Berubah kerana Allah

3cAssalamualaikum w.b.t

Motivasi dan semangat di dalam diri kita selalu turun dan naik. Kadangkala kita bersemangat dan pantas dalam melakukan sesuatu perkara dan kadangkala semangat kita tadi semakin menurun.

Dalam apa jua yang kita lakukan, sama ada dalam perniagaan, pekerjaan, ibadah dan kehidupan kita setiap hari, semuanya melibatkan kepercayaan, keyakinan, motivasi dan semangat kita untuk melakukan sesuatu atau tidak melakukan sesuatu.

Melakukan perkara yang baik dan meninggalkan perkara yang buruk adalah kunci dalam setiap perubahan.

Perubahan mestilah ke arah yang lebih baik dari hari ke hari dan meninggalkan perkara yang buruk secara terus.

Ramai yang tercari-cari cara untuk berubah dan cara untuk meninggalkan tabiat buruk seperti ingin berhenti merokok, berlumba motor, ponteng, malas bekerja, malas berusaha, membazir masa, suka mengumpat, meninggalkan solat; dan ingin mula berubah menjadi baik, ingin memakai tudung, ingin rajin bekerja mencari rezeki halal, ingin kaya dan hidup bahagia.

Walau apapun perubahan ke arah yang lebih baik, maka kita perlukan satu motivasi keyakinan dalam diri yang BESAR atau WHY yang besar.

Kenapa ingin berubah?

Kenapa ingin berhenti merokok?

Kenapa ingin berhenti dari tabiat kehidupan yang buruk?

Kenapa ingin kaya dan berjaya?

Antara sebabnya ialah kerana ingin mula membina hidup baru, kerana ingin menjimatkan wang, kerana ingin bahagiakan ibu bapa, kerana ingin capai matlamat dan impian di dalam hidup, ingin dipandang mulia dan sebagainya.

Namun, kadangkala, kita akan kembali ke tabiat lama dan sukar untuk istiqamah kekal dalam perubahan.

Di manakah silapnya?

Silapnya adalah kerana kita bukan berubah kerana Allah.

Perubahan 100% – Berubah kerana Allah

Mari kita telusuri hidup sahabat baginda Rasulullah S.A.W yang mula memeluk Islam. Pada waktu mereka mula memeluk Islam, mereka secara RASMINYA telah berhenti dari tabiat buruk mereka pada waktu sebelum memeluk Islam dan mula dengan hidup mencari keredhaan Allah.

Disaat saidina Umar b. Al-Khattab memeluk Islam, beliau telah RASMINYA berubah menjadi orang kuat yang menyokong perjuangan Islam. Beliau sudah tidak sesekali kembali ke tabiat hidup yang dahulu, sebaliknya menjadi individu baru yang memperjuangkan agama Islam.

Sahabat Rasulullah S.A.W tidak sesekali kembali kepada tabiat lama mereka. Dan tiada lagi amalan buruk sebaliknya hidup mereka diisi dengan amalan baik kerana Allah.

Inilah perubahan 100% yang tidak didorong oleh keperluan dan keinginan dunia tapi perubahan yang didasari mencari takwa kepada Allah.

Perubahan yang didasari kesedaran kenapa perlu berubah iaitu kerana hidup ini hanya sementara. Apabila maut dan ajal menjelang tiba, segalanya sudah terlambat. Selagi hayat dikandung badan, rebutlah peluang hidup untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan. Masa untuk berubah bukanlah esok atau lusa, tapi sekarang di saat ini dan pada waktu ini.

Apabila kita ikhlas berubah kerana mencari keredhaan Allah, pertolongan Allah akan datang. Ujian dalam hidup akan dapat kita atasi dengan tenang. Kerana kita memahami Allah akan bersama kita. Allah akan bersama orang yang membuat kebaikan kerana mencari redha-Nya.

Rezeki yang sempit kembali mengalir luas dan deras. Kita akan lihat perjalanan hidup kita akan diatur sesuai dengan perancangan Allah. Setelah kita berusaha melakukan sesuatu perkara dan amalan baik, maka serahkanlah kepada Allah untuk menilainya.

Perubahan yang kita lakukan bukan lagi kerana berubah dan inginkan balasan dunia, tapi perubahan kerana mencari redha Allah semata-mata.

Segala yang buruk akan SEGERA ditinggalkan, dan hidup didasari mencari keredhaan, rahmat dan kasih sayang Allah.

Berubah itu payah jika bukan kerana Allah. Tapi, segalanya akan menjadi mudah apabila berubah kerana Allah.

Sabda Rasulullah S.A.W : “Sungguh mengagumkan urusan orang mukmin, sungguh semua urusannya baik baginya, yang demikian itu tidaklah dimiliki seorang pun kecuali hanya orang yang beriman. Jika mendapat kebaikan (kemudian) ia bersyukur, maka itu merupakan kebaikan baginya, dan jika keburukan menimpanya (kemudian) ia bersabar, maka itu merupakan kebaikan baginya.” (HR. Muslim)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *