Tetap dengan Pelan Anda (Stick to your plan)

Stick to your planAssalamualaikum w.b.t

Seringkali kita mempunyai terlalu banyak pilihan di dalam hidup ini. Dan ramai yang menyambar setiap pilihan dan peluang yang ada sehingga mereka lelah dan lemas dalam setiap pilihan yang dibuat.

Seorang graduan yang baru bekerja, mempunyai banyak perancangan seperti ingin membuka bisnes sendiri, berniaga, membeli rumah, melabur dan berkahwin.

Tanpa perancangan yang betul, mereka akan menjadi keliru yang mana satu ingin diutamakan atau mungkin akan melakukannya secara serentak.

Begitu juga bagi mereka yang ingin menjana pendapatan melalui internet. Mereka mempunyai terlalu banyak pilihan.

Namun, ramai juga yang gagal menjana pendapatan walaupun beberapa ringgit kerana mereka cuba membuat semua perkara serentak, cuba belajar semua perkara dan menghabiskan ratusan ringgit membeli produk-produk di internet tanpa mereka cuba untuk mahir dalam sesuatu cabang perniagaan terlebih dahulu.

Contoh yang lain, betapa banyak pemilik bisnes yang dulunya menjual makanan, tiba-tiba berubah arah ke perniagaan yang lain dan seterusnya sehingga tidak ada satu pun perniagaan yang mereka berjaya.

Menjadi Pakar

Sebaliknya, jadilah pakar dan berjaya dalam sesuatu bidang tanpa cuba menjadi pakar dalam segala hal.

Jika anda pemilik restoran, pastikan anda memiliki cawangan restoran anda sendiri.

Jika anda berniaga di internet, pastikan anda fokus menjadi pakar dan jutawan internet.

Lihatlah seorang pemain bola sepak akan terus bermain bola sehingga dia menjadi mahir dan hebat dalam kariernya. Dia tidak akan cuba untuk menjadi pakar dalam setiap permainan dan tidak terlintas untuknya untuk menjadi pemain badminton atau sukan yang lain pula.

Begitulah juga dalam bidang yang lain, seseorang itu dikenali dengan satu bidang utama kepakarannya.

Mereka dikenali dengan satu bidang yang mereka dominan walaupun mereka juga cemerlang dalam bidang yang lain.

1 Gol Pada 1 Masa

Apabila anda cuba melakukan banyak perkara secara serentak, bagi kebanyakan orang mereka tidak akan mampu menyiapkan perkara tersebut sehingga sempurna. Atau mereka perlukan masa yang lama untuk menyiapkan tugasan tersebut.

Begitu juga, ia terjadi pada diri saya sebelum ini.

Seringkali saya merasakan terlalu banyak idea dan projek yang ingin dilakukan pada sesuatu masa. Dan saya cuba lakukannya secara serentak hinggalah saya akhirnya sedar, saya mengambil masa yang lama untuk menyiapkan walaupun hanya satu projek tersebut. Kadang-kadang, saya juga hampir berputus asa kerana memikirkan terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan.

Siapkan apa yang anda mulakan

Sekiranya anda seperti saya dan mudah hilang tumpuan jika melakukan banyak perkara secara serentak, maka solusinya adalah anda hanya perlu pilih SATU bidang atau satu projek sahaja dan siapkannya. Apabila ia telah selesai dan anda telah berjaya, barulah terus ke projek yang seterusnya.

Hentikan projek yang lain. Fokus SATU projek utama sahaja dan lakukannya dengan sepenuh hati sehingga anda berjaya.

Siapkan apa yang anda mulakan. Dengannya, anda akan lebih bersemangat untuk menyiapkan projek dan perancangan yang lain pula.

Yakin dan percaya anda akan berjaya dengan Pelan anda. Yang penting, tetap dengan Pelan anda.

Salam motivasi dan kejayaan. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *