Berlumba dengan diri sendiri

Assalamualaikum w.b.t

Salam Ramadan buat semua pembaca blog ini. Semoga sihat sentiasa dalam rahmat kasih sayang Allah Taala.

Hidup ini adalah satu-satunya peluang untuk kita memanfaatkannya untuk kita raih rahmat dan kasih sayang Allah.

Alangkah rugi apabila setiap hari hidup kita dipenuhi dengan penyesalan, kekecewaan, putus asa, dengki, cemburu dan perasaan negatif terhadap orang lain.

Semua ini berpunca daripada jiwa yang kosong dan motivasi dalaman yang rendah.

Sempena bulan mulia ini, mari kita bina kembali jiwa yang bersih penuh ketenangan dan motivasi yang tinggi.

Antara punca kita tertekan, cemburu dan putus asa adalah disebabkan kita membandingkan diri kita dengan orang lain.

Apabila kita melihat hidup orang lain yang bahagia, mendapat lebih nikmat daripada kita, lebih beruntung maka kita akan mula melihat diri kita yang serba kekurangan dan tiada kelebihan.

Sedangkan belum tentu mereka yang berharta dan nampak bahagia dari segi luaran benar-benar bahagia dalam hidup mereka.

Sebaliknya, Islam menyuruh umatnya melihat orang yang lebih kurang daripada kita supaya kita sentiasa bersyukur. Melihat orang yang berjalan kaki sedangkan kita mempunyai sebuah motor lama sudah menjadikan kita bersyukur dengan nikmat yang kita ada.

Yakinlah, setiap yang berlaku pada kita mengandungi pengajaran dan hikmah serta kasih sayang Allah.

Setiap hamba diuji dengan perkara yang berbeza. Ada orang yang kaya harta tapi miskin masa sehinggakan tidak sempat untuk bersama keluarga kerana kesibukan mereka. Ada orang yang banyak masa bersama keluarga dan hidup bahagia walaupun harta tidak banyak.

Ada orang yang kaya harta dan kaya masa dapat bersama keluarga dan pada masa sama direzekikan dengan harta yang banyak. Dan banyak lagi pengajaran yang boleh kita lihat di sekeliling kita.

Ada yang bahagia bersama isteri dan ada yang diuji tinggal berjauhan dengan isteri. Ada yang diuji dengan anak yang nakal dan ada yang diuji dengan belum mendapat rezeki anak.

Allah Maha Bijaksana dan Maha Adil. Setiap ujian ada hikmahnya apabila kita bersabar dan berusaha mengatasinya dengan memohon petunjuk Allah.

Usaha sahaja tanpa memohon pertolongan Allah dahulu akan menjadikan pilihan kita kurang berkatnya.

Jangan terlalu yakin dengan kemampuan kita sahaja atau yakin dengan teknologi sehingga kita lupa Allah Yang Maha Pemberi Rezeki.

Mari kita mula bina ketenangan di dalam diri dengan melihat jauh nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita.

Usah bandingkan kita dengan orang lain.

Cukuplah kita bina perlumbaan dengan diri kita sendiri untuk menjadi lebih baik dari semalam.

Contohi amalan dan semangat kerja orang yang berjaya untuk kita ambil semangat mereka tanpa kita membandingkan diri kita dengan diri mereka.

Kita berhak membina versi diri kita sendiri untuk kita tinggalkan legasi dan kebaikan kepada orang lain selama kita hidup ini.

Salam kaya berjaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *