Selagi ada waktu

waktuAssalamualaikum w.b.t

Jika ditanya apakah yang paling berharga di dunia ini?

Jawapannya bukanlah harta benda, emas perak dan wang ringgit tetapi katakanlah yang paling berharga adalah masa.

Masa adalah harta paling berharga yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita selagimana kita hidup di dunia ini.

Iaitu harta (masa) yang akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan kembali bagaimanakah kita menghabiskan umur yang diberi? Apakah ke arah kebaikan atau sebaliknya.

Sabda Rasulullah S.A.W : “Belum lagi kedua kaki seorang hamba bergerak pada hari kiamat, ditanyalah tentang usianya, dihabiskan untuk apa; tentang ilmunya, digunakan untuk mengerjakan apa; tentang hartanya, diperoleh dari mana dan dibelanjakan untuk apa; tentang badannya, digerakkan untuk apa.” (HR Tirmidzi)

Justeru, amanah dan anugerah berharga ini perlu diuruskan dengan bijak dan adil agar kita tidak tergolong dalam mereka yang rugi.

“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran” (Surah Al-Asr)

Masa adalah kehidupan

Setiap saat yang berlalu bermakna berlalulah juga kehidupan sehingga ke suatu masa yang telah ditentukan.

Dan setelah berlalu, ia tidak akan kembali lagi selama-lamanya, tidak dapat dibeli dan ditukar ganti.

Bagaimana kita mengurus masa menentukan siapa kita hari ini dan seterusnya.

Pengurusan Masa Nabi Ibrahim a.s

Mari kita contohi pengurusan masa Nabi Ibrahim a.s yang membahagikan masa baginda kepada beberapa waktu.

Nabi Ibrahim a.s menyediakan jadual khusus dalam waktu hidupnya seperti:
1. Waktu untuk bermunajat (zikir) kepada Allah
2. Waktu untuk bermuhasabah diri
3. Waktu untuk berfikir mengenal ciptaan Allah
4. Waktu untuk keperluan hidupnya seperti , bekerja , makan dan minum dan sebagainya

Pembahagian masa kepada beberapa waktu sebagaimana di atas dapat memastikan kita tidak lalai daripada tanggungjawab sebenar kita sebagai khalifah Allah di bumi ini.

Bahagikan hak-hak masa sebaiknya dan tunaikan hak-haknya.

Semoga masa kita seharian ialah masa yang diberkati dan dirahmati Allah.

Jangan bertangguh, mulakan hari ini

Dari Ibnu Umar radhiallahuanhuma berkata : Rasulullah S.A.W memegang bahu saya seraya bersabda : “Jadilah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara”,

Ibnu Umar berkata : “Jika kamu berada pada waktu petang hari jangan tunggu pagi hari, dan jika kamu berada pada waktu pagi hari jangan tunggu petang hari, gunakanlah kesihatanmu untuk (persiapan saat) sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu” (Hadis Riwayat Bukhori)

Barangsiapa yang menghabiskan waktu berjam – jam lamanya untuk mengumpulkan harta kerana ditakutkan miskin, maka dialah sebenarnya orang yang miskin. (Imam al-Ghazali)

Imam al-Ghazali pernah berteka-teki dengan anak muridnya,

Imam Ghazali, “Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?”

Murid 1 = “Negeri Cina”
Murid 2 = “Bulan”
Murid 3 = “Matahari”
Murid 4 = “Bintang-bintang”

Imam Ghazali menjawab, “Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apa pun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu.

Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran agama”

Semoga bermanfaat. 🙂
Like & share.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *