Jom berniaga

usahawan jutawanAssalamualaikum w.b.t

Berniaga atau menjadi usahawan mempuyai seninya yang tersendiri.

Jika ditanya apakah nikmat berniaga dan menjadi usahawan? Amat sukar untuk mengungkapkannya melainkan apabila seseorang itu merasai sendiri menjadi seorang usahawan.

Dalam tulisan kali ini, saya kongsikan sekadar coretan catatan saya berkaitan perniagaan.

Semoga ia dapat memotivasikan kita untuk menceburi bidang perniagaan.

Berniaga itu sunnah

Bukan persoalan kenapa saya perlu berniaga? Yang harus ditanyakan ialah tanyalah pada diri kita sendiri kenapa saya tidak berniaga?

Berniaga adalah sunnah nabi Muhammad S.A.W. . Jadi, kenapa kita tidak cuba mengamalkan sunnah baginda S.A.W. sebagaimana sunnah yang lain.

Berniaga bermula dengan minat

Berniaga tanpa minat tidak tahan lama. Sebaliknya apabila berniaga dan diiringi dengan minat dengan apa yang dilakukan, maka lihatlah kelak perniagaan tersebut akan berkembang dan berkembang.

Bina budaya berniaga

Masyarakat Melayu tidak ramai yang menggalakkan anak mereka belajar berniaga apatah lagi melatih anak mereka ilmu dan asas perniagaan.

Budaya berniaga perlu ditanam bermula di rumah dengan dorongan dan didikan ibu bapa.

Bukan dengan matlamat menjadikan anak-anak seorang peniaga waktu mereka besar nanti, tetapi untuk melatih mereka rasa suka terhadap perniagaan dan menimba pengalaman daripadanya.

Walaupun ia hanya sekadar melatih anak-anak mengitar semula dan menjual semula barangan yang tidak digunakan lagi dan mendapat wang hasil daripada jualan tersebut.

Konsep perniagaan

Permintaan => Produk/ Servis = Nilai

Apabila ada permintaan, maka adanya produk atau servis yang disediakan.

Dan setiap daripada nilai dan faedah yang diterima, akan ditukar ganti dengan bayaran yang dipersetujui.

Jadi, setiap idea yang dapat membantu orang lain dan menambah nilai di dalam hidup mereka, maka ia berpotensi untuk dijual dan diniagakan.

Bermula dengan kecil-kecilan menjadi besar-besaran

Sahabat baik saya, bermula dengan bengkel motor yang kecil sahaja di Kuala Lumpur selama bertahun-tahun. Selepas sepuluh tahun, kini beliau memiliki perniagaan motor skuter di Kuala Lumpur.

Pesan beliau, bermulalah daripada bawah dan rasai pengalaman dalam berniaga. Iaitu secara kecil-kecilan dan seterusnya menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.

Apabila bermula dengan besar-besaran, dengan modal yang besar dan pinjaman yang banyak, tanpa mentor yang betul, dan pengalaman yang sedikit, maka ia boleh membawa kepada kerugian dalam perniagaan.

Berniaga perlukan mentor

Jika anda ingin pergi lebih jauh dalam perniagaan, maka anda perlukan mentor yang lebih baik daripada anda.

Mentor yang pernah melalui apa yang anda lalui dan kini berjaya dalam perniagaannya.

Ikut apa yang mentor anda lakukan dan anda insyaAllah akan berjaya sebagaimana mentor anda.

Berniaga perlukan sistem

Sistem dalam perniagaan menjadikan perniagaan anda lebih teratur, sistematik, mudah diurus dan mudah dikembangkan.

Ini kerana, anda sudah mempunyai sistem yang terbukti berkesan dan menghasilkan jualan yang banyak.

Jika tiada sistem, maka anda mudah hilang fokus dan dibebani pelbagai masalah apabila perniagaan anda semakin berkembang kelak.

Part time atau full time?

Berniaga tidak semestinya sepenuh masa.

Anda boleh lakukan secara separuh masa.

Jika anda bekerja, maka boleh dilakukan pada luar waktu bekerja sebelah petang atau malam.

Jika tidak, boleh dilakukan pada setiap hujung minggu.

Apa yang penting, anda melakukan sesuatu sesuai dengan minat dan kemampuan anda yang dapat menambah nilai kepada orang lain dan menerima bayaran daripadanya.

1001 cabang perniagaan

Terdapat pelbagai jenis perniagaan daripada sekecil-kecil berniaga di warung atau menjaja, sehinggalah ke sektor korporat.

Semuanya mampu memberikan pendapatan lumayan bagi mereka yang berusaha dan bersungguh-sungguh.

Lebih-lebih lagi, perniagaan tidak lagi seperti dulu malah boleh dilakukan secara dalam talian internet iaitu secara online.

Segala urusan perniagaan hanya melalui komputer dan dapat diuruskan daripada keselesaan di rumah atau di mana sahaja anda berada.

Pilih sahaja satu perniagaan yang anda mampu lakukan, belajar dan cuba berniaga sehingga anda berjaya mendapat hasil daripada perniagaan anda.

Perniagaan yang tidak akan rugi

Selain perniagaan yang anda lakukan, jangan lupa untuk menceburi perniagaan yang anda tidak akan rugi iaitu dengan berbakti kepada agama Islam.

Anda boleh gunakan wang anda untuk membina masjid, membina dan membeli lot wakaf, membina perigi,  dan amalan jariah yang lain sebagai saham akhirat anda.

Lautan rezeki dalam perniagaan

opportunity

Jika anda ingin mengubah nasib hidup menjadi lebih baik atau meningkatkan taraf hidup anda, maka selamilah lautan rezeki dalam bidang perniagaan.

Dengan ilmu yang betul, disusuli dengan tindakan dan kerja keras, mentor dan sistem yang betul, insyaAllah anda dapat mengubah nasib hidup anda menjadi lebih baik daripada sekarang.

Sesungguhnya, rezeki tidak dapat bergolek.

Sudah sunnatullah, segala sesuatu yang berlaku ada sebab dan akibat.

Semoga tindakan anda untuk mula berniaga kecil-kecilan hari ini dapat memberikan sebab untuk hidup anda lebih baik dan bahagia.

Jom berniaga. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *