tiada istilah dukacita atau putus asa daripada rahmat Allah.

Kerana mereka yakin rahmat Allah itu Maha Luas.

Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Hanya yang di minta adalah kita berusaha sedaya upaya untuk mengubah nasib hidup kita dan selebihnya adalah tawakal dan percaya Allah akan membantu kita.

Doa, usaha, iman dan tawakal adalah kuncinya.

Ada yang pada masa sekarang hidup dalam kesempitan, kekurangan wang, belum berkemampuan memiliki kenderaan, belum mampu membina rumahtangga dan sebagainya.

“Boleh jadi kesusahan yang anda derita itu apabila anda menerimanya dengan ikhlas, pada kemudian hari nanti akan menjadi kenang-kenangan yang tidak ternilai harganya.”

Ingatlah kita sedang diuji Allah untuk melihat sejauh mana kesabaran kita dan kebergantungan kita kepada Allah.

Allah ingin mendengar rintihan, rayuan dan doa yang dipanjatkan oleh hamba-Nya. Ujian yang diberikan adalah tanda Allah sayang kepada kita.

Mohonlah pada Allah agar dibukakan jalan dan dipermudahkan segala urusan. Mungkin kita banyak melakukan dosa pada Allah selama ini yang menghalang rezeki yang melimpah ruah untuk kita.

Oleh itu, kembali kepada Allah hanyalah satu-satunya jalan mendapatkan rahmat dan kasih sayang-Nya.

1.   Bertaubat dan beristighfar

Bertaubat dengan sebenar-benarnya dan berazam tidak akan kembali melakukan kesalahan dan dosa lagi. Banyakkan beristighfar 70 atau 100 kali sehari.

2.   Berselawat kepada Nabi S.A.W

Kelebihan berselawat terlalu banyak. Antaranya adalah dimurahkan rezeki dan diberikan rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka.

Amalkan berselawat 313 kali atau 1000 kali setiap hari dengan niat rasa cinta terhadap Nabi Muhammad S.A.W. . Sebagaimana Allah turut berselawat ke atas kekasih-Nya dan mengurniakan pelbagai kelebihan kepada orang yang turut mencintai kekasih Allah.

3.   Menjaga amalan soleh

Amalan fardhu hendaklah dilakukan dengan ilmu dan kefahaman yang sempurna. Lakukan juga amalan sunat yang lain seperti qiamullail, solat sunat Dhuha dan bersedekah.

Semua amalan soleh akan diberikan ganjaran kebajikan oleh Allah dan memberikan ketenangan kepada pelakunya.

4.   Menghadiri majlis ilmu

Sebagaimana Rasulullah S.A.W telah bersabda,  “Barangsiapa hendakkan dunia, hendaklah dengan ilmu. Barangsiapa hendakkah akhirat, hendaklah dengan ilmu. Dan barangsiapa hendakkan kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat hendaklah dengan ilmu”.

Banyakkan menghadiri majlis ilmu, seminar dan kursus untuk meningkatkan lagi kemampuan dan mempelajari ilmu baru.

Peruntukkan sedikit wang untuk membeli buku-buku dan menghadiri kursus yang dijalankan.

Kata Dr Azizan Osman, “Pendapatan kita adalah setakat ilmu yang kita ada. Lebih banyak ilmu yang kita ada, lebih besar pendapatan yang akan kita peroleh.”

“Barangsiapa yang tidak hendak maju dalam mencari ilmu, maka jiwanya seumpama lampu yang kehabisan minyak, makin lama makin malap dan kemudian menjadi gelap.”

5.   Berusaha bertindak

Lakukan sesuatu untuk mengubah nasib sekarang. Cari jalan dan lihat peluang yang ada. Belajar dan bertindak sehingga anda berjaya.

Sudah sunnatullah, sesiapa yang berusaha akan dapat.

Bertindak dengan luar biasa, maka hasilnya akan luar biasa.

6.   Ikhlas

Dalam hidup seharian, ikhlaskan diri pada setiap keadaan. Jaga perintah Allah dan jauhi larangan-Nya.

Yakinlah, ketenangan dan kebahagiaan sebenar akan mengiringi perjalanan hidup kita nanti.

“Jagalah perintah Allah nescaya Allah menjagamu, dan jagalah larangan Allah, kerana Allah selalu berada di depanmu, mendekatlah kepada Allah pada waktu senang, nescaya Allah akan menolongmu di waktu susah.”

Semoga kita semua kaya berjaya dunia akhirat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *