Nikmati HIDUP dengan NILAI

Assalamualaikum w.b.t

Semoga anda sihat sentiasa. Hidup ini akan bermakna apabila kita berNILAI dan memberi NILAI kepada orang di sekeliling kita.

Apakah saya telah bersyukur di atas :

Kehidupan hari ini

Bersyukur kita masih dapat hidup di kala ramai yang sudah dijemput Allah S.W.T.

Kita sebenarnya tiada masa untuk mensia-siakan nikmat hidup ini dengan perkara biasa-biasa tapi seharusnya cuba lakukan perkara yang terbaik yang seharusnya kita lakukan dalam hidup ini.

Jangan bazirkan hidup dengan menonton tv dan membaca novel semata-mata, tetapi banyakkan amal ibadah dan kebajikan kerana itulah saham sebenar kita di akhirat kelak.

Kesihatan hari ini

Syukur kita masih sihat dan boleh bergerak.

  • Apakah kita telah jaga diri kita daripada makan berlebihan?
  • Adakah kita telah bersenam hari ini?
  • Adakah kita cukup minum air kosong hari ini?

Jaga kesihatan kerana ia tidak ada nilainya dengan harta yang lain.

Keluarga yang saya sayangi

Nikmat berkeluarga mempunyai isteri dan anak adalah antara nikmat terbesar di dunia dan saham di akhirat.

Nikmatilah masa bersama keluarga berbual mesra dengan ibu bapa, isteri dan anak-anak.

Lihat tawa dan senyum mereka, nescaya hati kita turut bahagia.

Sesibuk manapun kita, nikmatilah saat ini di waktu anak kita masih kecil sehingga mereka dewasa. Kerana, kelak mereka akan turut berkeluarga dan mungkin lebih sibuk daripada kita nanti.

Berapa ramai ibu bapa yang sanggup melihat telefon dan leka dengan media sosial, bermain games, tidur berlebihan, terlalu sibuk hingga ke malam hari sehingga tiada masa bersama anak-anak?

Alangkah rugi kerana kita telah hilang satu nikmat keluarga yang mawaddah dan penuh dengan rahmat.

Justeru, luangkan masa setiap hari bersama isteri dan anak-anak walaupun sebentar kerana mereka sebenarnya rindukan saat bermain dan bergurau bersama kita sejak mereka bangun awal pagi lagi sehingga kita pulang ke rumah.

Kewangan saya hari ini

Kewangan yang baik membolehkan kita menikmati hidup yang lebih baik.

Oleh itu, bukan soal wang yang banyak, tapi bagaimana kita menguruskan wang dan bagaimana kita berusaha menambah pendapatan kita.

Wang yang diperoleh perlu dibelanja dan perlu juga disimpan.

Berbelanja dengan bijak dan melaburlah dengan bijak.

Pelajari ilmu kewangan dengan banyak membaca dan belajar.

Masa saya hari ini

Masa adalah kunci hidup ini. Masa yang berlalu adalah kehidupan kita yang lalu.

Lalu, bagaimana sanggupkah kita membazir masa kita ke tempat yang tidak berfaedah, melakukan aktiviti yang tidak berfaedah sedangkan masa kita berlalu begitu sahaja.

Di dalam buku saya, Formula Luas Rezeki, saya tekankan konsep masa dan bagaimana mengurus dan merancang masa dengan baik.

Saya hairan bagaimana boleh orang melepak di kedai kopi berjam-jam lamanya, melepak tanpa tujuan di pasaraya, window shopping, beratur panjang2, menonton movie terlalu kerap, menonton tv dan drama setiap hari, membaca novel tebal2 tapi tidak sanggup membaca al-Quran lebih lama.

Ada juga yang suka bermain motor, hisap vape dan rokok, berlumba, keluar malam dan banyak lagi perkara yang membazir masa hidup kita.

Justeru, rancang hidup kita dengan bijak supaya kita tidak menyesal kelak.

Agama saya hari ini

Amat jarang orang berfikir, bagaimana agama saya hari ini?

Apakah ilmu agama dan amalan agama saya bertambah atau berkurang hari ini?

Apakah hati saya semakin dekat dengan Allah atau semakin jauh?

Apakah persiapan saya untuk alam kubur dan alam seterusnya?

Apakah saya telah menjaga amalan agama dalam hidup saya, menjaga aurat termasuklah rambut saya dengan bertudung. Apakah saya telah solat 5 waktu dan amalan sunat. Apakah saya telah membaca al-Quran yang akan menemani saya di dalam kubur nanti?

Alangkah rugi hidup tanpa panduan dan ilmu agama. Tidak tahu bermakna kita perlu belajar ilmu agama.

Hidup dunia hanya sekali, tapi bersediakah kita dengan hidup di alam seterusnya selama-lamanya?

Mari kita jadikan dunia jambatan menuju syurga di akhirat.

Aaaminn.

Moga bermanfaat untuk renungan kita bersama. 🙂

#kayaminda, kaya jiwa, kaya tindakan

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *