Missing Chapter : Melawan rasa takut di dalam diri

jangan takut gagalAssalamualaikum w.b.t

Setiap orang sudah pasti mempunyai perasaan takut.

Perasaan takut ini tidak boleh dibuang kerana ia adalah perasaan dan emosi yang berasal dari dalam diri. Apa yang penting adalah bagaimana anda mengurus perasaaan takut ini untuk membolehkan anda mencapai kejayaan dan bukan pula menjadi penghalang kepada kejayaan yang anda impikan.

Rasa Takut di dalam diri

Terdapat pelbagai jenis sifat takut. Saya senaraikan 20 ketakutan yang seringkali dialami oleh ramai orang :

  1. Takut dan bimbang dengan rezeki esok hari
  2. Takut apa orang kata. (takut tidak disukai orang lain)
  3. Takut diri sendiri tidak sempurna.
  4. Takut ditolak dan tidak diterima.
  5. Takut berubah.
  6. Takut gagal.
  7. Takut miskin.
  8. Takut dikritik.
  9. Takut sakit.
  10. Takut kehilangan orang tersayang.
  11. Takut berjaya dan menjadi kaya.
  12. Takut keseorangan.
  13. Takut tua.
  14. Takut terlalu muda.
  15. Takut mati.
  16. Takut malu.
  17. Takut bertindak.
  18. Takut mencuba sesuatu yang baru dan mengambil risiko.
  19. Takut kehilangan harta dan barang.
  20. Takut hantu.

Jadi, bagaimana dengan anda? Apakah ada terdapat di dalam diri anda ketakutan seperti di atas?

Rasa takut yang berlebihan dan tidak bertempat akan menghalang anda daripada bertindak luar biasa. Ia akan mendatangkan kebimbangan, kesedihan, kemurungan, putus asa, rendah diri dan ketakutan di dalam diri.

Oleh itu, sekiranya terdapat di dalam diri anda ketakutan yang selama ini menghalang anda daripada bertindak, maka anda perlu lakukan sesuatu untuk mengubatinya dengan segera.

Jika tidak, selamanya anda akan gelisah, bimbang, putus asa, lemah semangat dan tidak yakin diri untuk menghadapi hari ini dan hari yang mendatang.

Takutlah hanya kepada Allah

Sesungguhnya hidup kita, mati kita, umur kita, kesihatan kita, keselamatan kita, kekayaan kita, keluarga kita, diri kita, minda kita, jiwa kita dan perbuatan kita semuanya adalah hak milik Allah yang memberi pinjaman kepada kita.

Allah lah pemilik asal segala nikmat, rezeki dan ujian yang diturunkan kepada hamba-Nya. Dan Allah bila-bila masa boleh memberi, menambah, mengurangi dan menarik kembali apa-apa nikmat, rezeki dan ujian yang diberikan kepada hamba-Nya.

Maka, apakah yang sebenarnya kita takutkan? Adakah kita takutkan kepada nikmat, rezeki dan ujian yang datang, atau kita seharusnya takutkan pemberi nikmat, rezeki dan ujian iaitu Allah S.W.T?

Ketakutan kepada perkara yang bukan milik kita tidak akan membawa kita ke mana. Sebaliknya, takutkan kepada Allah, Tuhan yang Maha Pemberi akan menjamin keselamatan, kebahagiaan dan ketenangan hidup di dunia ini dan di akhirat nanti.

Apabila kita takutkan Allah, kita akan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah, melakukan perkara yang Allah suruh, meninggalkan perkara yang dilarang, mencari bekal takwa dan melakukan amalan kebaikan.

Dengannya, hidup kita akan dipimpin dan dipelihara oleh Allah dan menerima kurniaan, rahmat, petunjuk, taufik, hidayah dan inayah daripada Allah di dunia dan akhirat.

Takutkan Allah adalah satu-satunya ubat bagi mengatasi semua jenis ketakutan di atas.

Takutkan Allah, kita akan menjadi kuat

Lihatlah tentera Islam yang berjuang di medan perang bersama-sama Rasulullah S.A.W. Mereka berjuang berhabis-habisan sehingga menemui mati syahid.

Di dalam diri mereka, sudah tiada lagi ketakutan kepada musuh, tiada lagi ketakutan kehilangan nikmat dunia, tiada lagi ketakutan berpisah dengan ahli keluarga dan tiada lagi ketakutan untuk mati. Semua ketakutan sudah tiada kecuali satu, iaitu mereka hanya takutkan Allah dan mengharapkan keredhaan Allah.

Apabila takutkan Allah, diri kita akan menjadi kuat dan berani untuk bertindak luar biasa. Segala yang lain adalah kecil sahaja dan akan menjadi mudah apabila yakin dengan bantuan dan pertolongan Allah.

Yakinlah, Allah sentiasa bersama orang yang dekat kepada-Nya.

Apabila sahabat Nabi, Saidina Abu Bakar berada bersama Rasulullah S.A.W di dalam Gua Thur, tatkala mereka telah dikejar oleh golongan Quraisy yang ingin menangkap Rasulullah S.A.W, Rasulullah S.A.W telah berkata kepada Saidina Abu Bakar yang mulai bimbang dan takut dengan keselamatan Nabi, “Wahai Abu Bakar! Jangan kamu sangka kita berdua sahaja, tetapi Allah ada bersama dengan kita.”

Sebagaimana dinukilkan di dalam al-Quran peristiwa ini, firman Allah S.W.T :

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah At-Taubah, ayat 40)

Justeru, jangan takut untuk bertindak melakukan sesuatu mengubah diri dan hidup anda menjadi lebih baik. Apabila anda berada di jalan yang benar, usah takut dengan ujian, kritikan, cemuhan dan kegagalan kerana pada setiap masa dan keadaan, Allah bersama orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah untuk menegakkan kebaikan.

Lawan rasa takut di dalam diri, dan hanya takutkan Allah S.W.T., dan anda akan temui apa yang dinamakan keberanian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *