Prinsip 10 000 Jam – Langkah Menjadi Pakar

Prinsip 10 000

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Dalam ruangan Motivasi kali ini, mari kita lihat satu idea atau prinsip yang amat menarik yang telah diperkenalkan oleh Malcolm Gladwell, sebagaimana di dalam buku beliau Outliers : The Story of Success.

Prinsip yang dibincangkan di dalam buku ini ialah Prinsip 10 000 Jam (10 000-Hour Rule).Outliers The secret of success

Prinsip 10 000 Jam menyatakan bahawa seseorang mengambil masa lebih kurang 10 000 jam latihan yang berkualiti untuk betul-betul mahir menguasai sesuatu kemahiran dan menjadi ahli atau pakar.

Sama ada ia melibatkan kemahiran bermain bola, skuash, bermain gitar, programming komputer atau apa jua bidang pekerjaan seperti doktor, jurutera dan sebagainya.

Gladwell telah memberikan beberapa contoh bermula daripada Beatles sehinggalah Bill Gates. Contoh lain ialah David Beckham, Tiger Woods, Picasso dan Thomas Edison yang telah mencuba eksperimennya beribu kali bagi membolehkan beliau akhirnya mencipta mentol.

Termasuklah di negara kita seperti Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz, Ustaz Azhar Idrus, Dato’ Dr. Haron Din dan ramai lagi yang telah memperuntukkan masa berpuluh tahun belajar agama dan seterusnya berdakwah kepada masyarakat.

Dalam buku Outliers juga, Gladwell telah menyatakan bahawa setiap orang dapat menjadi genius dan pakar dalam bidang kemahiran (seni) yang mereka pilih dan bukan bergantung kepada bakat semulajadi atau nasib sahaja.

Dengan syarat, mereka berdedikasi menumpukan masa mereka untuk mengasah dan menguasai kemahiran tersebut setiap hari, setiap tahun sehingga jumlah masa 10 000 jam bekerja dengan latihan bermutu.

5 Syarat Latihan Bermutu

1.   Berlatih mengasah kemahiran anda pada SATU bidang.

2.   Konsisten melakukan perubahan menjadi lebih baik.

3.   Memantau perkembangan latihan atau kerja anda.

4.   Menilai hasil kejayaan sama ada kecil atau besar setiap hari.

5.   Lebih tumpuan kepada aspek perkara yang anda tidak lagi mahir atau belum kuasai sepenuhnya.

Berapa lama masa untuk menjadi pakar?

Kita mempunyai masa 8765 jam dalam setahun. Sekiranya anda bekerja 5 jam sehari 4 kali seminggu iaitu bersamaan 20 jam seminggu, anda memerlukan lebih kurang 9.6 tahun untuk menjadi pakar.

Atau anda memberikan komitmen 3 jam sehari berlatih mempertajam kemahiran dan seni anda, bersamaan 21 jam seminggu, anda juga perlukan lebih kurang 9.6 tahun untuk menjadi pakar.

Manakala, jika anda bekerja 8 jam sehari selama 5 hari iaitu bersamaan 40 jam seminggu (2080 jam setahun), anda memerlukan 4.8 tahun untuk menjadi pakar dalam bidang kemahiran anda.

(dengan syarat menggunakan sebaiknya waktu bekerja dengan menumpukan kepada mengembangkan kemahiran dan penguasaan dalam bidang anda)

Sebagaimana kata-kata, practice makes perfect dan practice makes permanent, melalui latihan berterusan tidak mustahil kita menjadi mahir dan ahli (pakar) dalam sesuatu perkara yang kita lakukan.

7 Jalan Pintas – Prinsip 10 000 Jam

1.   Dapatkan jurulatih atau mentor – dengan mentor, anda dapat singkatkan masa latihan dengan mengetahui apa yang boleh dan tidak boleh dibuat berdasarkan pengalaman orang yang telah melaluinya.

2.   Bersama dengan rakan genius – rakan genius ialah rakan yang mempunyai minat dan kecenderungan yang sama. Rakan genius penting agar anda dapat berkongsi pengalaman dan kisah kejayaan.

3.   Bina tabiat gaya hidup pakar – contohi tabiat pakar dari segi penjagaan waktu, cara bekerja, cara komunikasi dan sebagainya.

4.   Jangan bazirkan masa pada perkara yang kecil – elak atau kurangkan melakukan sesuatu yang tidak memberikan signifikan kepada matlamat dan tujuan asal pekerjaan kita.

5.   Latihan berterusan dan bermutu.

6.   Mengajar orang lain – kongsi ilmu yang dimiliki. Dengan mengajar, kita secara tidak langsung turut menjadi lebih mahir.

7.   Cari pembimbing atau penasihat – seseorang yang dapat memastikan kita konsisten dalam bidang pekerjaan kita dan menasihati kita di kala kita terleka.

Kesimpulannya, setiap orang dapat menjadi pakar dan genius dalam sesuatu bidang dengan syarat perlulah fokus pada satu seni atau kemahiran dan seterusnya membuat latihan praktis yang konsisten dan bermutu melebihi 10 000 jam latihan.

InsyaAllah, masanya akan tiba anda (dan saya) menjadi pakar dalam bidang masing-masing. 🙂

Prinsip 10 000 Jam Gladwell

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *