Meminta kepada Allah memberi kepada manusia

Bangkit daripada kegagalanAssalamualaikum w.b.t

Seringkali dalam hidup ini, terlalu banyak yang kita inginkan.

Jika ditanya apakah yang kita inginkan di dalam hidup ini, saya yakin dan percaya ramai yang inginkan kekayaan, kejayaan, ketenangan, rezeki yang banyak, mengembara mengelilingi dunia, melancong, membantu orang yang lebih memerlukan, menunaikan haji dan umrah dan banyak lagi.

Apabila disenaraikan, senarainya sudah pasti tidak akan putus.

Apabila telah dikecapi satu perkara, ada pula perkara lain yang dinginkan.

Antara keinginan dan keperluan

Manusia sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapat apa yang mereka inginkan.

Mereka sanggup bekerja siang malam mencari kekayaan sehinggakan ada yang lalai pula daripada mengingati tuhan.

Apabila terlalu banyak yang dinginkan, manusia menjadi tamak dan tidak pernah berasa puas dan tidak bersyukur atas nikmat yang diperoleh.

Kesannya, hidup menjadi tidak tenang kerana terlalu mengejar kemewahan dunia.

Sebaliknya, apabila manusia tahu membezakan antara keinginan dan keperluan, hidup mereka menjadi lebih tenang.

Mereka tidak terlalu mengejar semua perkara yang mereka inginkan, tetapi cukup mendapatkan apa yang mereka perlukan.

Ini kerana tidak semua perkara yang diinginkan betul-betul yang mereka perlukan.

Rumah dan kenderaan adalah keperluan.

Tetapi, rumah sederhana atau rumah yang besar, kenderaan biasa atau kenderaan mahal adalah pilihan keinginan menurut kemampuan masing-masing.

Tidak salah memiliki banyak keinginan melebihi daripada keperluan, tetapi hendaklah segala yang dilakukan tidak berlebihan dan bersederhana berdasarkan batas-batas agama.

Mereka bersyukur apabila mendapat nikmat tidak kira sedikit atau banyak. Di samping, terus berusaha menjadi lebih baik hari demi hari.

Namun, tidak pula mereka lalai menunaikan ibadah dan suruhan agama.

Ujian kemiskinan dan kekurangan harta

Kemiskinan dan kekurangan harta adalah satu ujian daripada ujian-ujian Allah kepada hamba-Nya.

Allah memberi kemampuan untuk seseorang itu berusaha menghadapi ujian kemiskinan ini sama ada kemampuan kudrat kekuatan, ilmu, harta yang ada, anak dan sebagainya.

Hanya yang tinggal ialah untuk seseorang itu berusaha melakukan sesuatu yang boleh meningkatkan pendapatan mereka untuk keluar daripada kemiskinan dan kekurangan harta.

Usaha yang gigih dan berterusan dengan ilmu yang betul insyaAllah akan merubah keadaan menjadi lebih baik.

Meminta kepada Allah

Seringkali Allah memberi ujian pada manusia untuk melihat dan menguji keimanan hamba-Nya.

Apakah mereka semakin dekat dengan Allah atau semakin jauh dengan-Nya.

Apabila hidup dalam kemiskinan dan kekurangan harta, apakah mereka taat pada Allah.

Dan apabila hidup dalam kekayaan dan kenikmatan dunia, apakah mereka lalai mengingati Allah.

Allah ingin mendengar rintihan dan doa hamba-Nya yang meminta hanya kepada Allah.

Pengharapan dan tawakal hanya kepada Allah.

Memberi kepada manusia

Dengan Allah kita meminta, dan kepada makhluk-Nya kita memberi.

Memberilah mengikut apa yang kita mampu.

Sumbangan, tenaga, ilmu, bantuan makanan dan pakaian dan sebagainya.

Lebih-lebih lagi pemberian doa kebaikan dan senyuman yang manis kepada saudara Muslim yang lain.

Semoga hidup kita menjadi lebih tenang, kaya dan berjaya dengan hanya meminta kepada Allah dan memberi kepada manusia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *