Masa yang hilang! Jadilah diri anda yang terbaik

Assalamualaikum w.b.t

Salam tahun baru 2019. Semoga tahun baru 2019 ini tahun terbaik buat anda mencapai impian dan cita-cita anda. 🙂

Seringkali kita melihat dan membaca pencapaian orang lain. Dan kadangkala kita lupa bahawa kita juga berhak untuk berjaya seperti mereka.

Namun, di mana beza orang yang berjaya dan orang yang gagal di dalam hidup mereka?

Salah satu adalah pengurusan masa.

Masa yang Hilang

Betapa ramai orang Melayu khususnya, remaja dan orang muda, terlalu leka dengan permainan games online dan apps. Berapa banyak masa yang telah dihabiskan semata-mata untuk ‘win’ atau mencapai sesuatu level dalam permainan games itu.

Setelah selesai satu games, mereka beralih kepada games yang seterusnya.

Jika dikira dan dijumlahkan, terlalu banyak masa yang telah dibazirkan oleh remaja dan orang muda kita.

Begitu juga, masa dihabiskan kepada pekerjaan yang tidak berfaedah seperti melepak, berbual di kedai kopi larut malam, berbual kosong, whatsapp kosong, menonton tv dan banyak lagi aktiviti yang tidak produktif dan membazir masa.

Apakah kita orang Islam sudah lupa bahawa Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud : ‘Demi masa, sesungguhnya manusia di dalam kerugian?’

Sedarlah wahai sahabatku, bahawa masa yang terlepas tidak akan kembali lagi sehingga kiamat. Dan masa itu adalah umur kita yang telah kita gunakan.

Oleh itu, hargailah masa dengan sepenuhnya. Tiada yang dapat digantikan lagi apabila masa telah berlalu.

Cuba semak kembali masa kita.

Kita ada masa untuk berjumpa kawan. Tapi, tiada masa untuk membaca al-Quran.

Kita ada masa untuk ke tempat kerja yang jauh. Tapi, tiada masa untuk pergi ke masjid dan surau dekat dengan rumah.

Kita ada masa untuk menonton tv. Tapi, tiada masa untuk membaca beberapa helai halaman buku yang dapat mengubah hidup kita.

Kita ada masa untuk melepak dan bersembang kosong dengan kawan. Tapi, kita tiada masa untuk solat di awal waktu.

Kita ada masa untuk membaca Whatsapp dan Facebook. Tapi, kita tiada masa untuk melihat dan berbual dengan isteri dan anak-anak yang tercinta.

Kita ada masa untuk shopping sana sini. Tapi, kita tiada masa untuk ziarah ibu dan bapa di kampung.

Kita ada masa untuk tonton movie dan wayang. Tapi, kita tiada masa untuk dengar tazkirah dan peringatan.

Kita ada masa untuk hobi. Tapi, kita tiada masa untuk tambah amalan-amalan sunat seperti zikir, selawat dan solat sunat.

Kita ada masa untuk tidur di tilam yang lembut dan selesa. Tapi, kita tiada masa untuk bangun awal pagi menangis dan sujud ke hadrat ilahi.

Kelak di akhirat nanti, kita akan ditanya bagaimana kita menghabiskan masa dan umur yang ada? Apakah jawapan kita…

Jadilah diri kita yang terbaik.

Yang menghargai masa hidup untuk berbuat baik, berpesan kepada kebaikan dan berpesan kepada kebenaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *