Masa Yang Berkat

Masa yang berkat

Dalam hidup ini, banyak perkara yang kita ingin lakukan. Ditambah dengan kewajipan yang kita perlu lakukan setiap hari. Sudah pastilah kadang kala kita merasakan tidak cukup masa atau tiada masa untuk membuat sesuatu perkara yang telah kita rancang sebelum ini.

Semua orang mempunyai jumlah masa yang sama iaitu 24 jam sehari. Berjayanya kita pada hari ini adalah apabila kita dapat mengagihkan dan menguruskan masa yang ada dengan sebaiknya.

Setiap saat, minit dan jam adalah amat berharga.

Maka tidak hairanlah masa diumpamakan seperti kehidupan. Gagal mengurus dan mengatur masa, maka kita sebenarnya gagal menguruskan kehidupan.

Ramai yang mengeluh kerana tidak cukup masa dan perlukan lebih masa. Mereka seringkali dilihat terkejar-kejar untuk menyiapkan sesuatu perkara.

Namun, ramai juga yang terlebih masa sehingga tidak tahu untuk membuat apa lagi dengan masa yang “terlebih” tadi.

Sebagai muslim, kita tidak mahu menjadi orang yang sentiasa tidak cukup masa (akibat seringkali menunda dan bertangguh) dan juga menjadi orang yang “terlebih” masa (sentiasa membuang masa).

Sebaliknya , kita inginkan masa yang berkat. Masa yang setiap saat, minit dan jam dalam ketaatan kepada Allah dengan beribadat membuat amal soleh, bekerja mencari rezeki, bermuamalat dan sebagainya.

Masa yang diberkati Allah Taala menjadikan kita mampu melakukan banyak perkara yang bermanfaat walaupun dalam selang masa yang terhad.

Segala yang dirancang dapat dilakukan dengan yang terbaik. Hati sentiasa tenang pada setiap saat tatkala segala urusan kehidupan diserahkan sepenuhnya kepada Allah Taala.

Lalu bagaimanakah caranya untuk mendapatkan masa yang berkat?

Tidak lain, Allah Taala telah menjelaskan dalam Surah Al-‘Asr: 1-3 :

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang  beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Kita tidak boleh mengundur putaran masa atau mempercepatkannya, tidak boleh memendekkannya atau memanjangkannya, apatah lagi ingin menghalang dan memberhentikan putaran masa. Hanyalah apa yang kita mampu lakukan adalah memohon keberkatan masa.

Berdoalah dengan doa Nabi Muhammad S.A.W ini : Ya Haiyyu Ya Qayyum, dengan rahmat-Mu daku memohon pertolongan. Baikilah seluruh urusanku, dan janganlah Engkau serahkan diriku ini kepadaku walaupun sekelip mata.” – Riwayat al-Nasai, dinilai sahih oleh al-Albani.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *